Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Nazri Ahmad berkata, pencemaran laut akibat pembuangan sisa-sisa penambakan yang dijalankan sejak 1990-an telah menyebabkan kemerosotan hasil laut seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya yang ketara pada masa ini.

"Nelayan bercakap berdasarkan pengalaman, kita tengok keadaan laut sahaja kita sudah tahu air laut di negeri ini tercemar.

"Pada masa ini bila nelayan memukat, bukan ikan yang kita dapat, tapi obor-obor yang lebih banyak, ini tanda laut kita tercemar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa ini, kerajaan negeri bercadang untuk menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Menurut Nazri pemulihan air laut perlu dijalankan segera bagi memastikan kelangsungan ekosistem lautan dapat dipelihara untuk kebaikan semua pihak terutama nelayan.

"Projek baharu seperti PSR juga perlu dihentikan dan kerajaan negeri perlu cari penyelesaian untuk merawat air laut yang kini semakin tercemar.

"Kami yakin penambakan laut yang giat dijalankan sejak dahulu adalah punca utama laut tercemar sehingga menyebabkan pendapatan nelayan terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Nazri berkata, pihaknya juga meminta kerajaan negeri menyelesaikan beberapa isu yang masih gagal diselesaikan sehingga kini berhubung projek penambakan Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

"Sehingga kini nelayan terlibat masih belum menerima baki pampasan berjumlah lebih RM3,000 seperti yang dijanjikan malah janji penempatan kekal untuk nelayan di Butterworth yang terdiri daripada kuarters dan jeti nelayan juga belum ditunaikan," katanya. - UTUSAN ONLINE