Walaupun sudah lebih setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, bekas air tangan BN masih banyak tersisa dan dinikmati semua.

Siapa yang cuba mengesampingkan fakta itu sengaja tidak mahu meraikan sejarah.

Lebih 60 tahun menabur jasa walaupun diakui banyak juga salah dan silap dilakukan, namun hakikatnya setiap dari kita akan pernah merasai nikmat dan hasil kebijaksanaan kepimpinan UMNO dan BN.

Namun tidak ada yang sempurna di dunia ini dan tidak ada orang yang tidak melakukan kekhilafan.

Ini antara punca UMNO dihukum dalam pilihan raya lalu. Perit jerih akibat hilang kuasa semakin mencengkam kepimpinan parti itu.

Namun ia juga menjadi pengajaran dan azimat berguna dalam memulih kembali UMNO.

Ketika saat jatuh dan terduduk ini sebenarnya keadaan terbaik untuk bermuhasabah, “berkhalwat”, dan belajar dari kesilapan demi kebangkitan semula.

Dan kini semakin jelas bagaimana sesuatu kekalahan itu boleh menjadi “permata tidak ternilai” antara UMNO dan Pas.

Sehinggakan dua musuh tradisi sekian lama yang sering bertelagah menuding jari mencari salah, kini berpelukan dan saling menyantuni satu sama lain.

Dua seteru itu kini masing-masing semakin erat saling mahu mengenali hati budi masing-masing.

Malah kopiah dan lebai yang merupakan seragam bagi Pas selama ini, kini mereka tidak lagi segan silu menggayakan tengkolok lengkap bersampin berbaju Melayu dalam majlis parti.

Kekalahan pada pilihan raya lepas telah memungkinkan segalanya.

Ia juga telah merubah dan mengubah ego banyak pihak yang sebelum ini berdegil dan berkeras kekar tidak mahu berubah demi kerana kiblat politik.

Ya, sejarah politik negara telah banyak merosakkan perpaduan dan keutuhan semangat Melayu.

keutamaan

Dengan lemahnya sistem beraja juga telah menandakan bermulanya perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana politik dan ideologi yang dipegang.

Demokrasi, liberalisme dan kapitalisme yang dihurung manusia sekarang antara punca kenapa manusia menjadi pecah belah dan ketamakan serta penting diri semakin berleluasa.

Manusia sering mencipta alasan untuk tidak mahu bersatu dan bertelingkah demi menegakkan prinsip dan perjuangan.

Dan politik adalah wadah yang ditunggang demi melaksanakan keinginan puncak kuasa.

Namun sekali lagi akibat kalah pilihan raya manusia berubah. Memang pedih kuasa yang disanjung selama ini hilang sekelip mata.

Namun ia masih boleh dicapai kerana “hidangan lazat” ada di depan mata demi sesiapa yang rakus melompat menganjak kuasa.

Tidak ada istilah bersih atau kotor dalam politik kerana kawan boleh jadi lawan, saudara boleh putus hubungan dan suami isteri bercerai berai.

Begitu juga UMNO dan Pas selepas sekian lama jatuh talak dan putus sudah kasih sayang, tetapi selepas kalah kasih antara dua parti terbesar Melayu itu kembali bertaut.

Banyak perkara yang boleh dibantu dan dikorban bersama demi kepentingan Melayu dan Islam.

Namun sebagai sebuah parti politik yang jatuh terduduk pada pilihan raya lepas, perseteruan bukanlah sesuatu yang bijak tatkala parti baru nak pulih dan dilihat rakyat terbanyak sudah mula bangkit kembali.

Masalah perebutan kuasa adalah biasa jika masih di atas tetapi bukannya di saat sudah jatuh terlangkup.

Kemelut di saat tidak ada apa apa hanya akan menjadi bahan ketawa dan punca parti lemah longlai kerana gagal mamahami real politik dan yang mana satu keutamaan dan mana yang bukan.

Cubalah selesaikan kemelut ini sebaik mungkin seperti menarik rambut dalam tepung. Tidak berselerak dan tidak ada pihak yang terasa atau berkecil hati.

Berjiwa besarlah demi Islam dan orang Melayu, itu lebih besar nikmatnya berbanding hanya memenuhi kehendak peribadi dan tembolok sendiri.

UMNO bukan milik individu dan bukan untuk kepentingan peribadi. Ia milik orang Melayu yang sarat dengan kisah perjuangan agama, bangsa dan negara.

Semua pihak dalam UMNO harus malu dengan sikap penting diri dan agenda peribadi di saat begini.

Janganlah tunjukkan kelemahan diri pada semua. Pelik orang melihat bagaimana UMNO boleh bersatu dan mesra bertawa’un dengan Pas tetapi berseteru sesama sendiri di dalam parti.

Carilah titik penyelesaian dan belajarlah jangan penting diri. Ini kerana yang utama Islam dan Melayu kekal terpahat selamanya bukannya segelintir individu yang dahaga kuasa.