Kedua pula, jentera partinya mesti fokus dan relevan. Jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) digelar mother of all battles maka untuk PRU-14 mungkin father of all battles. Kehadiran media sosial menjadikan pengurusan isu-isu politik lebih mencabar.

Mengambil iktibar inilah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meng­ingatkan ahli Wanita UMNO yang mencecah 1.3 juta orang mesti dinamik, tangkas, efisien dan berkeupayaan untuk menjadi jua­ra dalam menyampaikan kebajikan kepada rakyat.

“Menerusi program Jalinan Rak­yat (JR) yang dilancarkan pada 2009, ia menjadi platform Wanita untuk bekerjasama dan bermuafakat dengan lebih tersusun dan berstruktur.

“Konsep ini membolehkan Wanita UMNO memberi perhatian kepada kumpulan pengundi akar umbi dalam usaha memahami kehendak dan keperluan rakyat. Isu-isu yang dikenal pasti untuk diselesaikan akan dibawa ke pe­ngetahuan ahli Parlimen, ADUN, Menteri Besar sehinggalah ke peringkat menteri. Wa­nita menjadi perantara antara kerajaan dan rakyat,” kata Shahrizat kepada Utusan Malaysia da­lam pertemuan di ibu negara ­kelmarin.

JR Plus yang dilancarkan ba­ru-baru ini menggabungkan ­pe­ranan dan semua kekuatan termasuk tiga jentera sayap Barisan Nasio­nal (BN) Wanita, Pemuda serta Puteri. JR pada Wanita UMNO sahaja memiliki kira-kira 250,000 yang mendaf­tar. Itu belum lagi dijumlahkan dengan JR Plus, menjadikan 500,000 ke­anggotaan seluruhnya.

“JR Wanita menumpukan per­khidmatan kepada rakyat. Kita tidak turun padang secara bermusim seperti pakatan pembangkang yang apabila berjumpa khalayaknya sahaja akan diisi dengan ‘buah tangan’ fitnah dan tohmahan belaka,” katanya.

Dalam hal ini, Wanita UMNO maklum zaman sekarang, idea adalah segala-galanya. Semua orang ingin menjadi wartawan dan berlumba untuk melaporkan apa sahaja di media sosial.

Pengguna internet telah men­cecah 2.8 bilion di seluruh dunia. Setiap hari, terdapat 1,300 pengguna baharu aplikasi mudah alih didaftarkan. Setiap minit 204 e-mel dihantar dan jika semua vi­deo yang telah dimuatnaik di YouTube disambungkan, seseorang memerlukan 412 tahun untuk menonton kesemuanya.

“Statistik pada 2014 menunjukkan bahawa 48.6% pengguna internet di Malaysia terdiri daripada golongan wanita, apatah lagi separuh daripada lebih 13 juta pengundi berdaftar adalah golongan hawa. Kesemua ini membuktikan pengundi wanita menjadi penentu penguasaan undi parti-parti politik dalam pilihan raya umum nanti,” kata beliau.

Beliau menarik perhatian pe­nangan Wanita dalam PRU-13 lalu. Di peringkat Parlimen, Wa­nita UMNO bertanding di 10 kerusi dan menang lapan kerusi. Sementara itu, di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wanita UMNO ber­tanding di 32 kerusi dan menang 25 kerusi. Secara keseluruhannya, Wanita UMNO menang 33 kerusi atau 79% kerusi yang di tandingi. Kemenangan ini membuktikan calon-calon Wanita UMNO diterima oleh rakyat.

Ditanya sama ada Wanita UMNO akan meminta pucuk pim­pinan parti menampilkan ­lebih ramai calon wanita dalam PRU-14, Shahrizat menegaskan: “Ya, sudah tentu, sekurang-kurang­nya mencapai 30 peratus untuk Wanita BN tampil bersaing dalam pilihan raya umum nanti. Jika ada usaha untuk mencantas peluang wanita, kita anggap pihak ber­kenaan tidak ada ­keyakinan dan ketinggalan zaman ketika dunia hari ini merentasi segala-galanya termasuk gender,” kata beliau.

Bagi Shahrizat, kesetiaan adalah rukun utama perjuangan wanita. Dalam bersahabat perlu setia, dalam rumah tangga mesti setia, dalam perang mesti setia dan paling mustahak, dalam perjuangan juga wajib setia.

“Wanita akan kekal setia de­ngan Presiden dan saf kepe­mimpinan parti. Kesetiaan yang kita miliki tidak berbelah bahagi, kesetiaan simpul mati.

“Wanita UMNO adalah teras dan tulang belakang kepemimpinan parti. Sebagai teras dan tulang belakang, kita menunaikan peranan penting dalam parti. Untuk membolehkan kita menjalankan tugas ini, tasawwur atau worldview kita harus bersama zaman. Transformasi tidak harus menjadi satu retorik. Ini perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan,” katanya.

Shahrizat mahu perjuangan tokoh politik Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain dijadikan teladan oleh anak-anak muda. Keupayaan Ibu Zain memobilisasikan sokongan kuat kaum wanita untuk menentang Malayan Union (1946) membuktikan komitmen beliau dalam meningkatkan martabat masyarakat Melayu.

“Dalam menghadapi PRU-14, Wanita UMNO sudah bersedia. Kemungkaran pembangkang yang bertimbun dan berleluasa harus terus dibongkar. Jangan biarkan pembangkang tipu dan ‘cucuk hidung’ rakyat tanpa kita membuat serangan balas.

Kata Shahrizat: “Wanita UMNO sebagai ibu tidak boleh membiarkan musuh menyerang bulat-bulat begitu sahaja. Kebangkitan ­suara srikandi Wanita UMNO akan menjadi benteng mempertahankan agama, bangsa dan negara. Membujur lalu melintang patah, biar putih tulang, jangan putih mata dalam perjuangan.”