UKE: Suami wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri bekerja. Malah jika pendapatan isteri lebih besar daripada suami sekalipun, pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan si suami. Apabila si suami tidak mampu sepenuhnya maka bolehlah si isteri membantu dalam urusan perbelanjaan rumah tangga.

Allah berfirman:”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah An-Nisa’: 34)

Menyedihkan apabila terdapat suami yang hanya membayar belanja dapur tetapi tidak memberi pula belanja nafkah peribadi kepada si isteri dengan beranggapan telah membayar belanja dapur.

Bagi suami, anda hendaklah melayan isteri dengan baik dan salah satu bentuk layanan yang baik adalah menyempurnakan nafkah kepada isteri.

Meskipun isteri bekerja namun suami tetap perlu memberi nafkah kepada isterinya melainkan jika si isteri tidak lagi menuntut atau menghalalkannya.

Isteri hanya membantu mencukupkan belanja rumah tangga apabila suami sudah tidak mampu dan bukannya isteri menanggung perbelanjaan rumah tangga dengan alasan isteri bekerja.