Wahdatul amal membawa maksud kesatuan gerak kerja, kesalingan tindakan dan bekerjasama bagi mencapai hadaf disepakati bersama.

Wahdatul amal mengutamakan aspek ummatik dengan mengekang timbulnya aliran kekabilahan, berpuak dan taasub.

Aspek picisan dan masalah furu’ yang timbul dan diperbesarkan akan mengakibatkan terbantutnya kesatuan gerak kerja dan ia perlu dikesampingkan.

Islam menganjurkan kepada umatnya membentuk budaya working culture dalam perjuangan dan kehidupan serta melarang umatnya mengamalkan budaya no action talk only.

Semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, saya telah menggariskan hala tuju dan gerak kerja UMNO pasca PRU-14.

Ia berpaksi kepada hadaf kembali menjadi kerajaan melalui tujuh teras dan 21 langkah yang sewajarnya dijadikan landasan ke arah Wahdatul amal bagi memperkasakan parti, menjadi pembangkang yang konstruktif dan seterusnya kembali ke Putrajaya.

Saya optimis jika tujuh teras dan 21 langkah tersebut digerakkan dengan baik dan tersusun, ia mampu menjadi gelombang kesatuan gerak kerja dalaman UMNO.

Rasulullah SAW dan para sahabat telah membuktikan walaupun tentera Islam mengalami kekalahan dalam Ghazwah Uhud, mereka bangkit dengan Wahdatul fikr dan Wahdatul amal yang menatijahkan kemenangan pada Ghazwah al-Ahzab atau Khandak yang berlaku pada Syawal tahun ke 5 Hijrah.

Wahdatul amal dan strategi yang betul inspirasi Salman Al Farisi yang menjadikan parit (Khandak) sebagai benteng pertahanan antara faktor kemenangan Rasulullah SAW dan tentera Islam.

Walaupun cadangan itu agak pelik, datang pula daripada sahabat berbangsa Parsi namun diterima atas dasar Wahdatul Fikr dan Wahdatul Amal.

Kita ketepikan perjuangan atas nama kabilah-kabilah tertentu dalam UMNO. Ayuh! kita mulakan kesatuan gerak kerja dalam UMNO di atas satu obor iaitu kabilah UMNO.

Kewujudan kepelbagaian kabilah dalam UMNO akan melemahkan UMNO dan memecah belah kemuafakatan ahli parti.

Itulah harapan saya seperti mana gesaan saya dalam sesi Town Hall- Politik Malaysia Baharu pada 6 April lalu.

Benarlah apa yang diungkapkan oleh Harakiyun: “Kebenaran yang tidak bersistem (tidak terorganisasi) akan dikalahkan dengan kebatilan yang bersistem”.

Jika budaya berkabilah masih wujud, kesatuan gerak kerja tidak akan terjadi dan mustahil kemenangan akan berpihak kepada kita.

PRK Cameron Highlands dan Semenyih telah membuktikan kemenangan tersebut bukan hasil usaha mana-mana kabilah.

Tetapi kemenangan itu adalah hasil manifestasi gerak kerja dan kerjasama antara kita atas semangat Barisan Nasional (BN).

Dalam perjuangan dan berpolitik, Islam menganjurkan kepada umatnya supaya bermusyawarah terlebih dahulu sebelum memulakan gerak kerja.

Sepertimana firman Allah yang bermaksud:
“...dan bermusyawarahlah (bermesyuarat) dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad (untuk melakukan sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah.”
 (Ali Imran 159)

Berkata Ibnu Katsir: “Rasulullah SAW sentiasa bermusyawarah dalam suatu urusan yang melibatkan perkara baharu atau di luar syarak, bagi menenangkan hati para sahabat.”

Sebagaimana Baginda bermusyawarah ketika Perang Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain peperangan.

Bermusyawarah bukan untuk mencari siapa yang terbaik tetapi penekanan yang paling penting memberi peluang kepada setiap anggota yang terlibat menyuarakan pandangan dan akhirnya keputusan secara konsensus di ambil atas nama Wahdatul Fikr dan Wahdatul Amal.

Wahdatul amal menjadi kunci kedua terpenting selepas Wahdatul fikr dan kedua-duanya amat diperlukan bagi memastikan hadaf dapat direalisasikan.

Ia juga perlu mempunyai keluwesan agar segala halangan dan gangguan yang ingin menggagalkan Wahdatul Amal dapat diatasi.

Marilah kita sederap seia dan sekata secara dalaman parti mengorak langkah memupuk Wahdatul fikr dan Wahdatul amal, sebelum kita membina jaringan Wahdatul amal bersama-sama Pas atas agenda demi perpaduan ummah.

Semoga pencerahan Wahdatul Amal ini dapat kita manfaatkan demi perpaduan ummah, bertemu kembali dalam episod Secangkir Kopi seterusnya.



AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah

#akhiratdidepan