Ya, betul, wanita perlu kekal dengan sifat lemah lembutnya. Menjaga tingkah laku dan tutur katanya. Tahu malu. Itu pun saya setuju. Tetapi dalam kelembutan itu, tidak semestinya tiada ketegasan. Lembut itu bagus, tapi jangan terus jadi lembik.

Pada masa sama, lembut tidak bermakna tidak boleh bersuara. Bersuaralah dalam mempertahankan hak. Bersuaralah bila disakiti. Bersuaralah bila dianiaya. Menje­ritlah bila berhadapan dengan gangguan seksual. Jangan diam-diam sahaja. Suara anda boleh mengubah atau setidak-tidaknya mencegah semua itu.

Bersuara bukan bermakna melawan dan menegur pula bukan hak mutlak orang lelaki. Juga bukan hak orang berjawatan tinggi. Semua orang ada hak untuk menegur. Menegur jika apa yang dilihat di depan mata itu tidak betul atau tidak kena caranya.

Saya amat tertarik dengan tulisan yang menjadi viral di media sosial ketika ini. Kisah seorang wanita yang mempertahankan hak di koc wanita bagi perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Dia ‘tidak boleh tahan’ melihat ramai orang lelaki duduk selesa dan goyang kaki di koc berkenaan manakala orang perempuan pula terpaksa berdiri termasuk ibu yang sedang menyusukan bayi.

Akhirnya dia ‘berperang mulut’ dengan beberapa lelaki yang enggan beredar dari koc itu setelah tegurannya diperlekeh. Lelaki-lelaki terbabit membalas dengan kata-kata seolah-olah tiada salah apa-apa pun mereka duduk di situ. Sebaliknya, wanita yang menegur ini dikatakan menyibuk pula.

Tulisannya mendapat perhatian ramai netizen, maka berbalas komenlah orang lelaki dan perempuan. Bergaduhlah yang lelaki mengutuk perempuan, yang perem­puan pula mengutuk lelaki. Isu di sini pada saya adalah perem­puan itu telah memperjuangkan haknya. Tidak perlulah kita hendak seksis atau anti lelaki atau anti wanita.

Inilah antara contoh mempertahankan hak wanita yang kita nampak kecil tetapi kesannya besar. Apabila seorang wanita mempertahankan haknya di dalam koc itu, ramai wanita lain yang berdiri dapat duduk.

Saya bukan menggalakkan pergaduhan. Teguran sepatutnya boleh diterima dengan baik oleh sesiapa saja tanpa perlu emosional. Tetapi yang penting di sini, perempuan itu telah bersuara. Kalau duduk diam sampai bila pun keadaan tidak berubah.

Sebenarnya, isu koc wanita ini sudah banyak kali dibangkitkan. Tetapi kejadian ‘tersilap masuk’ koc te­rus berlaku. Saya juga pernah menulis mengenai isu ini dalam kolum ini. Kisah orang lelaki yang dengan muka selamba sahaja masuk ke koc wanita untuk berebut-rebut tempat duduk. Bila ditanya baik-baik awak ini lelaki ke wanita? Tahu pula marah.

Perlukah bersikap begini? Perlukah mahu berkonflik atau mencari pasal hanya kerana hendak mendapatkan tempat duduk. Sudah tertera besar tulisan koc itu untuk wanita, biar wanita sajalah di situ. Pergilah ke koc lain. Mudah saja, tak perlu gaduh-gaduh.

Pada zaman dahulu, orang yang duduk diam, itu tandanya suka atau bersetuju tetapi sekarang ini, duduk diam bermakna orang itu boleh diperkotak-katikkan. Tidak guna hanya memberontak dan bersuara di dalam hati. Tiada siapa pun yang dapat mendengar kata hati itu. Jadi, keluarkanlah suara itu. Jangan diam.

Begitu juga dalam hal-hal penderaan fizikal dan emosi, keganasan rumah tangga, gangguan seksual atau apa saja yang menyakitkan. Jika duduk diam saja, yang diam ini biasanya akan ditindas, dilihat lemah atau bodoh kerana membiarkan dirinya disakiti dan diperlakukan sesuka hati.

Inilah hakikatnya yang perlu diterima oleh orang yang diam, dia akan berterusan dipandang rendah atau tidak dipandang langsung. Jadi mengapa mahu terus diam?