BAHAGIAN PERTAMA 

MINGGUAN : Baru empat bulan ditabal menaiki takhta, apakah perubahan dari segi tanggungjawab kerja dan diri Tuanku?

SULTAN SALLEHUDDIN: Memang banyak. Saya kena buat pengubahsuaian diri. Saya kena belajar ambil tahu sedikit sebanyak kawasan, perkara-perkara berkaitan kerajaan negeri dan kepentingan rakyat termasuklah keadaan politik negeri.

  • KAYUH BASIKAL DARI ALOR SETAR KE KUALA LUMPUR

Semasa melalui zaman remaja, apakah yang Tuanku lakukan dan bolehkah kongsikan pengalaman itu?

SULTAN SALLEHUDDIN: Saya meminati aktiviti lasak, saya pernah bersama Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji) dan beberapa orang rakan menyewa rakit bermula dari sungai di Sik ke Jeniang sehinggalah ke Kuala Muda yang mengambil masa selama empat hari. Itulah ekspedisi yang pertama dengan pengalaman terpaksa tidur di atas rakit yang diperbuat daripada batang buluh.

Kemudian saya berpakat lagi dengan seramai 16 orang rakan mengayuh basikal ke Kuala Lumpur. Hari pertama kami tidur di rumah seorang guru di Taiping, Perak. Semasa perjalanan hari kedua, 10 orang daripada kami terjatuh dan cedera serta terpaksa menahan lori untuk pulang ke kampung. Saya dan lima lagi rakan meneruskan kayuhan sehingga sampai di Rawang, Selangor. Ketika di situ kami ditahan oleh seorang anggota polis yang memaklumkan pada masa itu kawasan Taman Templer diisytihar darurat selepas pukul 6 petang kerana terdapatnya pengganas komunis. Oleh itu, terpaksalah kami bermalam di Balai Polis Rawang.

Pada hari ketiga, kami akhirnya sampai di Kuala Lumpur dan menumpang tidur di rumah Almarhum Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri. Beberapa hari kemudian, kami berkayuh pulang yang mengambil masa selama tiga hari juga. Itulah pengalaman saya berkayuh basikal paling jauh.

  • JURUTERBANG DEGIL ‘HUMBAN’ DALAM HUTAN LALANG

Apakah pengalaman Tuanku yang tidak boleh dilupakan semasa dalam RAMD?

SULTAN SALLEHUDDIN: Semasa menyertai satu operasi di sempadan, seorang juruterbang helikopter berasal dari Australia telah ‘taok’ (tempatkan) kami atas hutan lalang di Sadao, Thailand. Keadaan itu berlaku kerana walaupun kita tunjukkan arah kepada juruterbang berkenaan tetapi dia berkeras untuk mengikut peta mereka sendiri yang sebenarnya kurang tepat. Selepas diturunkan, saya membuat bacaan peta dan menghantar pasukan untuk mengenal pasti lokasi kedudukan.

Semasa menjalankan operasi, budak-budak (anggota) saya kata, “seronok tuan duduk sini kerana ramai mek (wanita) Siam.” Ketika itulah saya tahu bahawa kami dah termasuk negara jiran. Sebagai anggota bersenjata, adalah salah untuk kami memasuki negara jiran. Selepas memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand, esok kami keluar ke sempadan.

Pada 1968, ada kejadian di Sintok yang mana beberapa anggota polis kita diserang (komunis). Semasa itu, Sintok masih belum wujud jalan raya dan berhutan tebal.

Saya dihantar untuk meninjau selaku Pemangku Ketua Komander Kompeni B 3 RAMD. Perasaan takut itu ada kerana kawasan itu aktif dengan jerangkap samar berikutan Chin Peng (pemimpin Parti Komunis Malaya) ketika itu berada di Hatyai, Thailand. Kami kemudian membawa keluar kira-kira 200 orang yang merupakan penduduk di beberapa buah rumah panjang. Mereka bekerja di lombong bijih di situ. Seterusnya kami serahkan kepada polis.

