Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tekad pulihkan alam sekitar

Kawasan sungai dan paya laut yang bakal dipulihkan  oleh UMT menerusi 3
Kawasan sungai dan paya laut yang bakal dipulihkan oleh UMT menerusi projek tebatan banjir.

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pastinya teruja dengan kawasan kampus berkeluasan 78.2 hektar itu yang dikelilingi hutan bakau dan masih ada kehijauan yang terpelihara.

Kampus di tepi laut itu bukan sahaja menjanjikan keindahan alam sekitar yang indah dan harmoni bagi mencetuskan suasana pembelajaran yang kondusif tetapi juga memberi harapan kepada pencinta alam semula jadi supaya ia dikekalkan.

Itu yang diimpikan dan diperjuangkan oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Dr. Jarina Mohd Jani yang membawa misi mengekalkan keindahan semula jadi kampus berkenaan dengan pokok-pokok hijau di tepian pantai.

Beliau ditemui baru-baru ini bagi berkongsi misi dan harapannya mengenai perjuangan menjadikan UMT sebaga kampus yang menjadi platform untuk warga kampus dan alam sekitar saling berinteraksi.

“Apa yang saya lakukan ini sebenarnya bukanlah satu (usaha) penyelidikan tetapi pengaplikasian ilmu humanecology (ekologi manusia) dalam UMT supaya warga universiti ini dapat kembali dekat dengan elemen persekitaran semula jadi yang terdapat di dalam kampus pesisir pantai kami,’’ ujarnya.

Malah menurutnya, usaha tersebut mungkin boleh dipanggil sebuah penghayatan alam semula jadi atau program Sayangi Khazanah Alam UMT.

Beliau memberi contoh, di satu kawasan padang yang sebelumnya dijadikan kawasan meletak kenderaan warga kampus khususnya pelajar, kawasan tersebut telah dipulihkan dengan penanaman semula pokok bernilai daripada spesies kayu manis (Cinnamoniner atau Medang Teja) tetapi bukan spesies komersial C. verum.

Katanya, pokok tersebut telah ditanam sejak dulu lagi di beberapa lokasi di kampus UMT, terutamanya sepanjang bahu jalan di kawasan tersebut.

Menurut beliau lagi, lokasi “tempat letak kereta” itu pada asalnya adalah kawasan hijau yang digunakan sebagai lapangan sukan sebelum adanya Stadium Tengku Muhammad Ismail.

Namun katanya, ketika pembinaan kompleks makmal dan kuliah berpusat sebelum ini, kawasan tersebut asalnya berumput tetapi telah diturap dengan tanah merah dan dibiarkan sahaja kosong.

Justeru menurut beliau, sebahagian warga UMT telah menggunakan ruang tersebut sebagai tempat letak kereta kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran kampus.

Walau bagaimanapun, ketika cuaca panas, kawasan tersebut berdebu dan sebaliknya pada hari hujan, ia bertukar kepada kawasan berlumpur.

“Alangkah baiknya sekiranya ia menjadi green lung untuk kampus UMT, sebuah ruang hijau yang rimbun dengan pohon tempatan yang kecil dan besar yang menyediakan persekitaran pembelajaran santai yang redup, sihat dan selesa bila ditambah baik dengan kemudahan bangku serta meja serta wakaf.

“Inilah yang mendorong saya menyeru kepada warga kampus menerusi e-mel supaya mempertimbangkan cadangan menjadikan kawasan tersebut sebagai greenlung untuk kampus UMT pada awal tahun lalu.

“Alhamdulillah, pengurusan menyambut baik idea itu dan pada Mac tahun lalu telah dilancarkan Taman Botani UMT,’’ ujar beliau.

Kata Jarina, pokok yang ditanam kebanyakannya adalah spesies hutan tetapi sebagai penyelidik bidang Biologi Pemuliharaan, beliau bercadang untuk menjadikannya satu kawasan demo bagi vegetasi pantai (coastal vegetation) yang unik tetapi terancam di Terengganu seperti hutan bris.

Yang penting kata beliau, unit pembangunan universiti cuba menambah baik dengan spesies yang lebih sesuai dengan ekosistem tempatan. Dalam masa sama, pengurusan universiti telah menanam di sebuah tapak lagi di antara kompleks Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur dan Kompleks Pengurusan Penyelidikan (RMC).

Dalam pada itu, Dr. Jarina berkongsi perjuangannya mengenai projek pemulihan sungai yang terletak berhampiran kampus berkenaan.

Menurut Dr. Jarina, UMT dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memulihkan kembali kawasan sungai dan paya laut di tebing utaranya di bawah projek tebatan banjir yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, kawasan tersebut kini berubah kerana penambakan tebing sungai menghalang pengaliran air ke kawasan paya tersebut yang menjadikannya beransur kering dan menyebabkan succession oleh spesies tumbuhan yang lebih suka tanah yang tidak terlalu basah, seperti bebaru dan piai.

Kata beliau, ia akan dikembalikan kepada ekosistem asal, iaitu paya laut dengan spesiesnya sendiri, termasuk pokok spesies bakau termasuklah antaranya Rhizophora dan Brugeira kerana peranan kawasan itu sebagai kawasan tebatan banjir semula jadi selain menjadi makmal hidup yang unik untuk pembelajaran dan pengajaran telah diperakui oleh ahli jawatankuasa projek tersebut.

Apa yang akan dilakukan adalah yang pertama, memastikan pengaliran air sungai ke kawasan paya tidak lagi tersekat dengan meratakan lumpur benteng yang terjadi di sepanjang sungai selepas kerja pengorekan sungai dahulu. Kemudian, apabila air sudah mula mengisi kembali kawasan paya, spesis daratan yang telah banyak tumbuh akan mula hilang dan digantikan kembali oleh spesis paya laut.

“Kami akan “membantu” proses ini jika perlu dengan menanam benih-benih spesies yang sesuai di situ serta memantau tumbesaran pokok-pokok tersebut,’’ ujarnya sambil memberitahu sungai tersebut yang melalui kawasan UMT bermula dari arah Kampung Pok Tuyu hampir hampir satu kilometer manakala kawasan paya laut itu pula adalah 5.4 hektar.

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain