Mendiang datuknya, suku Semai berasal dari Cameron Highlands, Pahang, dibawa oleh kerajaan British sekitar 1940-an ke situ bersama remaja-remaja daripada suku lain di seluruh negara untuk dilatih sebagai ikon masyarakat Orang Asli.

Dia masih ingat, semasa kecilnya, kawasan itu belum lagi tercemar dengan pembangunan. Air Sungai Gombak yang mengalir di belakang rumahnya cukup jernih dengan udara segar, bersih dan mendamaikan.

Namun bermula 1980-an, suasana tersebut sedikit demi sedikit bertukar. Ketika itu pembangunan pesat berkembang terutama industri plastik yang menjadi bahan utama pembungkusan.

Orang yang meneroka kawasan itu pun semakin bertambah, tidak kiralah yang ‘halal’ atau secara haram. Yang peneroka haram inilah, katanya, paling menimbulkan bermacam-macam masalah.

Tong sampah

Sampah sarap dibuang mereka merata-rata, lebih-lebih lagi ke dalam sungai. Itulah cara paling mudah agaknya, tidak perlu pening kepala nak fikirkan mana nak dicampakkan. Kadang-kadang bangkai ternakan pun dibuang ke dalam sungai.

Keadaan diburukkan lagi dengan sikap pengusaha-pengusaha kilang yang membuang sisa pengeluaran ke dalam sungai. Ditambah lagi fiil ramai pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak membuang sewenang-wenangnya mencampakkan sampah ke luar kenderaan. Buangan ini akan mengalir masuk ke dalam Sungai Gombak setiap kali hujan.

Akibatnya kawasan sekitar tempat tinggal Raman seperti tong sampah, lebih-lebih lagi plastik yang berpuluh-puluh tahun pun masih belum tentu terlerai. Ia mencemarkan air sungai sekali gus menggugat hidupan di dalamnya.

Agak meloyakan kalau dibayangkan terdapat muka sauk bagi mengasingkan bahan-bahan fizikal seperti kayu, pasir, rumput rampai dan sebagainya yang mana airnya disalurkan untuk kegunaan warga Lembah Klang.

Tidak peduli

Menurut Raman, paling dikesali, mereka seperti tidak peduli dengan tabiat buruk tersebut, apatah lagi untuk memikirkan kesan buruk pada masa akan datang.

Katanya, bukan tiada usaha untuk memberi kesedaran tentang kebersihan dan kesihatan tetapi kalau dibuat program gotong-royong membersihkan kawasan dan sungai, hanya dua, tiga kerat yang ambil bahagian. Yang lain, tutup pintu rumah.

Penulis bertanya kepada Raman, kenapa keadaan itu berlaku? Mungkin ada isu-isu lain yang membuatkan mereka jadi sedemikian?

Baginya, semua itu berpunca dari rumah. Kenapa dia kata begitu? Salah satu sebab dia menilai berdasarkan apa yang dilihat setiap kali menjemput anaknya di sekolah. Dia nampak apabila dalam perkarangan sekolah, murid-murid berdisiplin membuang sampah ke dalam tong sampah. Tapi melepasi pintu pagar sekolah, dicampak sahaja apa yang ada dalam genggaman.

“Sepatutnya ibu bapa memainkan peranan. Ajar perkara-perkara asas sebegini di rumah. Kalau bukan kita, siapa lagi? Cikgu sudah jalankan tanggungjawab itu di sekolah,” ujarnya.

Mentaliti kelas ketiga

Mungkin apa yang diceritakan Raman dianggap hanya sebahagian kecil rencah kehidupan. Walau bagaimanapun, benda sekecil itu pun kalau tidak mampu diatasi, apatah lagi perkara-perkara besar.

Tinggal setahun sahaja lagi untuk menuju Wawasan 2020. Kalau ketika itu kita sudah mencapai status negara maju, tapi apakah mentaliti kebanyakan rakyatnya masih pada takuk kelas ketiga?

Justeru, tidak terlambat kalau nak mulakan dari sekarang. Lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah ini. Sambil beriadah bersama keluarga, pada masa sama, didiklah anak masing-masing dengan benda-benda asas kehidupan. Bukan setakat kutip sampah, ajar mereka hormati orang tua, hidup bertoleransi dan banyak lagilah yang rasanya kita sendiri pun tahu.

Mulakan dari rumah kita.