Beliau menegaskan keadaan tersebut mula berubah apabila setiap belanjawan negara sejak tahun 1998 melibatkan defisit dan jumlah perbelanjaan kerajaan melebihi hasil pendapatan negara. Berikut adalah sambungan wawancara minggu lalu bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan SAHIDAN JAAFAR.

Mingguan: Benarkah akan berlaku defisit belanjawan seperti mana telahan Najib?

Jomo: Sebenarnya, setiap Belanjawan Negara sejak tahun 1998 melibatkan defisit, apabila jumlah perbelanjaan kerajaan melebihi jumlah hasil pendapatannya. Sebelum itu, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, Malaysia telah mengalami lebihan belanjawan pada awal dan pertengahan tahun 1990-an. Selama menjadi Menteri Kewangan sejak 2008, defisit belanjawan menjadi kelaziman bagi Datuk Seri Najib.

Sikap Najib itu agak aneh, ibarat ‘menang sorak, kampung tergadai’. Yang sedihnya, negara tergadai, dan kerugian kita bukanlah sedikit. 1MDB sahaja melibatkan kerugian berpuluh bilion ringgit, barangkali di sekitar RM40-60 bilion! Selain itu, ada juga kerugian berkaitan dengan pinjaman Exim Bank China sebanyak lebih daripada RM30 bilion untuk projek ECRL dan dua projek paip gas!

Ada beberapa lagi projek dengan harga kontrak bagi kroni jauh lebih tinggi daripada yang sepatutnya, sehingga tiga kali ganda! Selain itu, ada pembelian aset swasta daripada kroni oleh kerajaan dengan harga terlalu tinggi. Sebaliknya, terdapat penjualan harta kerajaan dengan harga murah atau diskaun luar biasa. Sudah jatuh, ditimpa tangga!

Sehingga sekarang, saya kagum dengan beberapa dasar serta pencapaian Allahyarham Tun Abdul Razak. Perangai, kelakuan serta dasar Najib mengingatkan kita bahawa kuah tidak semestinya akan tumpah ke nasi.

Sebagai salah seorang anggota Penasihat Kerajaan, apakah langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam krisis ekonomi global?

Jomo: Dunia telah banyak berubah semenjak tahun 1980-an, di peringkat dunia dan juga dalam negeri. Akibat ‘globalisasi kewangan’ serta dasar BN Najib, kita amat terdedah kepada pasang surut ekonomi antarabangsa. Pada dasawarsa lepas, dalam kebanyakan ekonomi, termasuk Malaysia, pengaruh serta kuasa kepentingan kewangan telah banyak berkembang, jika dibanding dengan perkilangan atau pertanian misalnya.

Mulai Julai 1997, iaitu 21 tahun sudah, Malaysia menjadi mangsa krisis serantau walaupun syarikat Malaysia tidak banyak meminjam daripada bank asing, tidak seperti Negara Thai atau Indonesia. Hutang kerajaan Malaysia telah berkurangan akibat lebihan belanjawan zaman Anwar sebelumnya. Namun, Malaysia dilanda krisis serantau walaupun tidak ‘buat salah’.Maka, krisis kewangan boleh berlaku walaupun pengurusan ekonomi bertanggungjawab.

Namun, kalau sebuah ekonomi itu ‘lemah’, dan tidak diurus dengan cermat, maka lebih mudah dilanda krisis. Akibat pengalaman krisis yang lepas, pada 1997 dan 2008, kita seharusnya lebih berhati-hati.

Tidak pasti apakah peraturan serta dasar yang diperkenalkan untuk mengelakkan krisis berulang itu mencukupi, apa lagi setelah beberapa ‘kelonggaran’ diperkenalkan oleh Najib. Di samping itu, kalaulah tercetusnya krisis di tempat lain, tiada jaminan wabak itu tidak akan menular dan memberi kesan di Malaysia.

Apatah lagi, kenaikan kadar bunga di Barat akan menarik semula modal yang pernah mengalir dari sana ke ekonomi pasaran yang sedang muncul. Krisis sedemikian pernah membawa kepada perubahan pemerintahan, seperti pernah berlaku di Indonesia, Argentina serta negara lain, tetapi biasanya, faktor lain juga ada kesan.

Apakah kejatuhan pasaran saham petunjuk jelas krisis ekonomi dunia akan berlaku dan negara perlu berjaga-jaga?

