Dialog popular Upin dan Ipin: “betul, betul, betul” menjadi ikutan anak-anak termasuklah karakter lima sahabat baiknya, Mail, Fizi, Ihsan, Jarjit dan Mei Mei selain Opah, Kak Ros dan Tok Dalang turut melekat dalam kepala.

Cerita animasi Upin dan Ipin bukan biasa-biasa. Watak yang dibawa seperti ‘hidup’. Plot jalan ceritanya amat menarik seolah-olah membawa kita mengimbau kenangan sewaktu zaman kecil dahulu dengan gambaran suasana kehidupan di kampung. Kisah yang dibawa pula amat dekat dengan hati masyarakat. Kisah-kisah yang ditampilkan adalah apa yang sebenar dilalui

AINON ARIFF
AINON ARIFF 

kebanyakan masyarakat biasa.

Dalam tak sedar, Upin dan Ipin sudah 13 tahun ‘bersama’ rakyat Malaysia. Animasi tempatan terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. itu terus mengorak langkah dan menggapai peringkat lebih tinggi. Sepanjang tempoh itu, kumpulan produksi tersebut sudah menerbitkan tiga filem ‘pecah panggung’.

Bermula dengan filem Geng Pengembaraan Bermula yang diterbitkan pada 2009 kemudian diikuti Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng pada 2016 dan terkini yang masih ditayangkan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal. Filem yang disifatkan epik ini tidak perlu diceritakan lagi kerana sudah banyak diulas ramai kerana kehebatannya setanding dengan filem animasi antarabangsa. Ia satu kebanggaan rakyat Malaysia!

Cekmek Molek sempat bertemu dengan orang kuat Les’ Copaque di pejabat mereka di Shah Alam, baru-baru ini. Cekmek Molek terkesima sebentar melihat kepada ruang bangunan tempat mereka beroperasi. Bukan kerana indahnya bangunan tersergam indah, tetapi terpegun dengan kehebatan krew mereka yang mampu menghasilkan sebuah karya yang hebat hanya di sebuah bangunan dua tingkat.

NUR NAQUYAH BURHANUDDIN
NUR NAQUYAH BURHANUDDIN 

“Less is more. Asalkan kami mempunyai krew yang hebat,” ujar Ketua Pengarah Kandungan Kreatifnya, Ainon Ariff sebaik sahaja Cekmek Molek mengutarakan rasa keterujaan itu kepada beliau - diselitkan dengan ucapan tahniah.

Jelas terpancar riak kepuasan dan kebanggaan di wajah Ainon. Tentunya kerana hasil sebuah filem bermutu dan berkualiti. “Sekarang ini kita sudah berjaya menakluk benua Asia, langkah seterusnya kita mahu terokai lebih jauh ke Jepun, Korea dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

BERI PELUANG ANAK MUDA

Sebagai tulang belakang pasukan produksi, beliau dan suaminya selaku Pengarah Urusan, Burhanuddin Md. Radzi turut berbangga dengan hasil usaha anak muda tempatan yang diberi peluang bersama keluarga besar Les’ Copaque. Tanpa mengira lelaki atau perempuan, setiap orang disediakan ruang untuk berkarya dan menonjolkan bakat masing-masing asalkan mereka mempunyai semangat, minat, rajin dan berdisiplin.

“Di sini kita beri tempat kepada kesemua 170 staf yang bersedia untuk belajar. Kita beri pendedahan latihan dan kemahiran termasuk menghadiri seminar di luar negara. Kita bagi peluang sama rata. Namun, kita mempunyai ramai wanita yang mengetuai bahagian masing-masing. Empat daripada lima penulis skrip animasi kami pun adalah wanita,” katanya.

Perkara itu turut diakui anak beliau sebagai Pengarah Kandungan Kreatif, Nur Naquyah Burhanuddin. Les’ Copaque menyediakan satu sistem yang mudah diikuti untuk bertugas. Sesiapa sahaja yang memberikan idea, tidak disia-siakan. Jika tidak baik akan diperbaiki supaya mencapai standard yang ditetapkan.

“Benda ni paling mahal mereka dapat yang tidak banyak syarikat lain tawarkan,” katanya yang turut mempelawa anak muda menyertai program diploma di Les’ Copaque Animation Academy.

CABARAN PERTAMA KALI BUAT ANIMASI

Sesungguhnya industri kreatif animasi bukan murah. Ia memerlukan kos yang tinggi. Ketika mula-mula membuat animasi Upin Ipin ini, mereka terpaksa membelanjakan sehingga RM4 juta.

“Pada ketika itu kita tidak tahu lagi kartun Upin dan Ipin ini diterima orang. Selepas dikeluarkan, alhamdulillah diterima dan meletup. Kemudiannya baharu kita jual sikit-sikit di stesen televisyen dan mencari tapak lain seperti di laman YouTube. Semua itu kami buat kajian sendiri,” ujarnya.

Kini, Upin dan Ipin diiktiraf sebagai jenama kartun yang mempunyai IP (harta intelek) berjaya dan menjana duit. Pendapatan syarikat itu kini sudah mencecah RM26 juta.

MAHU SOKONGAN KERAJAAN

Sebagai antara peneraju industri animasi, sokongan kerajaan amatlah diperlukan. Walaupun dilihat sudah berjaya, suntikan dana perlu diberikan untuk mereka bergerak lebih jauh sekali gus mampu membantu syarikat-syarikat animasi baharu naik bersama.

TAMAN TEMA

Ini impian sudah bertahun-tahun Les’ Copaque yang belum tercapai. Memikirkan perbelanjaan besar untuk membangunkan sebuah taman tema, hasrat itu terpaksa ditangguhkan. Jika taman tema ini direalisasikan, pihak mereka yakin dan percaya, ia mampu menjadi alternatif taman tema bertaraf antarabangsa setanding Disneyland.

“Kita yakin dengan jenama ini yang sudah terkenal di dunia, pembangunan taman tema ini sekali gus mampu menarik pelancong asing datang ke Malaysia,” kata Ainon yang membayangkan reka bentuk taman tema itu diinspirasikan seperti filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.

 

Video oleh Maisarah Sheikh Rahim