Dr. Muhaya sememangnya merupakan seorang yang pintar. Perjalanan hidupnya sejak kecil sentiasa mengukir kejayaan terutama dalam bidang akademik dan sahsiah. Kecemerlangan dalam bidang pendidikan sentiasa terukir tahun demi tahun. Beliau pernah dinobatkan pelajar terbaik dalam peperiksaan dan menjadi anak Melayu pertama memperoleh 4 Prinsipal untuk Sijil Tinggi Persekolahan (HSC).

Atas kejayaan itu, beliau terpilih antara 10 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Kaherah, Mesir. Namun, disebabkan cinta kepada suaminya ketika itu yang telah berputik sejak berada di tingkatan lima, beliau tidak menerima tawaran itu dan memilih untuk meneruskan pengajian peringkat Sarjana Muda Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Semasa di UKM, beliau merupakan pelajar wanita pertama dipilih sebagai penerima Anugerah Toh Puan Rahah kerana kecemerlangan dari segi sahsiah dan akademik.

Beliau menjadi doktor wanita Malaysia pertama membuat pengkhususan dalam bidang Uveitis di Hospital Mata di Moorfields, United Kingdom. Beliau juga diiktiraf sebagai wanita Islam pertama dipilih sebagai ahli Felo Royal College of Sur­geons (FRCS) Edinburgh.

Setelah menjadi pakar mata selama hampir 23 tahun, beliau mengambil keputusan untuk mele­barkan kerjaya beliau dengan me­nu­buhkan Pusat Mata dan Lasik Prof Muhaya (PMELC), di Kajang, Sela­ngor selepas berkhidmat di Pusat Perubatan UKM dan Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Tentunya, bukan mudah untuk me­ngecapi kejayaan membangga­kan itu. Namun, baginya segala ca­baran mampu diatasi dengan baik di samping keizinan Allah. Walaupun telah mendirikan rumah tangga ketika berada di tahun kedua pengajian di universiti, beliau tetap mendapat tokoh pelajar terbaik.

“Arwah ayah saya seorang yang mempunyai visi. Sejak kecil beliau mementingkan pelajaran anak-anak, menjaga solat, berdisiplin, selalu memberi nasihat supaya bantu orang. Nilai-nilai yang baik sudah memasuki minda saya sejak kecil. Arwah sering juga berpesan kalau kita bagus, di mana sahaja kita berada pun kita bagus,” katanya yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik, baru-baru ini.

Menurut penerima Anugerah Dak­wah Wanita Negara 2015 itu, kebanyakan orang tersilap meletakkan tujuan mereka untuk menuntut ilmu. Mereka lebih mementingkan soal materialisme dan mengejar status semata-mata untuk nampak cantik di mata orang.

“Manusia lebih berebut nak bersaing. Sentiasa lebih fikir apa orang kata, bergantung kepada status sahaja. Saya hendak ubah kesedaran orang kepada ketuhanan supaya mereka lebih bekerjasama, saling me­nghormati dan toleransi.

“Alangkah ruginya apabila ma­syarakat hanya meletakkan soal ma­terial itu sebagai status seseorang sedangkan nilai sebenar bukan kerana harta tetapi ketakwaan,” katanya yang menjadikan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai sumber inspirasi sejak 25 tahun lalu sekali gus membuka ha­tinya untuk merawat pesakit bukan hanya fizikal tetapi merawat mata hati untuk melihat kebesaran Allah.

Calon Anugerah Tokoh Srikandi 2018 itu mahu setiap orang menjadikan akal untuk belajar, tubuh untuk hidup dan hati untuk me­ngasihi serta roh bagi memberi de­ngan menyalurkan sumbangan kepada orang lain.

Seorang lagi tokoh penerima anu­gerah itu pada Malam Semarak Perjua­ngan Anugerah Tokoh Srikandi Negara sempena sam­butan ulang tahun ke-70 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), ratu boling negara, Shalin Zulkifli turut mahu memberikan sumba­ngan kepada masyarakat dan memupuk minat anak muda untuk bersukan terutama dalam sukan boling.

Sejak 20 tahun lalu, pemenang kali ketiga Kejohanan Bo­ling Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat tahun lalu itu aktif dalam persatuan sukan di peringkat negeri di bawah Persatuan Tenpin Boling Selangor. Beliau turut mewakili negara dalam Persatuan Boling Tenpin Dunia.

“Salah satu cara saya berkhidmat untuk negara ialah menaikkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Saya cuba bagi balik kepada masyarakat melalui sukan yang sa­ya minat,” katanya, baru-baru ini. Beliau mula bermain boling sejak berumur sembilan tahun.

Shalin yang telah menyertai pa­sukan boling negara ketika berusia 13 tahun dan menjadi peserta termuda mewakili skuad negara dalam sukan itu berpendapat, setiap apa yang mahu dilakukan perlu dibuat bersungguh-sungguh.

“Tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Di samping itu kita perlu ada ilmu. Kalau seseorang atlet itu dia belajar dan bersukan, dia akan jadi atlet lebih baik,” katanya yang berkongsi kenangan pahitnya ketika tidak dapat menyumbangkan pingat emas kepada negara ketika Sukan Komanwel 1998.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli hadir pada majlis malam anugerah itu, hari ini.

Seramai 12 tokoh bakal me­ne­rima anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan golongan wanita terhadap pemba­ngunan Malaysia di dalam mahupun di luar negara.