Jomo: Pasang surut pasaran saham merupakan akibat keyakinan para pembeli saham terhadap keadaan serta masa depan saham masing-masing, yang tidak semestinya sentiasa berkaitan dengan prestasi ekonomi keseluruhan. Walaupun ada hubungan ‘longgar’ yang tidak jelas, kita tidak patut menggunakan indikator pasaran saham sebagai indikator ekonomi nasional.

Maka, walaupun pasaran saham Amerika Syarikat terus melambung menjelang pilihan rayanya, itu tidak bermakna bahawa tiada bahaya ekonomi dunia, ataupun sistem kewangan, ataupun pasaran saham.

Apakah langkah-langkah kerajaan bagi merapatkan jurang golongan berpendapatan rendah, sederhana dan berpendapatan tinggi bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi yang mapan dapat dirasai rakyat bawahan?

Jomo: Saya bukan anggota kerajaan, maka saya tidak boleh dan juga tidak berhak mengulas dari perspektif kerajaan PH. Ketidaksamaan ekonomi yang dapat diterima umum ialah ketidaksamaan berasaskan sumbangan kerja masing-masing. Tanpa perbezaan pendapatan sederhana, dikatakan tiada perangsang ekonomi untuk bekerja kuat dan memberi sumbangan mengikut keupayaan masing-masing.

Sebaliknya, ketidaksamaan yang diperturunkan, termasuk harta yang diwarisi dan dimiliki, kurang mendapat sokongan orang ramai. Di samping itu, orang ramai peduli akan nasib orang yang bernasib malang, misalnya yang cacat dan sebagainya. Orang ramai juga ingin memberi peluang serupa kepada semua orang, terutamanya bagi generasi muda.

Akibat pengaruh fahaman perkauman di Malaysia, ramai orang hanya melihat atau memberi perhatian kepada ketidaksamaan antara kaum walaupun faktor bukan kaum jauh lebih penting untuk menjelaskan ketidaksamaan di Malaysia.

Tetapi lama kelamaan, orang ramai makin menyedari bahawa usaha yang kononnya untuk membantu kaum tertentu, banyak direbut oleh beberapa kerat saja daripada lapisan atasan, terutama sekali yang berkait dengan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Isi dan lemak dinikmati mereka, sedangkan orang biasa hanya mendapat tulang dan bulu sahaja. Ini sudah lama dikritik, bukan hanya oleh PH, tetapi juga oleh Pas dahulu, malah ada juga kritikan tertentu dalam BN sendiri.

Kalaulah agihan pendapatan berasaskan sumbangan kerja masing-masing menjadi kenyataan, maka mereka yang kurang bernasib baik dapat dibantu, hanya sedikit lagi usaha pengagihan semula melalui pindahan diperlukan. Ramai orang percaya bahawa sistem fiskal - yang banyak melibatkan Belanjawan Negara - bersifat progresif, iaitu mengurangkan ketidaksamaan ekonomi. Tetapi hakikat sebenar sebaliknya.

Seperti Prof. Ismail Salleh pernah menunjukkan, ketidaksamaan meningkat setelah beban cukai diambil kira, dan kesan regresif ini telah bertambah teruk, misalnya akibat pengenaan GST. Malah, ketidaksamaan juga telah meningkat akibat pola kesan perbelanjaan kerajaan dahulu, yang lebih banyak menguntungkan pelabur, terutamanya kroni pihak berkuasa.

Apa saranan Prof. bagi membantu ekonomi negara terus kekal ke arah pertumbuhan positif dan menjadikan Malaysia kekal kompetitif di pasaran antarabangsa?

Jomo: Persoalan sumber pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kemajuan merupakan persoalan pokok yang tidak dihiraukan di Malaysia sejak awal abad ini. Akibatnya, Malaysia mengalami kemunduran perindustrian terlalu awal (premature deindustrialization).

Tetapi ekonomi dunia telah banyak berubah dan kita juga harus mengambil kira industri serta kegiatan lain yang mempunyai masa depan yang cerah. Malaysia dikatakan perintis dalam bidang kewangan Islam serta produk makanan halal, tetapi kemajuan setakat ini agak sederhana .

Sebenarnya dalam beberapa bidang, industri Malaysia merupakan yang termaju di dunia sejak tahun 1980-an dan 1990-an, termasuk penapisan minyak sawit dan pembuatan sarung tangan getah. Sepatutnya, kita perlu maju ke hadapan di peringkat dunia dalam beberapa bidang lain.

Perindustrian di Malaysia terlalu bergantung kepada pelaburan asing, tetapi kejayaan paling penting yang disebutkan tadi (penapisan minyak sawit dan pembuatan sarung tangan getah) hasil usaha pelabur Malaysia. Pelabur asing tidak akan mengizinkan rakan perniagaan Malaysia mereka menguasai teknologi yang dimiliki oleh mereka.

