Sejak dilahirkan, UMNO menghadapi pelbagai cabaran dari luar dan dalam termasuk pengunduran Datuk Onn sebagai presiden pertamanya, diikuti Tunku Abdul Rahman selepas Peristiwa 13 Mei, pergolakan era Tun Razak, Datuk Hussein Onn dan pergolakan terhebat era Tun Dr. Mahathir sehingga membawa kepada pengharaman UMNO dan pemecatan Timbalan Presiden UMN O, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Kini UMNO diuji lagi dalam PRU -14, apabila dilanda tsunami rakyat yang membadai institusi politik tempat orang Melayu berpaut dan berpayung itu.

Ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid, Sahidan Jaafar dan Amizul Tunizar Ahmad Termizi, Ketua Penerangan UMN O, Tan Sri Annuar Musa menyatakan, setakat ini tiada teori yang dapat menjelaskan fenomena yang berlaku kepada UMN O dan Barisan Nasional berikutan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU -14) baru-baru ini.

Untuk bangkit semula sebagai sebuah parti yang berjaya di masa hadapan inilah pendapat Annuar: “UMNO kena buang ego. UMN O kena fikirkan apa yang baik bagi orang Melayu.

"UMNO tak perlu lagi fikir nak cari kuasa atau nak dapat kuasa. Tidak lagi. Juga, tidak perlu apaapa jawatan. Sebab, segala keputusan itu sudah berlalu!”

MINGGUAN: Apakah yang dapat Tan Sri perkatakan tentang UMNO yang selama ini pernah menjadi 'payung keramat' tempat orang Melayu berteduh sejak 72 tahun lalu?

ANNUAR: Saya fikir, kalau lagi banyak kita bincang tentang UMNO, darahnya lagi banyak mengalir. Lagi besar lukanya. Sebab sekarang wujud keresahan kepada ahli dan sebagainya.

Kita sepatutnya fokus kepada kerajaan baharu sejauh mana mereka reflect kehendak rakyat, dan memberi gambaran tentang komposisi negara misalnya.

Sebab percaturan mereka untuk menjatuhkan kerajaan. Kita yakin mereka mula mencari alasan. Termasuk juga pertama kali kita sekarang berada dalam kerajaan majoriti bukan Melayu dan bukan Islam. Sesuatu yang kita tidak pernah terfikir boleh berlaku.

Tetapi, sekarang majoriti sebahagian besar mempunyai track record, pendirian tertentu terhadap Islam dan kepentingan orang Melayu. Oleh itu dengan sifat kerajaan yang sebegitu apakah agaknya senario yang bakal berlaku?

Pada saya, kerisauan bukan saja soal bagaimana dengan UMNO, tapi saya turut risau bagaimana dengan kerajaan. Sudah tentu dengan UMNO, soal bagaimana hendak bangkit balik setelah hilang kuasa.

Tetapi dalam keadaan kita hilang kuasa adakah kerajaan yang terbentuk ini dapat menjamin kepentingan orang Melayu dan orang Islam?

Sebab perjuangan kita asas utamanya di situ (Melayu dan Islam), bukan soal kuasa tapi apakah bentuk pembelaan kepada agama yang menjadi tanggungjawab kita dan juga pembelaan terhadap nasib orang Melayu. Jadi kedua-dua ini sama resahnya.

Bagaimana UMNO boleh bangkit semula setelah mengalami keruntuhan pasca PRU-14?

ANNUAR: Dalam soal UMNO, mesti berfikir bagaimana boleh kita bangkit dari situasi ini sebab keadaannya tidak semudah yang kita nampak.

Ini adalah kerana ia berpunca agak lama dan mengambil masa selama 20 tahun sebelum ia runtuh. Banyak orang berfikir ia runtuh sekarang. Tidak. Proses meruntuhkan UMNO itu berlaku dari tahun 1998 sampai 2018.

