Mohamad Huzaimy berkata, beliau akan mengetuai sebanyak lapan orang saintis dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Perubatan Antarabangsa dalam ekspedisi berkenaan.

"Kesemua saintis membawa kajian masing-masing yang saya akan kutip sampel di lapan lokasi bagi kajian magnet bumi dan elektromagnetik di Kutub Utara dan Kutub Selatan.

"Keunikan ekspedisi kami adalah penggunaan kapal layar bernama Australis dengan tiga anak kapal menempuh perjalanan sejauh 1,000 kilometer untuk mengutip sampel di kawasan-kawasan yang dikenal pasti," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan bendera UiTM kepadanya di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Pemangku Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Prof. Dr. Mohd. Nasir Taib.

Mohamad Huzaimy berkata, pelayaran yang bermula dari Buenos Aires, Argentina ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan geran sebanyak RM450,000. - UTUSAN ONLINE