Tengah kami berborak datang seekor kucing betina. Besar dan comel kucing itu. Miss Kitty memang dah biasa dengan kucing yang berwarna hitam, coklat dan putih itu. Kawan Miss Kitty pun. Sebab kami selalu minum di situ. Setiap kali kami datang, kucing tersebut memang duduk dengan kami. Mungkin suka dengar kami berborak.

Tiba-tiba kucing yang kami beri nama Demoqi itu mengekori seorang lelaki yang berbadan sasa. Muka pun boleh tahan hensem. Lelaki itu pula, nampak cemas gila melihat kucing tersebut. Apabila Demoqi menyondol dan menggeselkan kepalanya pada kaki lelaki itu. Bukan main laju lelaki itu lari. Macam kena kejar hantu.

Hilang semua lagak `macho’ lelaki berkenaan. Dengar pula dia jerit - Apa hal lak kucing ni kacau aku weiii?

Miss Kitty dan kawan, sebenarnya mahu gelak guling-guling di situ juga. Tetapi iyalah, kami ni perempuan. Kena jaga adab juga bila hendak ketawa. Tapi sakit jugalah organ dalaman sebenarnya bila terpaksa tahan ketawa macam ni.

Tidak boleh dinafikan, sebenarnya ramai juga lelaki takut kucing. Yang benci kucing pun ramai. Dia tahu dia punya benci je. Kucing pun benci dia, dia tak tahu. Tetapi kelakarlah orang lelaki yang takut kucing ni. Apa yang hendak ditakutkan dengan kucing pun, Miss Kitty tak faham. Mungkinkah kucing itu nampak seperti raksasa macam dalam cerita Ultraman tu? Atau nampak macam seekor harimau atau singa? Entahlah.

Pernah juga Miss Kitty bertanya kepada lelaki yang takut kucing ini. Kenapa gelabah biawak kau ni bila nampak kucing? Dia cuma jawab - Aku gelilah! Miss Kitty cukup hairan, hendak geli apanya? Tak kena sungguh, nampak gagah perkasa tapi geli tengok kucing.

Miss Kitty bukan apa, kalau dengan seekor kucing pun takut, macam manalah hendak melindungi orang perempuan. Nampak kucing pun dah macam tak cukup tanah lari. Siapa melindungi siapa nanti, tak tahulah. Itulah orang lelaki, sembang bukan main kencang lagi. Berani buat itu, ini, sanggup meredah lautan api bagai, tapi nampak kucing dah tak tentu arah.

Tapi selalunya kan, orang yang takut kucing memang kucing suka datang dekat. Sajalah kucing itu hendak ajak bergurau agaknya. Mungkin kucing itu rasa lebih selamat pergi kepada orang yang takut padanya, kerana orang yang suka kucing, akan pegang dan peluk kucing tu sampai kucing tu naik rimas.

Lagi satu, Miss Kitty paling pantang tengok orang lelaki tendang kucing. Kalau tak suka jangan tendang atau pukul. Bila orang lain tak suka awak, tak pula orang tu tendang awak atau pukul awak, iya tak? Buat tak reti saja sudahlah.

Bagi Miss Kitty, lelaki yang suka menyakiti kucing bukanlah seorang lelaki budiman dan lelaki yang suka menyakiti hati Miss Kitty pula, lagi buruk perangainya. Bye!

Miss Kitty - Takut lipas terbang!