Ia bermula dari tindakan Dr. Mahathir memenjarakan Anwar. Dan oleh sebab tindakan diambil kepada orang yang berpangkat Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO maka retak itu besar.

Dan di situ proses untuk menghakis kredibiliti UMNO itu bermula. Dan kita lihat kesan pada pilihan raya 1998 dan 2004. Tapi pada waktu itu Barisan Nasional (BN) masih mendapat sokongan.

Sebab walaupun UMNO diserang, tapi BN mendapat sokongan pengundi Cina pada 1998 dan 2004 yang kuat. Bila dilihat orang Melayu begitu kuat pada 2004, pengundi Cina beralih arah pada 2008.

Jangan lupa, pada waktu itu sekali lagi Dr. Mahathir juga, kalau pertama kali beliau memenjarakan Anwar, 2008 beliau menyerang Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

Kali ini luka dalam UMNO bertambah lagi. Dalam keadaan politik orang Cina mula berubah, mereka mula terhidu UMNO yang luka. Bila terhidu UMNO yang luka, politik orang Cina mengambil kesempatan daripada situasi itu.

Mereka tidak lagi memberikan sokongan pada UMNO. Bila itu berlaku terpaksa diambil tindakan, Pak Lah berundur dengan harapan keadaan dapat diperbaiki.

Ternyata undi orang Cina tidak balik walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak cuba membawa pendekatan 1Malaysia dan sebagainya, berpindah daripada pendekatan yang menekankan kuat kepada soal Islam di bawah konsep Islam Hadhari.

Datuk Seri Najib cuba membuat pembetulan dan Pilihan Raya 2013 beliau boleh bertahan tapi undi orang Cina tidak kembali.

Bila datang pilihan raya kali ini, UMNO yang luka makin luka. Orang Cina pula dulu pemimpin Cina utara ambil sikap begitu, kali ini keseluruhan pengundi muda Cina ambil kesempatan penuh.

Sekali lagi peranan utama Dr. Mahathir. Jadi yang membunuh UMNO ialah Dr. Mahathir kerana permainan politik cara beliau itulah yang menyebabkan UMNO makin luka, makin luka. Jadi, inilah kemuncaknya.

Jadi rentetan keruntuhan UMNO ini bukan berlaku pada PRU-14 tetapi sejak 20 tahun lalu?

ANNUAR: Saya tidak lihat pada PRU-14, tetapi saya lihat rentetan berlaku 20 tahun sebelum UMNO itu tumbang dari 1998 hingga 2018, kita tidak dapat bangkit. Dan saya nampak setiap kali luka yang menikam itu seorang saja iaitu Dr. Mahathir untuk beliau mencapai matlamatnya.

Sekarang beliau kata boleh terima Anwar Ibrahim. Pada saya cuba renung dan memahami kalau dulu Dr. Mahathir memenjarakan Anwar, dan kita pertahankan Dr. Mahathir sebab kita tak pernah 
ada masalah dengan Anwar. Kita semua kawan-kawan baik dengan Anwar.

Tapi kita terima saja versi Dr. Mahathir. Dan kita terlibat dalam melukakan UMNO seorang ke hulu, seorang ke hilir. Mungkin dengan sekarang ini, dengan takdir Allah SWT, Dr. Mahathir menyelesaikan apa yang dulu dia buat.

Dia minta maaf, minta maaflah. Pada sayalah, elok sangat Anwar diberi full pardon (pengampunan penuh) sebab yang boleh membetulkannya Anwar sahaja. Sebab soal politik orang Melayu dan orang Islam yang jadi begini kerana Dr. Mahathir.

Sekarang Dr. Mahathir ambil inisiatif seperti dijaja Pakatan Harapan, keluarkan Anwar Ibrahim dan beliau perlu segera mengambil alih daripada Dr. Mahathir.

Dan saya membayangkan di situ dan ini khayalan saya seorang, perlu bentuk national reconciliation (perdamaian nasional). Anwar perlu membawa satu formula politik lain yang mengetepikan soal dendam mendendam sesama semua.

