Lebih mengecewakan meskipun segala usaha penambahbaikan telah diambil termasuk memperkasakan agensi sedia ada, kes-kes penyeludupan masih wujud. Sebagai salah satu agensi yang mengawal sempadan negara, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) turut terpalit dengan kritikan ini.

Bagi menjawab isu yang sering ditimbulkan ini wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH, jurugambar ROHAIDA ZULKIFLI dan juruvideo, AZMAN AHMAD menemu bual Ketua Pengarah Aksem, DATUK SHAHARUDDIN ABU SOHOT di pejabatnya baru-baru ini bagi mengupas lebih lanjut peranan Aksem.

MINGGUAN: Terdapat pihak keliru dengan penglibatan pelbagai pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan negara, apakah peranan Aksem?

SHAHARUDDIN: Aksem pengganti kepada Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang sebelum ini terlibat dalam tugas-tugas mencegah aktiviti penyeludupan di Malaysia. Apabila UPP ditutup kerajaan mewujudkan Aksem dengan akta sendiri pada 2017.

Sejak penubuhan agensi ini, pelba­gai cabaran sama ada berbentuk fizikal atau bukan fizikal dihadapi. Selain itu, bentuk muka bumi juga adalah cabaran besar bagi kita meman­dangkan kawasan di sempadan negara bergunung-ganang, berhutan, sungai dan laut. Jika dilihat secara lebih terperinci keluasan sempadan darat antara Malaysia-Thailand adalah sepanjang 656 kilometer (km) manakala sempadan darat Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia pula masing-masing seluas 529 km dan 2,016 km.

Setakat ini Aksem hanya menumpukan kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak pula berada di bawah pihak kastam. Walaupun kuasa kita di seluruh Malaysia, buat masa ini kita memberi tumpuan di sempadan Malaysia-Thailand, untuk perancangan masa depan kita memang berhasrat memperluaskan operasi ke Sabah dan Sarawak termasuk di sempadan Indonesia dan Brunei.

Di samping itu, kecanggihan sistem teknologi juga antara cabaran yang kita hadapi apabila ada pihak boleh mengintip perbualan telefon dan membocorkan maklumat operasi. Pada masa sama, penyeludup juga sentiasa ada strategi baharu untuk mengaburi mata penguat kuasa. Terbaharu terdapat kes menyeludup minuman keras dengan diletakkan dalam kenderaan yang diubah suai di bahagian siling kereta. Satu lagi kes kita berjaya menahan penyeludup yang cuba menyeludup barang dengan menggunakan kereta rosak yang diletakkan di atas kereta tunda.

Tidakkah peranan Aksem bertindih dengan pihak keselamatan lain?

SHAHARUDDIN: Pertindihan kuasa tidak berlaku kerana kastam melaksanakan tugas berpandukan bidang kuasa mereka, polis pula bertindak membanteras jenayah manakala imigresen berperanan untuk mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI). Peranan Aksem pula merangkumi semua tugas termasuk menangkap PATI dan penyeludup di sempadan negara.

Kuasa kita tidak tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja, kuasa Aksem mengikut akta sebenarnya sama seperti kuasa polis, sebab itu apabila kita mengadakan operasi semua pesalah kita boleh tangkap, tidak seperti kastam yang hanya boleh menahan barang-barang sahaja manakala imigresen hanya boleh menahan PATI. Jadi di sini pertindihan kuasa tidak berlaku.

Kita baru sahaja merayakan Hari Raya Aidilfitri, sepanjang tempoh itu apa barangan yang kerap diseludup?

SHAHARUDDIN: Kalau mengikut trend sebelum ini, mercun dan bunga api menjadi barang yang selalu diseludup masuk melalui sempadan negara tetapi tahun ini kita nampak trend ini berubah, tidak banyak mercun dan bunga api yang diseludup. Kalau ikut statistik, sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu nilai mercun dan bunga api yang dirampas adalah RM900,000 tetapi tahun ini dalam tempoh sama hanya rampasan bernilai RM90,000 dibuat.

Adakah ini bermaksud mercun dan bunga api tidak bolos ke Malaysia?

SHAHARUDDIN: Hendak kata tidak bolos masuk ke Malaysia agak mustahil sebab kita pun tahu ada beberapa kes yang dilaporkan dalam surat khabar tetapi boleh saya katakan kes kemasukan mercun ke dalam negara agak berkurangan disebabkan kawalan ketat di pintu-pintu masuk dan kawasan-kawasan panas.

