Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beberapa langkah telah diambil sejak awal bulan ini antaranya mengepam air dari Sungai Muar, Johor dan jumlah itu mencukupi untuk kegunaan harian rakyat negeri ini iaitu sebanyak satu peratus dari jumlah pengepaman maksimum 220 juta liter.

Beliau berkata, ketika ini bekalan air empangan itu berada pada paras 36 peratus manakala Empangan Jus 53 peratus.

"Kerajaan negeri memberi jaminan catuan air tidak akan berlaku kerana kita telah mengambil beberapa langkah dalam pelan tindakan termasuk pengepaman air dari Sungai Muar.

"Kita juga akan mengeluarkan surat permohonan baharu kepada Syarikat Air Johor (SAJ) tidak lama lagi untuk membenarkan kadar pengepaman air dinaikkan kepada 250 juta liter bagi membolehkan simpanan bekalan air dibuat," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian bantuan bencana kepada mangsa banjir kawasan Dewan Undangan Negeri Rembia di Masjid Al Aman di sini hari ini. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Menurut Adly, selain tindakan mengepam air dari Muar, pihaknya yakin keadaan itu terkawal kerana paras air di Empangan Jus yang menyokong bekalan air masih mencukupi berbanding paras terendah pernah direkodkan iaitu 25 peratus.

"Keadaan cuaca hujan sejak kebelakangan ini juga banyak membantu dan pada masa yang sama Badan Kawal Selia Air (BKSA) akan sentiasa mencari langkah penyelesaian jangka panjang.

"Jika memerlukan kerajaan negeri bersedia membeli air berharga RM1.40 seliter daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bagi menampung keperluan rakyat," katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Empangan Durian Tunggal mendapati terdapat kawasan hilir yang telah kering sehingga menampakkan permukaan tanah. - UTUSAN ONLINE