“Kawan-kawan, dari 1939 sampai kini, api ini tidak pernah mati, dimarakkan ganti berganti, dalam cahayanya anak-anak berlari, satu tangan terbakar, sejuta tangan menggenggam lebih erat lagi. Maka keramatlah sebuah institusi yang memahkotakan rakyat dari generasi ke generasi.”

Kepada yang meninggalkan Utusan, teruskanlah jadikan Utusan sebagai tempat persinggahan walaupun sekadar Kafe Kak Ani untuk makan. Tentulah kenangan dan kewibawaan anda semua menjadi satu lipatan sejarah yang cukup berkesan kepada generasi masa depan.

Pengalaman dan ketokohan anda semua menjadi rujukan untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Pintu pagar Utusan sentiasa terbuka untuk anda datang lakukan kunjungan. Teruslah membantu Utusan dalam apa jua keadaan.

Pastinya Awang akan memahat kata-kata pesanan wakil kakitangan, Badrul Azhar Abdul Rahman dalam Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi pada Jumaat lalu yang akan menjadi panduan warga Utusan. Takkan kami biarkan Utusan dikotori oleh sesiapa saja yang mempunyai agenda peribadi melebihi kepentingan Melayu dan Utusan. Utusan akan menjadi perisai demi kelangsungan perjuangan bangsa.

Utusan akan terus melangkah dari zaman ke zaman sepertimana bait-bait sajak Usman Awang di dalam Di Depan Api Di Belakang Duri umpama nadi kepada perjuangan Utusan.

“Kawan-kawan ku yang dikasihi, Di belakang duri di depan api, Kita tidak bisa berundur lagi, Tajam panasnya kita hadapi, Semalam dan hari ini kita diukir sejarah, Di mana air mata tidak akan menitik tumpah, Sebab kebulatan ikrar tak akan berubah, Apa sahaja kita tidak menyerah.”

LAMBAIAN KASIH SANJUNGAN BUDI

Sejak hari pertama ditubuhkan pada 29 Mei 1939 hingga lapan dekad seterusnya, Utusan Melayu tidak pernah dimamah usia. Menjejak usia 80 tahun, pastinya banyak suka, duka, tangis dan tawa telah dilalui bersama.

Bermula dari bangunan bernombor 185, Cecil Street ke Chan Sow Lin, dari Singapura ke Tanah Melayu, dari bangunan lama ke bangunan baharu, banyak nostalgia dicipta, banyak memori dikota.

Usia Utusan Melayu sendiri lebih berumur daripada penubuhan Malaysia pastinya tidak boleh dinafikan penglibatannya sama ada dalam mencipta, melakar dan mengekalkan sejarah yang berlaku di tanah air ini.

Bagi Awang sudah tentulah semua akan teringat hari pertama melangkah masuk ke Utusan. Ada yang sudah lebih 40 tahun menabur bakti di Utusan dan ada yang baru setahun jagung mahu mula menuai. Tidak kira apa jua usia, inilah kemanisan berada di Utusan kerana di Utusan kita tidak menjanjikan kekayaan tetapi kita disemai dengan nilai kasih sayang perjuangan.

Awang juga langsung tidak pernah terlintas untuk menjadi sebahagian daripada keluarga akhbar media bersejarah ini. Namun Awang bersyukur kerana berpeluang untuk bersama keluarga akhbar keramat ini.

Apakan tidak Utusanlah yang menukar impian menjadi realiti, yang mencatat sejarah dan penuh erti, meneropong cerita segenap dimensi, yang pernah disuka dan juga dicaci, inilah hakikatnya Utusan yang kita cintai.

Walaupun banyak cabaran dan rintangan dihadapi, Awang pasti atas dedikasi dan tekad diri yang tinggi menjadi iltizam untuk semua warga Utusan mencabar diri, kerana sekali melangkah pantang mengundurkan diri.

Masih terngiang-ngiang tulisan Allahyarham Yusuf Ishak yang menjadi roh perjuangan warga Utusan. Apabila betul-betul menghayati frasa ini, terasa bagai tertampar di pipi. Kata-katanya :

“Kami yang bekerja sebagai pengarah dan kakitangan syarikat Utusan Melayu adalah hamba kepada bangsa Melayu yang menjalankan tugas bagi meninggikan mutu agama, bangsa dan tanah air.”