Ini diakui sendiri wartawan Thailand dari majalah Offroad dan portal thailandoffroad.com, Charn Chai Petchin telah menyertai Borneo Safari tiga tahun berturut-turut.

Katanya, hampir 400 acara offroad yang disertai sejak 30 tahun lalu dan mengakui ekspedisi tersebut merupakan acara terbaik.

“Pihak penganjur menyediakan pelbagai jawatankuasa untuk memastikan para peserta sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Sebagai contoh, setiap pergerakan dan halangan sentiasa dikemas kini oleh ketua ekspedisi memastikan setiap peserta sentiasa bersedia dengan halangan-halangan yang ada.

“Saya juga dapat melihat ada juga kenderaan pasukan medik yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan sekiranya ada berlaku kecederaan,” ujar beliau.

Tambah Charn, setiap pemilik pacuan empat roda wajib menyertai acara tersebut sekali seumur hidup bagi merasai pengalaman ekspedisi lasak dan juga bagi menguji tahap ketahanan kenderaan mereka.

“Sebagai contoh pada tahun ini, laluannya sangat mencabar dan pastinya memberi cabaran kepada kenderaan masing-masing.

“Pada hari kelima, urus setia terpaksa mengambil keputusan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelak daripada terkandas lebih lama di dalam hutan memandangkan laluan dan halangan yang sukar untuk mendaki bukit yang agak curam.

“Walaupun terpaksa menggunakan laluan alternatif, bagi peserta ia bukan satu laluan yang mudah kerana terdapat halangan seperti ada jalan yang terputus di mana peserta-peserta terpaksa membuat jambatan dan laluan sungai yang agak berbatu serta laluan yang berlumpur hingga ada kenderaan yang terpaksa bermalam di dalam lumpur disebabkan kenderaan mereka tidak dapat bergerak.

“Mungkin ada yang kecewa kerana tidak dapat melalui laluan yang telah ditetapkan, tetapi tiada rungutan daripada para peserta kerana masing-masing memahami kesukaran tersebut dan mereka tetap ceria dan bersemangat mengharungi jalan alternatif yang membawa pasukan kepada laluan bukit curam serta laluan baharu yang terpaksa dibina bagi mengelak daripada terperangkap dalam takungan lumpur.

“Tahniah kepada semua peserta yang menyertai Borneo Safari 2017 dan tidak lupa kepada penganjur serta sukarelawan yang tidak putus-putus berusaha memastikan acara ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Bagi Editor majalah Santai, Azli Khairi, pada awalnya dia berasa risau untuk menyertai ekspedisi tersebut.

“Selepas 10 tahun tidak masuk ke hutan, pastinya timbul perasaan risau memikirkan adakah saya dapat bertahan hidup di dalam hutan selama lapan hari kerana selalunya saya dan rakan-rakan berkhemah dalam hutan hanya dua hingga tiga hari sahaja.

“Pada hari pertama ada juga perasaan menyesal kerana berasa agak susah terutama untuk pergi ke tandas tapi syukur bila ada rakan-rakan media yang lain membantu memberikan tip dan sanggup menjadi penunjuk arah, jadi semuanya baik,” katanya ketawa.

Azli yang turut dikenali sebagai AK turut melahirkan rasa kagum kepada pasukan tukang masak atau Chuck Wagen yang menyediakan makanan kepada rombongan media.

“Memang sangat mengagumkan kerana pasukan tukang masak dapat menyediakan makanan kepada semua peserta dalam pasukan media kira-kira 50 orang dengan masa yang tepat.

“Makanan yang disediakan juga tidak menghampakan, semua sangat berselera tambahan pula bila kelaparan di dalam hutan, semuanya sedap,” ceritanya gembira.

Selain dari masalah tandas, AK turut berkongsi perasaan mengenai keadaan tanah yang berlumpur di kem serta laluan ekspedisi.

“Perasaan saya semasa melihat lumpur tentulah agak terkejut dan agak menakutkan kerana tidak pernah masuk ke dalam kolam lumpur.

“Bayangkan kaki kami berlumpur dan basah sepanjang 24 jam hingga kecut dan putih kaki setiap orang.

“Sampaikan rasa malas untuk bergerak turun dari kereta atau katil khemah (camp bed) tetapi terpaksa turun juga apabila difikirkan balik, iaa hanya lumpur dan barulah terasa cabarannya.

