Walaupun ada rakan-rakan yang suka mengusik apabila mendakwa umur saya paling lambat meningkat setiap tahun, ia sebenarnya memberikan perspektif yang agak unik kerana saya akan sentiasa memulakan tahun baharu dengan umur yang baharu.

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, setiap rakyat Malaysia sudah tentu akan menanam pelbagai azam yang ingin dicapai sepanjang 2019.

Bagi saya yang telah pun menginjak ke usia 73 tahun, apa yang paling saya inginkan adalah untuk semua rakyat Malaysia menjadikan negara kita lebih selamat, maju dan makmur di mana rakyat boleh hidup berharmoni dan bersatupadu.

Pengalaman mengajar kita betapa segala kejayaan pembinaan negara tidak akan memberi makna jika kita tidak dapat mengekalkan perpaduan yang merupakan asas kepada keamanan dan kemakmuran negara.

Oleh itu, kita perlu mewujudkan lebih banyak detik perpaduan di mana rakyat pelbagai bangsa, budaya dan agama boleh berkongsi pelbagai perkara dan menghormati antara satu sama lain.

Toleransi dan keharmonian kaum sebenarnya boleh dilihat dalam sukan dan semasa berlakunya kemalangan dan bencana alam apabila rakyat Malaysia membantu mangsa tanpa bertanya tentang latar belakang etnik atau agama mereka.

Bagaimanapun, beberapa insiden yang berlaku beberapa bulan lepas menunjukkan betapa rapuh keharmonian antara kaum di mana perkara kecil boleh berubah menjadi percikan api yang menimbulkan ketegangan kaum.

Saya berharap insiden-insiden tersebut menjadikan semua rakyat Malaysia lebih berhati-hati apabila berhadapan isu perkauman atau keagamaan kerana akan sentiasa ada pihak yang akan mengeksploitasinya untuk faedah mereka sendiri.

2019 sepatutnya menjadi tahun di mana kita memberi tumpuan yang lebih kepada usaha untuk membina keharmonian dan perpaduan antara kaum dan lebih banyak program harus diadakan untuk menarik orang ramai menyertainya agar mereka dapat bercampur-gaul dan berinteraksi.

Lebih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memupuk persefahaman yang lebih baik dalam kalangan rakyat supaya kita dapat mengukuhkan keharmonian antara kaum.

Negara kita bukan sahaja perlu selamat daripada bencana, keganasan, jenayah dan kekerasan tetapi juga daripada masalah dan konflik yang disebabkan oleh kebencian kaum atau agama.

Adalah penting bagi Malaysia untuk terus wujud sebagai negara yang bersatu-padu, aman dan stabil walaupun terdapat ideologi politik dan pandangan yang berbeza.

Seperti yang saya sering sebutkan, tugas paling mendesak bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kecenderungan politik ialah mengekalkan keharmonian kaum dan agama di negara kita yang tercinta.

Menyedari pelbagai isu perkauman dan keagamaan telah dieksploitasi oleh pihak tertentu, saya berharap rakyat Malaysia tidak akan membenarkan keharmonian diancam oleh polarisasi kaum, yang boleh membawa kepada perselisihan dan sikap tidak menghormati orang lain.

Ia harus bermula di sekolah kerana pelajar yang mempunyai kesedaran dan pemahaman tentang Rukun Negara dan sejarah negara akan sentiasa menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang unik di mana rakyat pelbagai kaum dan agama boleh hidup dengan selamat dan saling menghormati antara satu sama lain.

Memandangkan 2019 telah pun bermula, saya berharap semua rakyat Malaysia akan membuang semua perasaan negatif dan kebencian dan menjadikan perpaduan dan keharmonian antara kaum sebagai azam tahun baharu mereka.

Mungkin masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua rakyat Malaysia dan marilah kita berdoa agar Malaysia menjadi lebih selamat dan bersatu padu.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.