Ustaz tersebut memberitahu kami sekiranya kita mahu beribadah yang paling mudah ialah dengan;

a). Bangkit lebih awal (sebelum ke masjid untuk solat subuh berjamaah) dan tunaikan solat tahajud;

b). Selepas solat subuh berjemaah di masjid, baca al-Quran (di rumah pun boleh);

c). Solat sunat isyraq (setelah masuk waktu syuruk);

d). Sambung baca al-Quran;

e). Solat sunat dhuha (selepas 25 minit masuk waktu syuruk); Selesai ibadah pagi.

Kemusykilan saya adalah waktu masuknya solat sunat isyraq, memandangkan ada berpendapat yang kita dilarang solat setelah naik matahari (syuruk). Solat hanya dibenarkan selepas matahari naik satu galah (lebih kurang 30 minit dari naiknya matahari).

HAMDAN, Petaling Jaya.

UKE: Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga waktu Nabi SAW melarang kami sembahyang dan mengebumikan mayat padanya;

* Ketika terbit matahari, sehingga naik tinggi.

* Ketika matahari berada di kemuncak pertengahan, sehingga tergelincir.

* Ketika matahari mula terbenam, sehinggalah ia terbenam."

Apa yang ustaz anda sebut itu betullah iaitu selepas dikerjakan solat subuh janganlah dikerjakan solat yang tiada bersebab. Adapun solat sunat isyrak boleh dikerjakan apabila masuk waktunya.

Dalam kitab Bughyatul Mutathawwi mencatatkan solat dua rakaat ini sebagai solat isyraq (terbitnya matahari) oleh Ibnu Abbas yang waktunya di awal waktu (sebelum) solat dhuha.

Adapun waktu sunat isyrak itu ialah waktu sudah terbit matahari dan ada pelbagai pendapat ulama tentang waktu dan kadar masa isyrak namun harus diingat waktunya tidak lama.

Untuk keluar daripada masalah yang anda hadapi maka anda hanya perlu merujuk takwim yang anda boleh didapati dengan mudahnya pada kalendar dan jadual waktu solat yang diedar dan dipamerkan.

Bila sampai waktunya mengikut kalendar tersebut maka kerjakan solat sunat isyrak itu.