Pada 1965, saya memasuki pemilihan kumpulan pegawai pertama komando Malaysia di Kem Sungai Besi tetapi gagal.

Pada 1970, saya ditukar ke Kementerian Pertahanan. Disebabkan saya bukan anggota tetap sebaliknya, perkhidmatan jangka pendek, saya mengambil keputusan untuk berhenti.

Nombor regimental saya ialah 12359 dengan pangkat terakhir adalah Kapten. Pada 1971, pihak kementerian menganugerahkan pangkat kehormat kepada saya iaitu Pendukung Askar Melayu. Saya kemudian tinggal di Kuala Lumpur dan membuka beberapa buah syarikat, ada yang berjaya dan ada sebaliknya. Saya ada ikut Almarhum Sultan Abdul Halim melawat kem-kem tentera.

Tuanku melalui pengalaman unik dalam tentera. Apakah pengajaran yang boleh Tuanku gunakan semasa memerintah Kedah?

SULTAN SALLEHUDDIN : Banyak saya belajar daripada RAMD antaranya disiplin. Kita perlu belajar menerima daripada pegawai atasan atas apa sahaja maki hamun sebagai cabaran dalam pasukan beruniform. Zaman saya masih boleh terima tetapi kini sejak 1980-an, mungkin tidak boleh lagi (diterima).

  • TERLIBAT PERNIAGAAN 
KAYU POTONG

Adakah Tuanku melawat kem-kem tentera selepas menamatkan perkhidmatan dalam RAMD?

SULTAN SALLEHUDDIN : Saya ada melawat Pulau Sebatik kerana syarikat saya ada membeli sebuah kilang di Wallace Bay yang membuat kayu potong untuk dieksport ke Thailand setiap bulan, dengan menggunakan kapal, selain Taiwan dan China pada 1980-an. Kayu-kayu ini adalah yang ditinggal dan tiada nilainya tetapi berguna untuk pembuatan kertas. Bila syarikat dijual dan bertukar, tiadalah lagi saya melawat di sana. Di Ulu Tiram, Johor pula, syarikat saya bersama Kumpulan Naza, buat wood chip panel (panel kayu potong) dan wood wool.
n TERUS PELIHARA HAIWAN JINAK


Adakah Tuanku menyambung minat memelihara haiwan peliharaan Almarhum Sultan Abdul Halim?

SULTAN SALLEHUDDIN: Dulu masa zaman Almarhum Sultan Badlishah adalah membela binatang seperti burung, kambing, rusa, landak dan ikan di kolam di sini dulu (Istana Anak Bukit) selain orkid. Saya bukan minat sangat, benda dah ada, saya teruskan.

Kambing kini membiak sehingga 40 hingga 50 ekor dan begitu juga burung merak putih dan kakaktua. Sebahagiannya diserahkan kepada Wild Life Park, Langkawi kerana di sana mempunyai kemudahan yang sesuai.

  • BACA BUKU RUJUKAN, 
SUKA SAMBAL BELACAN

Hobi Tuanku pada masa lapang?

SULTAN SALLEHUDDIN : Saya suka buku rujukan (buku yang mengandungi maklumat seperti ensiklopedia). Di Kuala Lumpur, ada satu dua kedai yang saya pergi seperti Kompleks Amcorp dan Starling di Petaling Jaya. Bukan untuk pembacaan serius. Saya juga suka aktiviti luar tetapi bukanlah sukan. Saya bermain golf hanya bila ada jemputan. Dulu saya ada main sebagai rakan Almarhum Sultan Abdul Halim tetapi selalu kalahlah.

Makanan kegemaran Tuanku?

SULTAN SALLEHUDDIN : Sambal belacan. Baru-baru ini pun saya ada beli belacan baharu di Tanjung Dawai. Kini tiada lagi yang pandai buat sambal. Hendak buat kena ada caranya. Sambal bersama buah binjai adalah yang sedap sekali bersama air asam. Lain-lain yang saya suka pulut dan kuih tradisional manis.

Bahagian kedua akan disiarkan di Utusan Malaysia esok.