Sempena menyambut Hari Kebangsan dan dalam proses Transformasi Nasional 2050 (TN50), tema Negaraku Alam Sekitarku amatlah sesuai dan mesti difahami, dihayati dan dilaksanakan oleh semua rakyat Malaysia.

Namun begitu walaupun kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi keadaan alam sekitar kita masih belum pada tahap terbaik, kos pengurusan sampah masih tinggi, pencemaran bahan kimia masih berlaku , aktiviti penebangan balak atau pembersihan hutan masih berlaku tanpa kawalan yang baik, kejadian banjir lumpur masih berlaku, masih ada pihak yang tidak puas hati dengan pengurusan alam sekitar dan alam semula jadi oleh kerajaan.

Perkara ini terus berlaku mungkin kerana kita belum mempunyai undang-undang yang mantap dan pelaksanaannya yang masih longgar. Perkara berkaitan dengan undang-undang mestilah dilihat dengan lebih terperinci selari dengan dasar kerajaan dan proses pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang yang ada. Undang-undang di semua jabatan berkaitan mesti dilihat semula dan diselaraskan agar dalam proses perancangan, pembangunan dan penguatkuasaan undang-undang ada keseragamannya dan tidak ketinggalan dalam membuat keputusan yang melibatkan alam sekitar dan pengurusan serta pemuliharaan sumber asli negara.

Kalau dilihat kenapa isu pencemaran bahan kimia, banjir lumpur, pembangunan di kawasan penampan sungai, pembalakan haram dan kehilangan kepelbagaian biologi terus berlaku mungkin kerana perlaksanaan undang-undang yang tidak seragam dan tidak berkesan.

Kelemahan undang-undang sedia ada, integrasi antara jabatan, pengetahuan penguatkuasa undang-undang dan kuasa yang diberikan kepada penguatkuasa dalam hal alam sekitar untuk menguatkuasakan undang-undang mestilah dilihat dengan terperinci. Penglibatan pakar undang-undang dan pakar berkaitan alam sekitar dan kepelbagaian biologi mestilah dilibatkan sekiranya memerlukan kajian semula undang-undang dan kaedah pelaksanaannya .

Pengalaman dalam menggubal Dasar Kepelbagaian Biologi Negara 2016-2025 misalnya melibatkan nasihat dan pandangan pakar-pakar dan ahli sains dari dalam dan luar negara.

Maklumat daripada seminar dan konferens dirujuk dan dianalisis bagi memantapkan dasar yang digubal. Ini penting agar dasar yang digubal itu berada pada landasan tepat dan boleh mencapai matlamatnya.

Maklumat tentang undang-undang ini mestilah diterjemahkan dengan cara terbaik untuk semua masyarakat supaya faham, mempunyai kesedaran dan menjadi agen kerajaan dalam memastikan undang-undang berjalan selari dengan dasar kerajaan tentang alam sekitar dan kepelbagaian biologi untuk kepentingan masyarakat dan negara.

Perkara kedua penting ialah pengetahuan yang lengkap dikalangan masyarakat tentang alam sekitar dan kesannya kepada manusia. Misalnya berapa ramai masyarakat Malaysia faham apa yang berlaku setelah mereka membuang satu beg plastik di luar rumah. Berapa ramai yang akan berkata beg plastik itu akan di bawa angin atau air ke longkang dan akhirnya ke sungai dan kemudian ke laut.

Di laut akan memberi kesan kepada hidupan liar seperti penyu, ikan atau ikan paus yang akan mengancam populasi haiwan itu yang mana akhirnya boleh mengganggu kestabilan cuaca dunia.

Mungkin juga ada yang akan berkata beg plastik itu akan dikutip pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dibawa ke tapak pelupusan sampah yang kemudiannya ditimbus di situ untuk sekian lama.

Sudah banyak dibincangkan dalam media massa , seruan PBT dan diajar di dalam bilik darjah secara formal, plastik boleh memberikan kesan kepada alam sekitar secara fizikal atau secara pencemaran bahan kimia.

