Jumlah itulah yang diperlukan untuk menjadikan setiap satu kawasan peliharaan haiwan di Zoo Negara berkonsepkan terbuka sepenuhnya, tanpa kandang, sama seperti zoo-zoo lain di seluruh dunia.

Sudah ada pun tempat-tempat dalam Zoo Negara yang dibina kemudahan sedemikian antaranya Cat Walk. 

Di situ, pengunjung boleh melihat harimau secara lebih dekat, hanya dipisahkan dengan kaca.

Bukan lagi seperti dahulu yang mana boleh tengok dari jauh sahaja. 

Juga kos sama untuk menambah haiwan-haiwan baharu lain. Dengan dana tambahan tersebut, pastinya Zoo Negara menjadi lebih menarik dan seronok untuk dikunjungi.

Bukan kerajaan tidak hulurkan bantuan tetapi sudah banyak dilakukan kementerian dan agensi terbabit sejak tiga, empat tahun lalu. 

Pintu masuk, jalan raya, tasik dan landskap kini sudah nampak cantik. Cuma Zoo Negara perlu mencari dana sendiri supaya ada tarikan tersendiri dan unik. 

Jadi sekarang nak harapkan siapa yang boleh membantu? Siapa lagi kalau bukan kita sendiri dengan berkunjung ke situ, bawalah sekali keluarga masing-masing.

Tapi ada kawan saya beritahu, tiket masuk ke Zoo Negara mahal, RM45 untuk orang dewasa. Betul ke mahal?

Bagi Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @Rahmat Ahmat Lana, nilai RM45 itu sebenarnya tidaklah mahal berbanding  apa yang boleh dinikmati oleh pengunjung.

Di zoo persendirian dan taman haiwan lain, caj yang dikenakan memanglah jauh lebih rendah iaitu RM33 ke atas untuk sekali masuk. Tapi haiwan yang boleh dilihat pun seekor, dua jenis sahaja.

Masa pula 20 hingga 40 minit, sudah keluar semula.

Walau bagaimanapun di Zoo Negara, dengan RM45, kita boleh lihat macam-macam binatang. Ada rama-rama, akuarium, burung, pertunjukan haiwan, beruang Panda. 

Ada kira-kira 5,000 jenis haiwan daripada lebih 400 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.

Nak tengok Panda misalnya, kalau tiada di Zoo Negara, kita kena pergi sampai ke China atau Singapura. Pasti kosnya lebih mahal.

“Tapi di Zoo Negara boleh lihat kesemuanya. Ambil masa lebih kurang tiga jam, memang puas hati.

“Kalau dahulu nak tengok Panda sahaja kena bayar RM25, sekarang RM45 boleh tengok semua. Jadi harga tiket RM45 sangat berbaloi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Seiring perkembangan semasa, Zoo Negara yang dibuka pada 1963 tidak terkecuali daripada menerima kesan penurunan jumlah pengunjung. Kalau dahulu boleh cecah 1.2 juta pengunjung setahun, sekarang sekitar 400,000 orang. 

Ini semua kerana orang ramai sudah ada pilihan lain. Kini sudah ada Taman Rama-Rama, Taman Burung dan zoo serta taman haiwan persendirian lain. 

Justeru, untuk mengembalikan kegemilangannya, penambahbaikan perlu dibuat supaya pengunjung lebih ramai dan lebih seronok.

Menurut Rosly, bukan isu pihak pengurusan Zoo Negara tidak berupaya lagi untuk meneruskan operasi seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial. 

Nak bayar gaji staf, beri makan haiwan, beli ubat, penyelenggaraan, semua itu  tiada masalah. Cuma perlukan dana untuk menaik taraf kemudahan sedia ada.

Tangkap sendiri zirafah

JUMLAH haiwan di Zoo Negara bermula dengan 10 ekor pada 1963 yang disumbangkan sendiri oleh pengasasnya, Tan Sri V.M Hutson. 

Hampir kesemua haiwan liar yang dibawa masuk ke situ ada ceritanya sendiri termasuk zirafah.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana menceritakan, sepasang zirafah yang mula-mula dibawa masuk  ditangkap sendiri oleh kakitangan Zoo Negara diketuai Abdul Rahman di Afrika.

“Yang lucunya, kita sebelum itu tidak pernah buat kajian nak bawa ke sini. Dari lapangan terbang ke Zoo Negara, kita tidak dapat lalu di bawah jambatan, leher zirafah tidak lepas.

“Terpaksalah kita guna laluan alternatif dengan melalui estet-estet. Akibatnya zirafah lambat tiba di Zoo Negara,” jelasnya.

Sehingga kini lebih 20 ekor zirafah berjaya dibiakkan di Zoo Negara.