Dia kemudian bertanyakan kepada Kalam sama ada pernah atau tidak mendengar perkara yang sama. Kalam akui ada namun tidak dapat dipastikan sejauh mana ke­sahihannya. Bagaimanapun isu seumpama itu tidak mustahil masih wujud kerana dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku. Apatah lagi dengan nikmat kuasa dan pengaruh yang sukar manusia lupakan.

Oleh itu janganlah hairan sekiranya ada pemimpin yang telah berkhidmat selama tiga penggal hingga empat penggal masih mahu menjadi calon di kawasannya. Sebab itu mereka enggan memberi peluang kepada pe­mimpin lebih muda.

Mereka mahu memakai gelaran Yang Berhormat sampai bila-bila, seolah-olah tiada penghujung. Lebih malang lagi ketika rakyat di kawasannya menolaknya sebagai pemimpin kerana sudah terlalu lama berkuasa.

Dengan kata lain, sekiranya pemimpin seperti ini terus diberikan tanggungjawab untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU-14, pasti BN akan tersungkur di tangan pihak lawan.

Meskipun ada sesetengah pihak menyifatkan isu warlords ini isu terpencil namun bagi Kalam, isu tersebut besar kerana melibatkan soal menang atau kalah dalam pi­lihan raya, apatah lagi membabitkan pilihan raya umum.

“Ini pilihan raya umum dan bukan pilihan raya kecil. Setiap kerusi sama ada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting. Kekalahan satu kerusi akan memberi kesan dalam usaha BN membentuk Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri,” ujar rakan Kalam.

Seperkara lagi, katakanlah pucuk pimpinan tidak mahu memilih kumpulan warlords ini sebagai calon pilihan raya, mereka akan merajuk dan melakukan protes sehingga ke peringkat memecahbelahkan perpaduan rakyat dan inilah kelaziman yang berlaku.

Seharusnya situasi seperti ini dielakkan. Sebagai seorang pemimpin hebat, mereka perlu berjiwa besar dan akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan. Lagipun, mereka telah mengecapi segala nikmat serta keistimewaan sejak sekian lama.

Contohilah sifat panglima perang Islam, Khalid al-Walid yang tetap setia dengan Khalifah Umar Al-Khattab walaupun beliau pernah dipecat sebagai panglima perang dalam satu peperangan di Yarmuk.

Khalid yang digelar pedang Allah menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang tenang dan lapang. Dengan penuh rela diserahkan jawatannya itu kepada pengganti yang baharu iaitu Abu Ubaidah Al-Jarrah atas arahan Khalifah Umar.

Itu satu isu. Terdapat satu isu lain yang Kalam kira perlu diberikan perhatian. Juga berhubung dengan soal calon iaitu calon kitar semula. Dalam PRU-13 lalu, BN Selangor telah mengeluarkan satu senarai calon bagi tujuan pilihan raya umum tersebut.

Beberapa hari kemudian seorang rakan yang merupakan bekas pemimpin muda PKR menghubungi Kalam dan meramalkan BN akan kalah pada pilihan raya umum tersebut selepas melihat senarai calon berkenaan. Kejadian ini berlaku hampir lima tahun lalu.

Sukar Kalam untuk mempercayainya kerana yakin senarai calon yang dikeluarkan oleh BN Selangor itu adalah yang terbaik. Kalam bertanya mengapa? Beliau berkata, ini kerana terdapat beberapa calon yang diketengahkan oleh BN Selangor itu adalah calon kitar semula dan rata-rata pengundi menolak kepimpinan mereka.

Katanya, apatah lagi calon-calon kitar semula ini terpaksa berhadapan dengan calon-calon heavyweight di kawasan masing-masing. Selepas keputusan dikeluarkan secara rasmi kira-kira pukul 11 malam 5 Mei 2013 barulah Kalam mengakui kebenarannya apabila Selangor jatuh ke tangan pembangkang dan sebahagian besar kerusi Parlimen di negeri itu dikuasai oleh pembangkang.

Diharap pada PRU-14 ini kesilapan sama tidak diula­ngi. Fikir-fikirkanlah.