Menurut kenyataan Jabatan Perikanan negeri, punca kematian ikan di dalam sangkar di Teluk Bahang itu masih dalam siasatan oleh agensi-agensi berkenaan iaitu Jabatan Perikanan, Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Jabatan Perikanan negeri telah menghantar sampel ikan dan sampel air ke Makmal Jabatan Perikanan bagi analisis terperinci parameter rasmi seperti kualiti air, kandungan logam berat, parasit dan sebagainya.

"Hasil analisa tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan Jabatan Perikanan negeri menafikan dakwaan bahawa kematian ikan-ikan tersebut adalah akibat keracunan dan pencemaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan bahawa ribuan ikan yang diternak di dalam sangkar di kawasan perairan Teluk Bahang mati dipercayai akibat keracunan.

Susulan laporan berkenaan tular dalam media sosial mengenai amaran kepada pengguna agar tidak memakan ikan yang ditangkap di kawasan berkenaan.

Kenyataan itu menambah, selagi keputusan rasmi tidak dikeluarkan berlandaskan analisa yang dijalankan, dakwaan daripada artikel tersebut adalah tidak berasas. - UTUSAN ONLINE