 

Oleh demikian, kita perlu mencari cara menguasai teknologi canggih secepat mungkin. Sebab itu, penting kerajaan memikirkan semula dasar pembangunan dan perindustrian, terutamanya untuk mengeksport barang buatan Malaysia, bukan hanya menyertai rantaian nilai (value chain) yang dikuasai pelabur asing gergasi.

Oleh itu, penting untuk kita mengasah kemampuan wakil Malaysia untuk berunding dalam memeterai perjanjian perdagangan yang akan lebih mendukung hasrat kemajuan teknologi.

Misalnya, kontrak Proton dengan Geely hanya bertujuan untuk menjual kereta Geely di pasaran ASEAN, terutamanya di Malaysia. Selain bateri kereta elektrik, Proton sepatutnya meminta pasaran kereta engin sederhana (misalnya, 1.2-1.6 liter) pemanduan sebelah kanan bagi seluruh dunia, terutamanya di negeri Komanwel, dan juga Jepun.

Apakah peralihan kuasa Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuatu yang ditunggu-tunggu dan menjadi penggalak pembaharuan ekonomi Malaysia?

Jomo: Mereka pernah bekerjasama rapat sebelum perselisihan pada hujung tahun 1997 yang membawa kepada syak wasangka dan perpecahan pada September 1998. Ramai pula yang pernah mengambil kesempatan dan memburukkan lagi perselisihan itu. Masing-masing telah membuat kesilapan yang sukar diakui.

Tetapi untuk memastikan peralihan yang baik untuk membina Malaysia yang baharu, proses peralihan itu harus diurus dan ditangani dengan baik. Oleh demikian, Datuk Seri Anwar perlu berunding dengan Tun Mahathir tentang proses peralihan supaya perselisihan tidak berlaku lagi, kerana sudah pasti akan menjejaskan peralihan, warisan pentadbiran baharu Tun Mahathir serta masa depan pentadbiran PH itu sendiri.

Peralihan yang baik dan teratur agak sukar dicapai kalaulah Anwar hanya menyertai kerajaan sebaik-baik sahaja Tun Mahathir berhenti. Oleh demikian, saya kurang faham mereka yang tidak setuju Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil untuk menyertai Dewan Rakyat.

Perang Tarif antara Amerika Syarikat dan China akan memberikan kesan kepada ekonomi global. Apakah kesan segera perang dagangan ini terhadap Malaysia?

Jomo: Kita tidak patut terlibat dalam perang tarif ini, tetapi harus bersiap sedia kalaulah peluang baharu timbul akibat perang itu. Misalnya, untuk menggantikan eksport China ke AS dengan eksport Malaysia. Yang anehnya, pemerintahan BN Najib pernah membenarkan syarikat-syarikat asing, dari China dan Thailand mengaku eksport berpunca dari Malaysia.

Akhirnya, AS telah pun menghadkan import yang kononnya dari Malaysia itu seperti udang dan madu. Penipuan demikian mungkin meningkatkan angka eksport Malaysia ke AS, tetapi tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kita, kecuali bagi usahawan dan pegawai yang mengambil kesempatan menjadi kaya.

Menteri JPM, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengatakan Malaysia Baharu bukan bermakna merombak Perlembagaan dan kontrak sosial. Tapi di bawah Kerajaan Baharu, kedudukan Bumiputera seperti diganggu gugat. Apa komen Prof?

Jomo: Memang tidak boleh dinafikan bahawa kepentingan segelintir kroni Najib serta beberapa pemimpin lain terancam dengan adanya Kerajaan PH. Sekarang mereka sedang menggerakkan penyokong mereka dalam usaha melindungi kepentingan mereka. Dasar yang membolehkan mereka mengaut kekayaan lumayan memang harus ditamatkan.

Ada juga dasar serta institusi yang membantu kaum Melayu yang sedang dirombak semula untuk mengurangkan pembaziran, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa. Parti anggota PH, terutamanya PPBM, iaitu parti PM sendiri, Amanah dan PKR mengharapkan sokongan orang Melayu dan tidak akan mengkhianati orang Melayu.

Tetapi sudah pasti pemimpin parti politik pembangkang, terutamanya UMNO, akan membuat tuduhan dan mengherot apa-apa yang sedang berlaku demi faedah politik masing-masing, walaupun Pas pimpinan Haji Hadi pernah mengutuk fahaman assabiyyah, atau perkauman, yang dikipas oleh UMNO serta alat media yang dikuasainya.