Apakah sebenarnya yang telah berlaku sehingga larangan sedemikian dikenakan terhadap ne­gara kita? Tidak bermutukah pro­duk daripada Malaysia sehingga diberi tekanan ekonomi hingga sedemikian rupa kepada negara kita?

Khabarnya, antara faktor lara­ngan sementara itu dikenakan kerana tindakan susulan terhadap keadaan kesihatan haiwan menerusi surat amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Dunia bagi Kesihatan Haiwan yang menunjukkan wujudnya kes influenza burung di Malaysia. Virus ini semema­ngnya amat berbahaya dan boleh berjangkit kepada manusia sekiranya tidak dikawal.

Rupa-rupanya Arab Saudi sebenarnya hanya ingin mengelak daripada berlakunya penularan penyakit influenza burung ke negara itu. Hal ini disebabkan selesema burung sejenis pe­nyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan dalam masa sama boleh menyebabkan kematian kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam Belanda. Berdasarkan statistik, sejak tahun 1997, sudah lebih 200 juta ekor ayam, itik dan burung liar telah mati atau dibunuh disebabkan oleh virus H5N1.

Pun begitu, sekiranya larangan dari Arab Saudi ini berlarutan untuk satu tempoh yang panjang, maka dikhuatiri implikasi yang lebih besar terhadap jumlah eks­port Malaysia. Ini bermakna, akan berlaku pengurangan terhadap jumlah eksport negara kita, sekali gus bakal menjejaskan jumlah pengaliran masuk wang ke Malaysia. Berdasarkan perangkaan perdagangan, Arab Saudi merupakan sebuah negara rakan dagang ke-19 terbesar Malaysia dan kedua terbesar Malaysia di Asia Barat. Jumlah keseluruhan perdagangan antara Arab Saudi dan Malaysia pada 2017 adalah RM15 bilion. Malahan, bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2018 ini, perdagangan Malaysia dengan negara tersebut telah meningkat kepada RM9.57 bilion berbanding RM7.6 bilion pada enam bulan pertama tahun 2017.

Jumlah eksport terbesar yang dibekalkan ke Arab Saudi buat masa ini ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit, jentera, peralatan dan perlengkapan, makanan diproses serta produk elektrik dan elektronik serta logam. Jumlah import pula ialah bahan kimia, minyak mentah, produk petroleum, logam dan plastik.

Oleh kerana itulah kita perlu mengekal dan meningkatkan hu­bungan ekonomi dan perdaga­ngan yang telah sekian lama terjalin antara dua buah negara ini.

Nilai perdagangan ke Arab Sau­di ini amat tinggi yang dapat memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Antara faktor utama Malaysia dipilih sebagai rakan dagang Arab Saudi dilihat daripada kedudukan negara yang amat strategik. Malaysia yang terletak di te­ngah-tengah ASEAN merupakan sebuah rantau dengan gabu­ngan penduduk melebihi 625 juta orang dan gabungan keluaran da­lam negara kasar sebanyak AS$2.43 trilion (statistik setakat tahun 2015).

Selain itu, sebenarnya lebih 50 peratus daripada jumlah penduduk di rantau ini masih di bawah lingkungan umur 30 tahun. Ini memberikan gambaran yang baik terhadap potensi untuk masa depan rantau ini terus berkembang dan berdaya maju. Malah dengan pertambahan po­pulasi saban tahun menunjukkan rantau ini optimis untuk terus membekal dan menambah tenaga mahir dalam pelbagai bidang selari dengan pertambahan bila­ngan penduduk.

Tambahan lagi, peluang perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi giat dipertingkatkan menerusi pelbagai usaha sama dan kerjasama agensi dalam pelbagai sektor antaranya minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pembinaan, pendidikan, pelancongan perubatan, perkhidmatan kewangan dan industri halal.

Di samping itu, Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa memberi galakan dan bantuan kepada syarikat Malaysia untuk mencari dan meneroka pasaran di Jeddah selain membantu proses menjalinkan hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat di sana.

Faktor kesepakatan komitmen antara Malaysia dan Arab Saudi dalam menangani isu ekstre­mis­me juga membantu keserasian hu­bungan ekonomi dua negara ini. Kedua-dua negara ini dilihat sehaluan dengan kepercayaan terhadap sikap toleransi, kesederhanaan dan keamanan Islam yang syumul. Inilah antara faktor lain yang memberi nilai tambah kepada Malaysia untuk terus diangkat sebagai rakan dagang yang pen­ting kepada Arab Saudi. Melalui cara ini, kedua-dua negara dapatlah menjalin hubungan perdaga­ngan yang lebih kukuh untuk suatu tempoh yang lebih panjang.

Untuk rekod, pada 2017, Malaysia menerima kunjungan le­bih daripada 100,000 orang pe­lawat dari Arab Saudi. Rekod ini merupakan rekod yang tertinggi setakat ini. Pelajar Malaysia ju­ga sebenarnya mendapat manfaat kerana dapat menyambung pengajian di Arab Saudi dan ada yang mendapat tajaan daripada universiti di sana mahupun dari kerajaan Arab Saudi. Begitu juga dengan penawaran tempat oleh universiti Malaysia kepada pelajar Arab Saudi untuk menyambung pengajian di sini juga telah meningkat. Ini bererti kemasukan pelajar daripada Arab Saudi ini akan dapat menambah pendapatan kepada Malaysia.

Bahkan lebih daripada itu, hubungan baik antara kedua-dua negara sememangnya telah terjalin sejak berabad lamanya. Saban tahun, rakyat Malaysia yang ­beragama Islam akan mengunjungi Arab Saudi yang menempatkan dua Masjid Agung di sana untuk menunaikan ibadah haji selain menunaikan umrah.

Justeru, perintah larangan se­mentara import ini terhadap Malaysia perlu ditangani dengan kadar segera supaya negara tidak mengalami kerugian kerana nilai dagangan eksport ini bukanlah satu angka yang kecil.

Langkah yang sewajarnya saya pasti akan diambil oleh pihak kerajaan dilihat akan dapat me­lonjak nilai dagangan dan meletakkan kembali Malaysia di hati Arab Saudi.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.