Bulan ini pada 22 Mei ini seluruh dunia menyambut Hari Biodiversiti yang bertemakan Biodiversiti dan Pelancongan Mampan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 22 Mei sebagai Hari Kepelbagaian Biologi Antarabangsa (IDB) bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran umum tentang isu-isu biodiversiti.

Setiap tahun IDB mempunyai tema tertentu mengikut trend atau aliran semasa. Sebelum ini banyak tema yang menarik sempena IDB seperti Biodiversiti Pulau, Biodiversiti Marin, Air dan Biodiversiti, Biodiversiti dan Pertanian dan Biodiversiti Hutan sejak sambutan diadakan 2002.

Tema tahun ini sesuai dengan tema tahun pelancongan mampan untuk pembangunan antarabangsa seperti yang diistiharkan oleh Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA). Biodiversiti dan alam semula jadi adalah antara tumpuan industri pelancongan dunia.

Biodiversiti pada peringkat spesies dan ekosistem adalah perkara asas kepada aspek ekopelancongan memandangkan kepada ekopelancongan merupakan sumber ekonomi penting maka pemuliharaan kekayaan alam perlu diberikan perhatian.

Banyak isu biodiversiti memberikan kesan terus kepada industri pelancongan. Pengurusan sektor pelancongan dengan baik boleh menyumbang kepada pengurangan ancaman terhadap hidupan liar dan kos penjagaannya. Kurangnya ancaman dan menyokong pemuliharaan untuk tujuan ekopelancongan juga boleh menambah populasi hidupan liar serta nilai biodiversiti.

Menerusi hasil pendapatan aktiviti pelancongan, ia boleh menampung kos perlindungan dan pemuliharaan habitat dan hidupan liar. Aktiviti pelancongan boleh menyumbang kepada kefahaman dan kesedaran awam dalam melindungi kawasan, pemulihan habitat dan penglibatan komuniti dan hal-hal berkaitan spesies dan ekosistem, Minat penduduk tempatan untuk melindungi dan memulihara biodiversiti menjadi peluang untuk mereka menjana pendapatan. Aktiviti ekopelancongan memberikan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Sempena IDB pelbagai aktiviti boleh dijalankan oleh pihak masyarakat, organisasi dan agensi kerajaan. Antara aktiviti yang sering diadakan ialah persidangan, seminar, bengkel dan forum dengan membawa ramai pakar membincangkan tentang biodiversiti dan kepentingannya dalam aktiviti pelancongan.

Selalunya rakyat negara membangun bertanyakan soalan tentang mana yang lebih baik antara ekonomi atau faedah hutan simpan dan kebaikannya jika dibangunkan kawasan hutan untuk penempatan penduduk dan peluang pekerjaan.

Perbincangan menyeluruh dan bersepadu termasuk bersama bidang-bidang perhutanan, pertanian, bioteknologi, perikanan pelancongan, industri, pencemaran dan pelbagai bidang lain perlu diadakan. Pendekatan baharu ini menggantikan pendekatan lama yang secara tradisionalnya dibincangkan secara berasingan. Pendekatan bersepadu antara bidang penting agar semua pihak faham, menghargai, menghormati dan membantu pemuliharaan biodiversiti untuk pelancongan.

Pada peringkat lain, mungkin melibatkan pelajar sekolah dan guru-guru melakukan aktiviti melawat taman rekreasi. muzium, akuarium, taman botani, jelajah hutan dan sebagainya untuk kefahaman dan kesedaran tentang biodiversiti setempat. Semangat tentang pemuliharaan, penghargaan alam semula jadi boleh dipupuk sejak kecil pada peringkat prasekolah bersama ibu bapa mereka. Aktiviti kanak-kanak akan lebih berkesan sekiranya mereka bersama keluarga. Pada peringkat remaja pula, bolehlah menjalankan aktiviti yang lebih aktif seperti menjelajah hutan, menyusuri sungai, merentasi jeram atau pantai bagi memahami dan menghayati biodiversiti serta kepentinganya dalam ekosistem.

Banyak destinasi pelancongan berasaskan biodiversiti yang menjadi tumpuan aktiviti pelancongan. Destinasi yang sejuk melampau seperti Alaska yang merupakan sebuah negara Artik yang cantik dengan salji dan hidupan liar seperti ikan paus, beruang, singa laut, burung pemangsa dan haiwan liar lain yang hampir pupus telah menarik minat pelancong ke sana. Hutan Amazon di Brazil yang dikatakan menghasilkan 20 peratus oksigen dunia juga menarik minat pelancong untuk melihat tumbuhan, burung, mamalia dan haiwan akuatik yang unik.

