Dalam satu-satu masa ia boleh berpecah kepada enam dan tujuh kelompok.

Ramalan itu saya buat semasa umat Melayu Malaysia masih diperintah oleh UMNO.

Semasa ramalan itu dibuat, UMNO sedang menghadapi pelbagai cabaran. Orang Melayu sudah mula bersuara dan kritis pemikiran mereka. Mereka tidak lagi memikirkan apa UMNO boleh buat kepada orang Melayu, tetapi apa yang mereka boleh buat bagi memperbetulkan apa yang tidak betul dalam parti itu.

Maka berlakulah apa yang saya sebut dalam buku itu sebagai 'kecelaruan pemikiran' bagi mencari satu titik noktah kepada pemasalahan yang sedang tercetus.

Dr. Mahathir Mohamad dalam Prakata buku itu menulis: “Jika sejarah lampau dijadikan teladan, jelas kesedaran orang Melayu mula timbul... tentang nasib serta hala tuju bangsa, agama dan tanah air.”

Oleh itu, jom kita lihat sejarah.

Bibit-bibit kekalutan itu mulai berlaku apabila Dr. Mahathir turun dari kerusi PM selama 22 tahun pada 2003, dan diambil alih oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Gerak badan Abdullah atau Pak Lah semasa watikah diserahkan kepada beliau menunjukkan dia mahu lari sepantas mungkin daripada legasi dan cerminan Mahathir.

Ia ternyata benar. Pak Lah cuba menafikan banyak polisi tinggalan Mahathir. Itu dibatalkan, ini dibatalkan. Maka, bermulalah bibit-bibit seteru antara dua tokoh politik itu. Pak Lah tidak mahu menoleh ke belakang; sehingga banyak antara dasar-dasar beliau tergelincir daripada landasan.

Mahathir cukup bengang dengan Pak Lah, sehingga ke hari ini.

Campur tangan pihak ketiga atau dikenali sebagai 'Geng Tingkat 4' di pejabat Perdana Menteri (PMO) mengusutkan lagi keadaan.

Kami, para wartawan — penganalisis politik ketika itu, sudah dapat merasakan konflik itu. Siang malam kami bergosip mengenainya. Namun semuanya kini adalah sejarah.

Terdahulu daripada itu, mengimbau satu peristiwa yang mungkin tidak dapat dilupakan ialah apabila saya diarahkan oleh bos saya ketika itu, Khalid Mohd. untuk bertanyakan kepada Dr. Mahathir, sebelum beliau meletak jawatan, siapakah sepatutnya Timbalan kepada Pak Lah?

Ia berlaku dalam satu sidang akhbar di Bangkok, sempena lawatan Dr. Mahathir ke persidangan antarabangsa di situ.

Saya ‘diarahkan’ memasukkan ke dalam mulut Dr. Mahathir satu soalan closed-ended: “adakah Najib Razak akan menjadi timbalan kepada Pak Lah?”

Dr. Mahathir dipetik (lebih kurang) berkata “...saya rasa dia yang paling sesuai.” Berita itu menjadi berita utama muka satu Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar lain keesokan harinya. Ia antaranya berbunyi “Najib timbalan Pak Lah”.

Sehingga ke hari ini saya tidak pernah bertanya dengan Khalid Mohd. adakah soalan itu diminta ditanya oleh Dr. Mahathir sendiri?

Calon Pak Lah ketika itu adalah antara Muhyiddin Yassin dan Najib. Namun, umum mengetahui Mahathir lebih sukakan Najib, mungkin atas faktor terhutang budi kepada Tun Razak atau atas keperibadian Najib sendiri.

Apa yang berlaku selepas itu juga adalah sejarah. Najib diangkat menjadi timbalan, dan apabila Pak Lah turun dari kerusi PM, Najib mengambil alih tampuk kepemimpinan negara dan melantik Muhyiddin selaku timbalannya.

'Geng Tingkat 4' lenyap, dan corak serta inner circle baharu pula mengambil alih pejabat Perdana Menteri.

Sejarah terus tercipta, berlaku konflik antara Najib dan Muhyiddin. Muhyiddin meninggalkan Najib atas alasan isu 1MDB.

Najib kemudian mengambil 'orang yang paling dipercayainya' iaitu Zahid Hamidi selaku timbalan. Zahid adalah pemimpin UMNO yang bersama-sama dengan Najib sejak zaman Pemuda lagi. Mereka dikenali sebagai 'kawan sekufu’.

