ADAKAH penubuhan tribunal untuk menyiasat salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini dilihat semakin membingungkan?

MOHD KHAIRUL AZAM: Saya ucapkan terima kasih pada Tommy Thomas. Pada saya ini senjata makan tuan. Jerat yang makan diri sendiri. Ini adalah peluru yang diberikan secara percuma kepada saya, sesuatu yang saya tidak pernah jangka akan dapat sebelum ini.

Saya sentiasa ambil road not taken, dan sentiasa memilih jalan yang paling orang tidak akan jangka. Jadi kepada Tommy Thomas, expect the unexpected.

Sekarang bukan isu enam orang nak saman AG, kenyataan saya pun tak kata enam orang ni nak saman AG. Saya yang nak saman beliau.

Enam orang ini hanya responden pada tribunal itu sahaja. Buat masa ni tidak ada bunyi mereka nak saman balik ke, memang tak ada isu.

Saya nak bercakap tentang diri saya, setelah mendapat maklumat-maklumat dan dokumen berkaitan.

Kita tengoklah nanti apa yang saya akan buat, saya tidak boleh beritahu sekarang takut pecah rahsia.

Adakah AG bagi nasihat salah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri?

Saya tidak tahu. Saya hanya boleh buat presumption atau anggapan. Pertamanya kita kena tau, apa tugas peguam negara?

Di bawah Perkara 145 Perlembagaan, di bawah perkara 145 (2), “menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa undang-undang dan melaksanakan perkara lain yang bersifat undang-undang dari semasa ke semasa.

Jadi adalah menjadi tugas Peguam Negara untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri tidak kira masa.Tugas itu telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi pada saya, apabila seorang Perdana Menteri menandatangani satu dokumen yang tidak lagi relevan dan disahkan menjadi akademik oleh tribunal, maka Peguam Negara tidak menjalankan tugasnya dengan baik.

Dan akhirnya Perdana Menteri menandatangani satu surat yang memalukan beliau sendiri.

Adakah benar tindakan ini boleh menyebabkan keputusan PRU-14 terbatal?

Itu saya yang cakap, tidak ada kaitan dengan enam orang pegawai SPR. Saya bercakap merujuk kepada dokumen-dokumen yang baru saya terima.

Bila saya terima dokumen ini baru saya tahu.

Dan bila saya lihat dokumen tersebut, ada kemungkinan dan ada caranya yang boleh membatalkan keputusan PRU-14.

Secara sinopsisnya, Bersih dan Pakatan Harapan (PH) kata mereka suci, dan melalui tribunal PH kata PRU-4 dikendalikan SPR dengan cara tak betul, ada salah laku, ada penyelewengan semua tak betul.

Kalau ikutkan ada 10 aduan Bersih, dan kalau ikut tribunal ada 13 pertuduhan atau kesalahan yang belum terbukti.

Katalah daripada 13 kesalahan ni, terbukti satu atau dua tak kiralah kecil atau besar, saya tak nak ulas sekarang ni, benda tidak dilaksanakan dengan betul, maka kita boleh pertikai keputusan ini.

Bila satu atau dua tak betul, maka semuanya tak betul.