Program anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) itu mendapat kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (PERSIS Unisza) dan Kelab Penyayang Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Mahasiswa tahun tiga Fakulti Bahasa dan Linguistik UM merangkap Yang Dipertua SEKRUM, Muhammad Irsyad Zaini, 23, berkata, ini merupakan program tahunan SEKRUM dan kali ini Terengganu dipilih bagi melihat secara dekat aspek pengurusan pantai dan pemuliharaan penyu.

“Antara halangan utama kelangsungan hidup populasi penyu adalah kerakusan manusia yang mencuri telur dari sarangnya untuk dijual selain persekitaran pantai yang tidak kondusif untuk haiwan ini bertelur,” katanya.

Sementara itu mahasiswa tahun dua Fakulti Kejuruteraan UM, Nur Syazwani Ezzaty Azman, 21, berkata, sukarelawan menimba pengalaman dalam aspek pengurusan dan pentadbiran berkaitan kelestarian alam di Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC).

Katanya, sukarelawan turut membersihkan pantai Rantau Abang dan berjaya mengutip hampir 10 beg sampah.

“Kebanyakan sampah yang dikutip adalah plastik bekas dan pembalut makanan serta minuman sama ada yang dibuang di pantai atau dihanyutkan ombak. Bahan buangan ini berbahaya untuk hidupan marin terutama penyu.

Ia juga mengganggu habitat dan pemakanan penyu. Masalah ini bertambah rumit kerana penyu mengambil masa yang lama untuk menjadi dewasa dengan sihat sebelum mampu membiak,” katanya.

Di TUMEC peserta mendengar taklimat mengenai usaha yang dijalankan bagi memulihara populasi penyu belimbing.

Selain itu, sukarelawan turut membersihkan kawasan kolam yang digunakan bagi menjaga anak-anak penyu sebelum dilepaskan ke laut.

TUMEC merupakan salah sebuah daripada enam pusat pemuliharaan penyu di bawah Jabatan Perikanan. Antara lain TUMEC bertanggungjawab melabel penyu yang berjaya ditetaskan, menjaga anak penyu sehingga cukup dewasa untuk dilepaskan dan melakukan penyelidikan berkaitan kelangsungan hidup penyu, termasuk dari aspek perikanan dan pemanasan global.

Dalam pada itu Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM yang juga penasihat SEKRUM, S. Ramlee Shamsuddin berkata, SEKRUM berhasrat membantu universiti melahirkan graduan holistik yang mampu menggalas tanggungjawab dan memainkan peranan mereka kepada masyarakat.

“Program Kembara Sukarelawan ini membekalkan mereka dengan pengalaman praktikal dalam urus tadbir sesebuah organisasi kesukarelawan yang melaksanakan tugas berimpak besar.

“Selain itu, program ini juga akan membiasakan mereka agar terus berusaha bersungguh-sungguh menjayakan kerja sukarelawan biar sekecil mana pun usaha itu dilihat,” katanya.