Sebagai contoh di Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam dan sebuah kawasan pembalakan berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dikenal pasti sebagai kawasan panas antara lokasi menjadi tumpuan utama operasi kita. Sepanjang operasi kita dapati di kompleks bebas cukai ini hanya terdapat satu kes tangkapan manakala di kawasan hutan UUM hanya terdapat percubaan hendak masuk tetapi tidak jadi.

Bagaimana pula kes haiwan ternakan yang diseludup masuk di Kelantan pada bulan Ramadan lalu.

SHAHARUDDIN: Di Kelantan kebanyakan kawasan sempadannya adalah sungai, misalnya Sungai Golok ada kawasan lebar dan ada kawasan sempit. Kebanyakan kes penyeludupan ini dibuat di kawasan sempit dan air surut, jadi haiwan boleh diseludup dengan mudah ke Malaysia.

Namun begitu, tindakan sentiasa diambil, sebelum ini kerajaan sudah menempatkan tentera di kawasan itu kemudian ditukar dengan Pasukan Gerakan Am (PGA), kita sentiasa menjaga kawasan sempadan negara tetapi penyeludup ini tahu kawasan mana yang tidak dijaga dan pada masa sama, kita pun tidak mampu menjaga 100 peratus kawasan sempadan negara kerana ada kekangan seperti kemampuan sumber manusia dan kewangan yang terhad.

Kita juga tidak boleh menempatkan anggota pada setiap inci sempadan negara, jadi di mana anggota kita tiada di situlah mereka masuk. Selain itu, penyeludup ini juga beroperasi 24 jam tanpa kira waktu hujan, gelap atau panas jadi apabila waktu kita tiada, waktu itulah mereka masuk.

Kemungkinan aktiviti jenayah ini dilakukan oleh orang dalam?

SHAHARUDDIN: Saya tidak dapat pastikan, tetapi saya yakin tiada penglibatan orang dalam. Perkara yang boleh saya pastikan adalah terdapat penglibatan tonto yang mengikut penguat kuasa ini ke mana-mana jadi di tempat di mana ada penguat kuasa di situ penyeludup ini tidak beroperasi. Di sepanjang sempadan juga ada tonto yang menguasai kawasan berkenaan sebab itu kita sentiasa berhati-hati dengan aktiviti mereka supaya kita dapat menjalankan operasi dengan baik.

Pernah mendapat ancaman bunuh?

SHAHARUDDIN: Setakat ini ancaman bunuh dan ugutan tiada tetapi diekori tonto itu biasa. Ada kes pegawai diekori ketika keluar rumah hingga pulang ke rumah. Ancaman tonto bukan setakat itu sahaja, pada April lalu kita dapat mengesan tiga kenderaan Aksem di Kelantan dipasang alat pengesan GPS di bahagian dalam bampar belakang. Sejak kejadian ini setiap dua minggu sekali kita akan periksa kenderaan Aksem. Selain itu, anggota kita memang sentiasa dilengkapkan dengan senjata api kerana kita tahu penyeludup-penyeludup ini bukan orang biasa, mereka pun ada sikap agresif.

Sebelum ini Aksem pernah mencadangkan penggunaan dron, bilakah penggunaan ini beroperasi?

SHAHARUDDIN: Buat masa ini saya sudah memohon bajet untuk tahun 2020 dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan, sekiranya diluluskan kita akan laksanakannya pada tahun hadapan. Kita sudah buat kajian di beberapa kawasan dan saya lihat penggunaan dron sangat berkesan kerana kita hanya perlu mengambil gambar dari jauh dan tidak perlu bimbang jika diekori oleh penyeludup atau dihalang oleh tonto. Saya yakin dengan penggunaan dron kita mampu meningkatkan lagi operasi membanteras penyeludupan di sempadan negara.

Terdapat dakwaan sesetengah pihak Aksem tidak melakukan tugas sehingga banyak barang seludup bolos, benarkah dakwaan ini?

SHAHARUDDIN: Untuk makluman, semua pihak berkuasa bertugas selama 24 jam di sempadan dan tidak bercuti walaupun hari raya kita tetap akan menjalankan tugas berbanding orang lain yang boleh bercuti, bersuka ria dan tidur lena. Di sini kita sudah dapat lihat pengorbanan pihak keselamatan di sempadan negara tetapi seperti semua sedia maklum kemampuan kita terhad sebab itu kita tidak dapat menjaga setiap inci sempadan negara kecuali di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai laluan penyeludup.

Sejak kejadian ini setiap dua minggu sekali kita akan periksa kenderaan Aksem. Selain itu, anggota kita memang sentiasa dilengkapkan dengan senjata api kerana kita tahu penyeludup-penyeludup ini bukan orang biasa, mereka pun ada sikap agresif.