Namun, Zahid juga dalam masa yang sama dikenali sebagai penyokong dan rakan sekufu’ — secara terbuka dan terselindung — Anwar Ibrahim.

Apa yang berlaku kepada Najib juga —adalah sejarah.Banyak nasihat yang cuba dinasihati kepada Najib semasa isu 1MDB terus-menerus menjadi panas dan gagal diselesaikan. Namun, nasihat-nasihat itu juga telah menjadi sejarah.

Dr. Mahathir telah menggunakan isu 1MDB untuk menghentam habis-habisan Najib, yang pernah diharapkannya satu ketika dulu. Beliau seterusnya menubuhkan Parti Bersatu sebagai alternatif jika UMNO tersungkur.

Matlamat beliau adalah semata-mata mahu menjatuhkan Najib.Mungkin beliau beranggapan UMNO tidak salah, yang salah ialah orang-orang UMNO. Namun sekarang, Mahathir sudah mulai berkata UMNO akan mati kerana keseluruhan strukturnya penuh dengan anai-anai. “Masuklah beramai-ramai ke parti saya”.

Kini sejarah sedang dilakar. Apakah benar ramalan yang mengatakan UMNO akan dibiarkan mati atau dikuburkan selepas ini?

Namun, sembang saya beberapa malam lepas di restoran Cina, Kelab Tasik Diraja Kuala Lumpur cukup menarik. Beberapa orang rakan turut hadir, termasuk Dr. Rais Saniman, penganalisis ekonomi dan tokoh yang menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Kata Dr. Rais, apa yang berlaku dalam UMNO sekarang, apabila seorang demi seorang ditahan dan dibicarakan atas tuduhan korupsi, menunjukkan 'satu proses pembersihan' sedang berlaku secara lahiriah atau natural dalam parti itu.

Sambil memakan ikan patin kukus, kami bersembang lagi “siapa lagi dalam senarai yang akan dipanggil dan didakwa?”

Terbaharu ialah Zahid Hamidi.Masing-masing kemudian memberi nama itu dan ini. Apabila malam semakin sayup, dan tetamu restoran Bunga Raya itu mulai menghilang, kami meninggalkan kelab itu dengan seribu pertanyaan?

Adakah UMNO benar-benar akan dimatikan? Atau ia akan dibersihkan dan terus hidup? Apa akan berlaku selepas tiadanya Dr. Mahathir? Apa hala tuju Anwar? Adakah dia masih rakus? Benarkah satu lagi krisis besar politik negara akan berlaku?

Adakah Zahid dijadikan 'lembu suci' untuk disembelih bagi menggagalkan usahanya dengan 'kawan sekufu’ Anwar untuk bergabung dan menolak keluar Mahathir? Benarkah grand design itu sedang dicipta? Atau operatif Mahathir yang awal-awal sudah menghidunya; dan bertindak?

Politik Malaysia tiba di satu lagi pusingan. Kali ini ia lebih hebat. Kita akan lihat siapa yang akan hidup dan mati? Siapa yang akan berputih mata?

Adakah akan berlaku lagi cubaan untuk memancing sisa-sisa Ahli Parlimen UMNO atau UMNO leftovers ke dalam kem Mahathir?

Sejarah masih lagi dikarang.

Kelmarin saya sempat mengikuti forum Bicara Minda bersama Dr. Mahathir di Sinar Harian.

Satu soalan yang cukup hebat ditanya moderator, mantan bos saya Johan Jaaffar: “Adakah Anwar Ibrahim akan menggantikan Mahathir selaku PM ke-8?”

Jawapan Mahathir: “Saya tiada masalah, tapi terpulanglah kepada rakyat?”

Sebaik sahaja Mahathir menyebut baris kedua itu, dewan bergema dengan tepukan. Apa tandanya? Entahlah?

Johan, ironinya pernah mewawancara Dr. Mahathir semasa Anwar menjadi timbalannya dahulu dengan soalan yang lebih kurang sama. Jawapan Dr. Mahathir ketika itu adalah “saya tiada masalah”.

Namun ‘tiada masalah’ itu tidak pernah menjadi.

Sejarah akan tercipta lagi. Kita tunggulah. Saya hanya tukang catat...