Wanita sebenarnya tidak diwajibkan untuk bekerja pun. Ini kerana ia merupakan bidang tugas lelaki atau suami sebagai ketua keluarga. Islam sendiri menuntut bahawa kewajipan mencari nafkah adalah terletak di bahu lelaki.

Bagaimanapun tidak salah jika wanita atau isteri mahu bekerja. Lebih-lebih lagi zaman sekarang, yang mana kos sara hidupnya semakin tinggi. Keadaan itu memaksa isteri untuk bekerja demi membantu suami. Ya lah, kalau si suami berjawatan tinggi dan bergaji besar tidaklah perlu si isteri menyusahkan diri untuk bekerja. Namun, jika sebaliknya atau berpendapatan sederhana, kebanyakan isteri memilih untuk bekerja.

Mengikut statistik pada tahun lalu, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini meningkat kepada 54.3 peratus. Ketika ini lebih 700,000 wanita bekerja dalam pelbagai sektor.

Majoriti wanita yang bekerja adalah berpendapatan sederhana. Mendapat gaji bersih dalam lingkungan RM3,000 ke RM4,000 sebulan. Walaupun dikatakan lebih daripada mencukupi kerana hanya untuk menampung pendapatan suami, tetapi ada sesetengah wanita perlu membayar segala-galanya seolah-olah dia pula menjadi ‘lelaki’.

Dengan pendapatan sebanyak itu, sudah tentu tidak mencukupi. Apatah lagi jika sudah ada anak tiga atau empat orang yang masih kecil. Disebabkan perlu pergi kerja, anak-anak akan ditinggalkan di rumah pengasuh atau taska. Kos untuk penjagaan anak sahaja sudah mencecah RM1,000++. Mana tidaknya, yuran tadika sekarang ini le­bih tinggi berbanding sekolah biasa. Ini belum termasuk kos keperluan mereka termasuk susu dan lampin pakai buang.

Gaji selebihnya pula perlu dibelanjakan untuk kos pergi balik kerja seperti petrol dan bayaran tol. Ansuran bulanan pinjaman kereta juga harus dilunaskan selain bil-bil utiliti setiap bulan. Ini belum dikira bayaran pinjaman PTPTN atau bayaran perlindungan insurans yang kini menjadi satu keperluan. Pendek kata gaji setiap bulan habis begitu sahaja. Kadang-kadang tidak ada langsung lebihan duit untuk dibelanjakan untuk diri sendiri sebagai reward atas kepenatan bekerja.

Sebab itu ramai wanita melakukan dua pekerjaan de­ngan menceburkan diri dalam perniagaan. Walaupun secara kecil-kecilan, ia sudah memadai sebagai pendapatan sampingan. Sungguhpun begitu, melakukan dua kerja ini amat memenatkan. Sebab apa? Sebab kerja ‘makan gaji’ tidak boleh diabaikan dan pada masa sama kerja sampi­ngan perlu difokuskan. Itu tidak termasuk kerja-kerja rumah yang harus diselesaikan oleh wanita-wanita ini.

Jika begitu, berbaloikah wanita bekerja? Sekiranya mengikut analogi di atas, sudah tentu jawapannya tidak. Kalau tidak bekerja, sekurang-kurangnya kos-kos di atas tidak perlu dibayar. Tetapi pada masa sama, ramai dalam kalangan mereka tidak berani untuk berhenti kerja atau hanya memberi fokus kepada perniagaan semata-mata. Mereka tidak yakin atau tidak berani menanggung risiko kerugian.

Tidak dinafikan sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan amat diperlukan. Tidak kiralah sama ada terlibat dalam bidang profesional atau sebaliknya. Namun, langkah penyelesaian harus dilakukan untuk menangani kekangan-kekangan wanita bekerja.

Para majikan contohnya perlu memainkan peranan sama membantu menyelesaikan permasalahan pekerja wanita mereka. Kos-kos perbelanjaan mereka setiap bulan mungkin boleh dikurangkan jika syarikat-syarikat tempat mereka bekerja boleh menyediakan pusat penja­gaan kanak-kanak dengan bayaran minimum atau menawarkan waktu kerja anjal atau pilihan bekerja dari rumah.

Seperkara lagi jika janji kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol, menstabilkan harga minyak dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN benar-benar direalisasikan, tentunya akan melegakan semua rakyat terutama mereka yang bekerja tidak mengira wanita atau lelaki.

Apapun, ia bergantung kepada pilihan wanita itu sendiri bagaimana untuk melakukan yang terbaik demi kemaslahatan keluarga masing-masing. Sama ada mahu jadi suri rumah, wanita bekerjaya atau fokus kepada perniagaan sahaja.