Kalau Dr. Mahathir sudah kata nak betulkan kesalahannya, saya fikir eloklah Anwar keluar, sudah tentu Anwar kena memaafkan Tun Dr. Mahathir, dan beliau pun dah memaafkan Anwar. Sebab 20 tahun persengketaan ini berlaku kerana mereka berdua. Pada saya adalah wajar, Anwar diberikan tanggungjawab memimpin negara.

Dan di situ saya harap Anwar akan melihat bukan kepada soal PRU-14 siapa lawan siapa. Anwar kena lihat rentetan ini berlaku sejak beliau dipenjarakan, ditubuhkan PKR, kemudian berterusan kepada Dr. Mahathir kerana agenda Dr. Mahathir berlaku pada PRU-14.

Sekarang, Dr. Mahathir perlu berehat dan Anwar ambil alih dan saya harap beliau tidak memanjangkan politik cara Dr. Mahathir.

Saya fikir beliaulah antara pemimpin yang boleh mengubati masalah. Sebab, Najib mungkin sudah tidak diterima lagi hatta dalam UMNO.

Dr. Mahathir juga dengan partinya hanya ada 10 kerusi, kita tidak boleh mengharapkan apa-apa. Kalau beliau duduk di situ juga akan terikat dengan DAP, itu kata-kata beliau sendiri. Beliau terpaksa, kuasa Dr. Mahathir kena mengharapkan kepada kekuatan DAP. Jadi antara Dr. Mahathir dan DAP ke mana kita hendak pergi?

Pada saya adalah PKR. Dan siapa yang boleh membaiki keadaan rosak dan tempang? Mana mungkin sebuah negeri orang Melayu dan orang Islam boleh Pas dan UMNO hampir seratus kerusi duduk sebagai pembangkang. Dan orang bukan Melayu dan bukan Islam di tempat istimewa.

Jadi bagaimana untuk mengatasi perkara ini? Perkara ini berlaku bukan kehendak rakyat Malaysia. Saya tidak fikir ini kehendak orang Melayu. Sebab orang Melayu, kerusi UMNO lebih 50 buah itu adalah refleksi suara orang Melayu.

Namun percaturan politik Malaysia kini semakin menarik. Pandangan Tan Sri tentang landskap politik negara?

ANNUAR: Apa yang berlaku sebelah sana adalah hasil daripada percaturan politik yang melahirkan Pakatan Harapan. Ini percaturan politik. Orang Cina ada percaturan politik mereka. Dr. Mahathir ada percaturan politiknya. Jadi Dr. Mahathir menggunakan kesempatan itu. Jadi saya tidak fikir ini formula yang boleh dipertahankan tanpa sebarang koreksi dari sudut kepentingan nasional. Saya tidak fikir itu boleh bertahan lama. Jadi di situ saya nampak Anwar perlu segera dijadikan Perdana Menteri. Dan saya tidak tahu apa dalam fikirannya (Anwar).

Tapi pengharapan pada Anwar ini bukan lagi soal pengharapan ambil kuasa daripada PKR. Untuk memperbaiki kesan luka dan impak daripada pertarungan 20 tahun ini yang membawa kesan cukup tempang. Orang UMNO kena telan segala kepahitan.

Bahawasanya, ketua negara adalah Anwar. Dan beliau diharapkan mengetepikan soal sentimen ini dan membina satu bentuk perdamaian nasional yang lebih mencerminkan kehendak semua orang.

Sebab saya tidak fikir apa yang ada dalam kerajaan sekarang kehendak orang Melayu. Sudah tentu ini bukan kehendak orang Pas, ini juga bukan kehendak orang UMNO. Jangan lupa Pas dan UMNO itu hampir separuh daripada suara dalam Parlimen. Tapi suara yang berpecah.