Begitu juga kefahaman tentang penebangan hutan yang boleh mengakibatkan banjir lumpur, kehilangan kepelbagaian biologi negara dan akhirnya memberikan kesan kepada manusia dari segi ekonomi dan kesihatan.

Masalah pencemaran air sungai yang mengganggu bekalan air minuman dan kegunaan domestik telah lama mengajar masyarakat. Ringkasnya pengetahuan masyarakat tentang alam sekitar dan rantaian masalah yang serius mestilah difahami bukan sahaja melibatkan kos tetapi menjadi bencana alam yang merugikan dan kesan kepada kesihatan kehidupan termasuk manusia jangka pendek dan jangka panjang.

Kefahaman tentang rantaian kesan ini sangat penting dan berkait rapat dalam menggubal dan menguatkuasakan undang-undang.

Semua pegawai kerajaan dilatih untuk menguasai maklumat tentang dasar, maklumat tentang alam sekitar dan kepelbagaian biologi negara serta undang-undang terlibat.

Dengan kefahaman yang lengkap pegawai berkaitan dapat menjalankan tugas dengan baik dan penuh yakin. Misalnya apakah peranan hidupan liar kepada kesejahteraan rakyat jangka pendek dan jangka panjang, peranan gajah dan harimau dalam hutan yang memberikan faedah kepada masyarakat seperti kestabilan ekosistem, sumber air untuk kehidupan termasuk manusia dan sumber ekonomi seperti ekopelancongan.

Begitu juga kesan penebangan hutan memberikan kesan kepada perubahan cuaca, kehilangan spesies hutan lebih-lebih lagi Malaysia sebagai sebuah negara megabiodiversiti dunia, kesan banjir atau kemarau yang menyebabkan kerugian berjuta ringgit dan mungkin kehilangan nyawa,. Denda yang dikenakan yang melibatkan alam sekitar perlu dikaji dengan mengambil kira rantaian kesan yang berlaku.

Misalnya kes penebangan hutan dan penarahan bukit menyebabkan cerun bukit terdedah kepada hakisan hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir lumpur merosakkan sistem sungai menjadi cetek atau hakisan tebing sungai yang membahayakan masyarakat setempat termasuk kemusnahan harta benda atau haiwan ternakan. Penguatkuasaan undang-undang dan denda mestilah setimpal dengan kerugian yang dialami oleh kerajaan dan masyarakat setempat serta kemusnahan alam sekitar.

Kalau sungai tercemar di hulu maka kesannya juga dapat dilihat di hilir dan muara sungai.

Pulihkan alam sekitar menerusi NBOS

Semua PROGRAM kerajaan dalam memastikan persekitaran yang sihat dan kepelbagaian biologi negara dijaga perlu diambil maklum oleh semua rakyat. Ini penting agar semua peringkat masyarakat memahami dan dapat menyokong usaha kerajaan untuk negara. Lebih banyak publisiti perlu dilakukan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam berkenaan kesejahteraan, perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar. Untuk memberi kesedaran dan amalan dalam kalangan masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah. Kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan diperlukan. Menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sebagai langkah kerjasama antara jabatan dan institusi bagi mengurangkan perbelanjaan, bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah atau agenda adalah satu pendekatan yang baik namun begitu kefahaman dan kerjasama antara jabatan perlu ditingkatkan lagi.

Kejayaan pengurusan alam sekitar sangat mencabar dan sukar diukur sekiranya tiada komitmen tinggi kerajaan. Penglibatan secara individu pemimpin tertinggi negara, pegawai kerajaan, NGO, dan masyarakat amnya boleh membantu kejayaan pengurusan alam sekitar.

Malaysia sudah jelas komited di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam banyak hal berkaitan kepelbagaian biologi, perubahan cuaca dan pemuliharaan hutan. Komitmen dan pandangan jauh kerajaan tentang alam sekitar dan kepelbagaian biologi mestilah difahami masyarakat dan disokong sepenuhnya.

Alam semulajadi negara adalah warisan bangsa sesuai dengan tema Negaraku Alam Sekitarku.