Pun begitu, tidak ramai yang mengetahui betapa sukarnya mengawasi perairan negara yang begitu luas jika hanya bergantung kepada agensi sedia ada pada ketika itu. Kini, hasil kerja keras agensi itu mengawasi perairan negara telah membuahkan hasil apabila aktiviti jenayah di lautan kian berkurang saban tahun.

Sempena ulang tahun penubuhan ke-14 tahun ini, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, LAKSAMANA MARITI M DATUK SERI ZULKI FLI ABU BAKAR berkongsi aspirasi beliau meneraju agensi tersebut dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang bersama wartawan Utusan Malaysia, ASHRIQ FAHMY AHMAD di pejabat akhbar ini baru-baru ini.

Berikut adalah sedutan wawancara dan untuk video penuh boleh layari Utusan Online.
 

UTUSAN: Sempena 14 tahun penubuhan Maritim Malaysia hari ini, adakah agensi ini telah mencapai matlamat penubuhannya?

ZULKIFLI: Saya boleh katakan kita telah berjaya mencapai objektif penubuhan agensi ini berdasarkan pelbagai kejayaan yang telah dilakar, malah kita juga berjaya melunaskan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 (PPSMM 2040) yang menggariskan apa yang ingin dilakukan mengikut milestone yang ditetapkan.

Cuma dari segi kekuatan anggota kita masih tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan kerana keputusan kerajaan yang tidak mahu meningkatkan kakitangan kerajaan, justeru Maritim Malaysia perlu melaksanakan fungsi berdasarkan kekuatan (anggota) sedia ada.

Sepanjang 14 tahun tertubuhnya Maritim Malaysia kita dapat agensi ini telah mengendalikan pelbagai kes-kes yang sukar, contohnya tahun lalu kita selesaikan dua kes rompakan di mana kita berjaya tangkap ketika mereka berada di atas kapal MGT Zero One di Kuantan, Pahang dan MT Lee Boo di perairan Mersing, Johor.

Kita telah menggerakkan aset kita iaitu sebuah helikopter dan Pasukan Tindakan Khas (PTK). Pada masa sama juga berlaku satu kes rompakan di Sarawak dan hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesemua penjenayah berjaya di berkas dan telah dibicarakan.

Maritim Malaysia juga sedang mempertingkatkan pelbagai aset seperti pemilikan enam buah kapal NGPC (New Generation Patrol Craft) di mana tiga daripadanya telah diterima dan selebihnya masih dalam pembinaan dan telah menandatangani kontrak pembinaan tiga buah kapal OPV (Offshore Patrol Vessel) yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Pemilikan pelbagai aset memerlukan dana yang besar untuk tujuan penyelenggaraan. Adakah Maritim Malaysia merasakannya sebagai satu cabaran?

Seperti yang kita sedia maklum aset-aset lama dalam pegangan kita adalah aset yang diterima daripada agensi-agensi lain yang telah berusia, jadi ia memerlukan proses penyelenggaraan yang berterusan untuk kita mengoperasikan aset tersebut.

Bagaimanapun pembelian aset baharu adalah bagi menggantikan aset lama, contohnya enam NGPC yang telah dan sedang dibangunkan adalah bagi menggantikan PC (Patrol Craft) yang kita terima daripada agensi lain sebelum itu dan kini aset tersebut telah pun dilupuskan kerana telah terlalu lama, hampir 50 tahun.

Penyelenggaraan aset-aset lama yang masih berfungsi masih diteruskan begitu juga aset-aset baharu apabila digunakan ia juga memerlukan penyelenggaraan dan perkara itu akan dimasukkan dalam dana penyelenggaraan.

 

Pasukan Tindakan Khas (PTK) memiliki peranan besar dalam Maritim Malaysia, apa usaha mempertingkat pasukan ini?

Unit PTK amat berkesan membanteras pelbagai ancaman di laut seperti rompakan serta operasi mencari dan menyelamat. Pihak kami merasakan pasukan itu perlu dibahagikan kepada dua skop tugasan utama iaitu SST (Special Security Team) dan SRT (Special Rescue Team).

SST merupakan pasukan yang bertanggungjawab mengendalikan tugas-tugas penguatkuasaan, kawalan keselamatan, menyelamat kapal-kapal yang dirampas dan menumpaskan perompak.

Manakala SRT pula dikhususkan untuk operasi mencari dan menyelamat dalam apa jua keadaan malah dalam perancangan untuk menubuhkan pasukan itu di seluruh negara.

Pembinaan OPV tempatan dilihat satu pelaburan yang agak besar. Adakah usaha itu berbaloi dengan keperluan operasi Maritim Malaysia?

OPV tersebut merupakan yang pertama dibina khusus untuk Maritim Malaysia bagi memperkasakan keupayaan kami dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat daripada sebarang bentuk ancaman jenayah.

Kapal canggih sepanjang 83 meter (m) dan 13.7 m lebar ini memiliki pelbagai peralatan berteknologi tinggi seperti UAV (Unmanned Aerial Vehicle), meriam 30 milimeter (mm), Smash Aselsan dan berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal serta mampu melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). Ia pastinya berbaloi dimiliki.

Apakah Maritim Malaysia mempunyai perancangan untuk mengoperasi pesawat MSA (Maritime Surveillance Aircraft) sendiri? Jika ada apakah jenis pesawat yang telah dinilai?

Maritim Malaysia mempunyai lapan buah pesawat iaitu enam helikopter dan dua pesawat sayap kaku, kita merancang menambah empat helikopter serta dua kapal terbang kerana perairan negara begitu luas untuk diawasi.

Selain tujuan pengawasan, pesawat juga boleh digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat sehingga ke Laut Andaman yang juga merupakan kawasan tanggungjawab mencari dan menyelamat Maritim Malaysia.

Penilaian telah dibuat ke atas beberapa jenis pesawat seperti Q400 dan ATR72, bagaimanapun penilaian lebih teliti perlu dilaksanakan.

Boleh kongsi bersama kejayaan operasi yang telah dilaksanakan sepanjang tertubuhnya agensi ini?

Pada 2006, kadar jenayah maritim ialah 48.06 %. Kadar ini menurun setiap tahun hingga ia berjaya dikurangkan di bawah tiga peratus pada 2012 dan berkurangan kepada 2.23 peratus pada tahun 2018 dan Maritim Malaysia melihat penurunan ini sebagai kesan positif pematuhan undang-undang laut.

Maritim Malaysia memulakan operasi pada tahun 2006, jumlah pemeriksaan yang dilakukan terhadap kapal-kapal di laut adalah sekitar 360, jumlah ini telah meningkat kepada 37,699 pemeriksaan pada tahun 2018 dan jumlah tangkapan adalah sebanyak 857 kes.

Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) yang ke 14 tahun ini apakah harapan Maritim Malaysia buat seluruh anggota dan rakyat Malaysia?

Tema HUT kali ini adalah “Perkasa Maritim” bertujuan menyeru semua warga Maritim Malaysia untuk meningkatkan diri sendiri dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membina semangat jati diri dan hindari perbuatan boleh mencemarkan agensi.

Pada masa sama dalam memperkasakan Maritim Malaysia, kita perlu sentiasa memelihara dan memastikan segala aset agensi yang ada sentiasa berada dalam keadaan baik dan diselenggara tepat pada waktunya agar dapat siap sedia untuk beroperasi pada bila-bila masa.