Laknat dalam hadis di atas adalah celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ini menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah SAW terhadap perbuatan tersebut. Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat bermakna tidak harus iaitu haram. Adapun Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata, laknat itu menunjukkan perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.

Sebab itu, tuntutan atau usaha ‘berlunak’ konon atas Islam itu ‘rahmat bagi sekelian alam’ termasuk dengan golongan LGBT patut dihentikan. Kecuali bagi mereka yang sudah bertaubat, maka kita mengalu-alukan mereka kembali ke pangkal jalan.

Di dalam bahasa Melayu, anak perempuan bersifat kelelakian (misalnya suka memakai pakaian lelaki dan sebagainya) dipanggil ‘tomboy’ atau pengkid. ‘Mak nyah’ pula selalunya dirujuk kepada lelaki yang suka berpakai­an dan kelihatan sebagai wanita. Di dalam bahasa Arab pula disebut tasyabbuh yang secara lughawinya bermaksud menyerupai sesuatu.

Dalam perbahasan fiqh pula, ia bermaksud seorang perempuan yang menyerupai lelaki atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut; pakaian; perhiasan; percakapan dan suara; gaya berjalan dan gerak badan dan mengubah bentuk fizikal badan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 membincangkan Kedudukan Maknyah Dalam Islam. Muzakarah membuat keputusan seperti berikut:

i. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak,

ii. Seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan dengan dua alat kemaluan lelaki dan perempuan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

Malah, semua negeri di Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang jenayah Islam tentang pondan/lelaki berpakaian wanita. Bagaimanapun, peruntukan undang-undang ini seolah-olah dilanggar secara terang-terangan oleh segelintir individu sehinggakan ada yang mempromosikan cara hidup mereka di media sosial.
 Sesungguhnya Allah SWT menjadikan makhluk itu berpasang-pasangan dan fitrahnya akan tertarik kepada jantina yang berlainan. Peraturan dan fitrah ini tidak hanya ditentukan kepada manusia tetapi juga kepada binatang dan tumbuhan. Namun, sejarah manusia semasa zaman Nabi Luth telah melanggar fitrah ini sehingga Allah menurunkan bala yang dahsyat natijah perbuatan homoseks mereka ketika itu.

Hikmah pengharaman ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, adalah kerana larangan meng­ubah ciptaan Allah sebagaimana hadis di atas.

Selain itu, ia diharamkan untuk mengelak perbuatan homoseks dan lesbian sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Luth a.s. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Nabi Luth juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) tatkala ia berkata kepada kaum­nya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. (al-Naml: 54 dan 55)

Kita harap pihak berkuasa agama khususnya tidak tunduk dengan desakan segelintir orang untuk mengiktiraf golongan LGBT. Janganlah kerana mahu mendapat soko­ngan atau kedudukan, kita bersekongkol dengan mereka.

Pedulikan sesetengah negara yang membenarkan perbuatan ini secara sah di sisi undang-undang dan pasangan sejenis diberi kebenaran untuk berkahwin. Sebabnya, jika Allah turunkan bala, bukan sahaja golongan LGBT yang kena tetapi turut menimpa kita semua.