Apa UMNO perlu lakukan sejajar dengan perkembangan semasa sekarang?

ANNUAR: Hari ini UMNO hilang kuasa, apa hendak buat? Ini realitinya. Kita perlu bergerak ke depan sebagai satu parti yang berwibawa. Kita masih mempunyai ahli yang ramai. Sudah tentu, macam orang lepas berperang, tidak ada masalah.

Pada saya DAP pernah menjadi pembangkang berpuluh tahun, saya di Kelantan pernah jadi pembangkang selama 30 tahun, itulah politik. Tapi bagaimana dengan bangsa dan agama?

Kalau tak ada UMNO tak apa asal orang Melayu ada vehicle yang boleh menjaga kepentingan orang Melayu. Orang mungkin boleh berkata apa saja.

Sesetengah orang berkata UMNO tidak usah bercakap soal atas dasar kaum. Mengapa tidak boleh? Padahal, faktanya orang Cina sebenarnya berada di belakang DAP.

Faktanya orang Cina menyalahkan MCA tidak efektif dari segi membela kehendak orang Cina. Mereka pergi kepada DAP. Inilah politik perkauman. Ini bukan soal rasis. Politik perkauman berbeza dengan rasis.

Rasis, kalau kamu hendak membesarkan kaum masing-masing, kamu hendak menganiaya orang lain. Itu lain. Tetapi politik perkauman itu suatu realiti. Kita tidak boleh nafikan.

Apakah perubahan besar yang perlu dilakukan UMNO selepas ini?

ANNUAR: Biasalah, kita bila berlaku sesuatu yang menunjukkan kelemahan kita terpaksa mencari sesuatu yang baru. Bila berlaku sesuatu sudah tentu kita dilihat lemah.

Bila kita lemah sebagai satu entiti politik, kita mesti mencari kekuatan, soalnya bagaimana caranya? Macam-macam. Pilihan ada di depan kita. Cuma dalam situasi begini kita tidak harus menjadikan keadaan lebih parah.

Kita mesti jangan hilang kebijaksanaan sebagai orang Melayu. Kita sebagai orang Islam jadikan latihan itu dengan iman bukan dengan emosi. Akar umbinya amat jelas, menyusun semula parti.

Jangan buat sesuatu dengan cara orang kata tidak ada hikmah dan kebijaksanaan. Saya fikir jalan itu semua orang sudah tahu. Jelas, cuma segan hendak sebut, malu-malu alah.

Pada saya kita mesti buat dengan cara penuh kebijaksanaan supaya jangan makin bertambah parah. Ini bermakna, pada saya kita tidak perlulah terburu-buru.

Dalam parti kita ada kaedah-kaedah tertentu dalam parti. Bukan bermakna kita buat dengan cepat kita boleh selesaikan segala masalah. Kita perlukan masa untuk melaksanakan.

Bagi saya formulanya tidak susah. Secara dalamannya kita perlu mengumpul dan menyusun semula parti kita sebaik-baiknya. Kita memerlukan semua orang dan pada masa sama kita tidak boleh ketepikan orang yang kita tidak suka. Kami pernah mengalaminya semasa kita tolak Pak Lah.

Sayalah orang terakhir dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang tidak bersetuju dengan cara itu (tolak Pak Lah). Saya dah fikir suatu hari nanti pasti akan terjadi perkara seperti itu.

Pada saya, bukanlah sesuatu yang rumit sampai pecah kepala kita hendak memikirkan apa yang perlu dibuat. Tapi pada saya cara kita nak buat itu yang lebih penting.

Pada saya kita ada parti, kita ada struktur, ada kaedah, visi, kesepakatan dan perlu mencapai persetujuan bersama. Kita perlu bertindak secara bijaksana. Dalam hal begini kebijaksanaan itu lebih penting.

Apa yang lebih penting, saya hendak melihat suatu perubahan yang lebih besar berlaku dalam parti. Itulah yang paling penting.