Banyak inovasi untuk pelancong seperti menjelajah kanopi, bersampan menyusuri sungai dan memerhati burung dilakukan bagi memenuhi selera peminat alam semula jadi.

Antartika juga menjadi tarikan pelancong kerana suhu sejuk untuk melihat keganjilan di sana dari segi hidupan liar yang unik. Dilaporkan seramai 46,000 pelancong ke Kutub Selatan tiap tahun melihat penguin, bongkah ais dan keindahan pemandangan. Banyak lagi tempat yang mempunyai keunikan dan kekayaan biodiversiti di tanah tinggi, pantai maupun lautan menarik ramai pelancong ke negara berkenaan seperti Botswana di Afrika, Costa Rica di benua Amerika, Kepulauan Caribbean dan Himalaya di Nepal.

Ada juga tempat istimewa yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) juga menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Antaranya seperti Blue Mountain di Australia dan Kepulauan Galapagos yang telah mendapat publisiti menyeluruh dalam media antarabangsa.

Semangat tentang pemuliharaan, penghargaan alam semula jadi boleh dipupuk sejak kecil pada peringkat prasekolah bersama ibu bapa mereka.

Aktiviti kanak-kanak akan lebih berkesan sekiranya mereka bersama keluarga.

Tarikan Malaysia

Malaysia juga tidak ketinggalan mendapat tarikan pelancong berasaskan kepada alam semula jadi dan biodiversiti.

Langkawi Geopark yang mendapat pengiktirafan UNESCO juga sekarang sedang menunjukkan peningkatan bilangan pelancong. Maka kelestarian Langkawi Geopark mestilah dikekalkan.

Di Sabah dan Sarawak juga menarik pelancong menikmati Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara, Pusat pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan keunikan monyet belanda (Probosis monkey).

Antara tempat-tempat menarik ekopelancongan di Malaysia ialah Santuari Gajah di Kuala Gandah Pahang, Santubung, Sarawak; Cameron Highland, Pahang; Pulau Perhentian, Terengganu; Gua Mulu, Sarawak; Taman Negara Pulau Pinang; Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Kepong; Taman Negara Pahang, Kelantan dan Terengganu; dan Belum-Temenggor, Perak.

Masing-masing tempat tersebut menarik minat pelancong mendekati haiwan liar seperti gajah, burung, orang utan, ikan lumba-lumba dan menikmati keindahan flora fauna serta kehijauan hutan hujan tropika.

Banyak lagi tempat dan produk ekopelancongan baharu seperti menyusuri sungai bersama kelip-kelip; menikmati keindahan sungai, jeram dan air terjun; dan melihat penyu serta mencandat sotong yang boleh diketengahkan.

Malaysia sebagai negara biodiversiti mega sudah tentu dapat menyediakan pelbagai selera penggemar alam semula jadi. Bilangan penggemar alam semula jadi, pelancong yang mempunyai kesedaran tinggi tentang alam semula jadi, penggemar aktiviti pengembaraan lasak dan menikmati kehijauan semakin meningkat di dunia. Mereka sanggup berbelanja demi untuk kepuasan diri. Maka kawasan yang alam semula jadi dan alam sekitarnya serta penduduk orang asli terjaga akan menjadi destinasi pelancongan yang semakin penting dan popular.

Maka potensi ekopelancongan negara sangat tinggi untuk menjana pendapatan negara. Banyak contoh destinasi ekopelancongan utama negara seperti yang disenaraikan menunjukkan konflik pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan tempatan.

Contoh mudah adalah pembinaan kolam udang di kawasan santuari burung Kuala Gula di Perak dan penebangan hutan di kawasan Kuala Koh, Kelantan dan aktiviti pencerahan kawasan hutan bersempadan Taman Negara Pahang.

Masalah lain adalah gangguan hutan di kawasan hulu sungai yang mengalir ke kawasan hutan simpan, aktiviti pertanian tanah tinggi di Cameron Highlands, pencerobohan hutan bersempadan ladang kelapa sawit atau getah, dan pembalakan haram.

Banyak lagi aktiviti yang sepatutnya dikawal oleh pihak berkuasa bagi menyeimbangkan kepentingan pembangunan ekonomi, industri ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti mega di negara ini.