“Tahun ini Borneo Safari dan lumpur adalah sinonim, mungkin juga acara ini dipilih pada bulan ini disebabkan musim hujan yang menyebabkan laluan basah dan berlumpur, jadi pastikan anda bersedia dengan keadaan ini bila anda menyertai acara ini pada masa hadapan,” kongsinya.

Selain itu, AK turut berharap sungai-sungai yang disinggahi oleh ekspedisi ini akan dibuka kepada pelancong sebagai produk pelancongan baharu di daerah Papar.

“Ada antara sungai-sungai yang disinggahi kami sesuai dijadikan produk pelancongan Lung Washing Tourism yang mana kawasan hutan menjanjikan udara yang segar, bunyi ‘orkestra alam’ seperti burung dan cengkerik sesuai untuk mereka yang menghadapi tekanan kerja, jadi lupakan screen komputer, bangunan konkrit untuk seketika dan alami sendiri pengalaman yang tidak ternilai ini,” katanya dengan semangat yang baharu. - ASMIDAR ZAINAOL

Antara wanita yang lasak yang menyertai ekspedisi tersebut adalah penulis bebas, Susan Tan dari Kuala Lumpur.

Menurut Susan, dia tahu bahawa ekspedisi itu bukannya sesuatu yang mudah untuk dilepasi.

“Saya tidak menjangkakan sebarang keselesaan sepanjang tujuh hari tersebut tetapi saya pahatkan dalam fikiran saya yang penyertaan saya dalam Borneo Safari 2017 ini adalah untuk bergembira dan menambah pengalaman serta rakan-rakan baharu yang pastinya menjadi memori manis buat saya.

“Bagi rakan-rakan wanita yang ingin menyertai aktiviti ini, anda harus pandai mengurus diri sebagai contoh saya akan bangun seawal pagi yang boleh semasa peserta-peserta masih tidur agar memudahkan saya untuk mencari lokasi tandas yang sesuai,” katanya ketawa.

“Pengalaman paling tidak dilupakan adalah malam terakhir yang mana saya dapat menyaksikan fasa bulan penuh yang sangat cantik dengan fenomena halo seperti mengucapkan selamat tinggal kepada kami.

“Antara pengalaman lain adalah buat petama kali dalam hidup saya, saya berjalan dengan berkaki ayam di dalam lumpur kerana tidak mahu mengotorkan kasut, tetapi apabila kaki saya terluka, saya terpaksa juga memakai kasut.

“Selain itu, pengalaman mandi di sungai yang berlumpur juga tidak dapat dilupakan, tetapi disebabkan tiada punca air lain kami terpaksa mandi juga dan kemudiannya membersihkan badan sekali lagi dengan tisu basah,” kongsinya bersama penulis.

Susan berkata ini adalah kali pertama dia menyertai Borneo Safari dan kali kedua menyertai aktiviti pacuan empat roda selepas program, Trans Borneo di Sabah, Sarawak dan Brunei pada Ogos lalu.

Sementara itu, Menurut Ketua Logistik Media, Hilary Francis, pengalaman 11 tahun membawa pasukan media merupakan tugas yang besar kepadanya.

“Pada tahun ini sebanyak 16 kenderaan telah disediakan oleh pihak persatuan dan empat kenderaan daripada penaja digunakan bagi membawa kumpulan ini.

“Bagi pihak media, kita akan pastikan tempat tinggal, makan dan minum dan sebagainya disediakan dengan sebaik mungkin tetapi ada juga perkara-perkara yang berlaku di luar kawalan kita sebagai contoh, ada beberapa malam para peserta terpaksa bermalam di khemah yang berlumpur kerana tiada pilihan.

“Walau bagaimanapun kesemua peserta cukup memahami keadaan itu dan tiada masalah berbangkit kerana ia dapat menjadikan keadaan itu sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka.

“Tahniah kepada semua pasukan media yang menyertai acara Borneo Safari tahun ini kerana walaupun baru berkenalan, mereka memberikan kerjasama dengan sepenuhnya dan senang bergaul antara satu sama lain tidak mengira sesiapapun serta mudah adaptasi dengan keadaan semasa,” katanya.

Hilary juga memberi tip kepada media yang ingin menyertai acara ini pada tahun 2018 untuk bersedia fizikal dan mental, berdikari sediri dan menanamkan semangat berpasukan.

Petugas-petugas media yang berminat untuk menyertai acara ini pada tahun 2018 boleh melayari laman Facebook Borneo Safari.