Mereka bagaikan `cacing kepanasan’ apabila tidak menyangka kedua-dua parti itu bersatu, justeru mereka tidak ada pilihan selain cuba memberi gambaran melampau terhadap kerjasama itu seolah-olah kalau UMNO-Pas bersepakat maka `berakhirlah dunia.’

 Penulis boleh memahami kenapa DAP gelabah. Ia disebabkan mereka tahu sejauh manakah kekuatan parti-parti yang dipimpin orang Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) menarik sokongan kaum tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kekalahan dua pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan Semenyih memberi isyarat kekuatan parti-parti tersebut yang selama ini `diperalatkan’ oleh DAP bagi meraih kuasa semakin luntur.

 DAP bimbang jika orang Melayu terus menunjukkan kesepakatan dan penyatuan dengan memberi sokongan kepada UMNO-Pas maka ia akan menjadi malapetaka politik kepada mereka. Jika tidak, kenapa mereka begitu beria-ia benar menentang kerjasama tersebut?

Bukankah selama ini DAP berasa cukup hebat dengan adanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) sehingga sanggup bekerjasama dengan seorang pemimpin yang selama berpuluh-puluh tahun menjadi musuh politik mereka?

Sepatutnya DAP tidak perlu campur tangan apatah lagi melatah tidak tentu hala apabila UMNO-Pas berbaik-baik. Ia memandangkan apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu sama sekali tiada kaitan dengan mereka. UMNO mahupun Pas bukannya berada dalam PH, justeru kenapa hendak menyibuk?

Kita faham selama ini DAP cukup berkuasa dalam PH sehingga mampu memastikan Bersatu, PKR dan Amanah tunduk dengan kehendak politik mereka. Demi kuasa politik, tiada pemimpin-pemimpin Melayu dalam ketiga-tiga parti itu berani menyangka DAP. Lagipun mereka tiada kekuatan untuk berbuat demikian, tetapi DAP tiada hak untuk menyerang UMNO-Pas.

Apa yang dilakukan oleh UMNO-Pas adalah demi penyatuan ummah dan apabila sebut perkataan `ummah’ ia sudah pastilah berkaitan umat Islam, oleh itu apa hak DAP untuk campur tangan? Adalah lebih baik DAP diam! Tumpu sahaja perhatian kepada parti-parti dalam PH yang dilihat `berada di bawah telunjuk’ parti tersebut.

 DAP mungkin boleh berkongsi sentimen dengan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH dengan menuduh macam-macam terhadap kerjasama UMNO-Pas, tetapi percayalah ia sama sekali tidak akan menjadi `kudis’ apatah lagi `penghalang’ kepada orang Melayu untuk memberi sokongan kepada kedua-dua parti tersebut.

 Apa yang dilakukan oleh UMNO-Pas bukanlah untuk mengancam kaum lain seperti mana kenyataan `tidak masuk akal’ pemimpin-pemimpin DAP, sebaliknya ia hanya berkaitan demi kepentingan orang Melayu dan agama Islam tanpa menggugat kaum lain.

 Mungkin juga DAP gelisah kerana sudah nampak tanda-tanda dalam kalangan bukan Melayu pun mula meninggalkan PH, biarpun setakat ini tidak ketara tetapi ia dijangka meningkat berikutan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji-janji PRU-14.

 Apapun DAP tidak berhak campur tangan dalam urusan UMNO-Pas. Tidak payahlah memberi hujah `bodoh’ kononnya apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu boleh menyebabkan Malaysia menjadi negara Taliban atau bertujuan menyasarkan bukan Melayu. Semua itu hanya menampakkan ketakutan pemimpin-pemimpin DAP kerana tahu parti-parti di dalam PH tidak sehebat UMNO-Pas.

Maklumlah selama ini pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH menyerang UMNO dan Pas habis-habisan. UMNO dikatakan akan hancur dan Pas pula digambarkan menerima rasuah daripada UMNO. Paling lucu ada pemimpin PH berhujah kerjasama kedua-dua parti itu untuk kepentingan Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi berdasarkan reaksi rakyat terutamanya orang Melayu, mereka ternyata menyambut baik apa yang dilakukan oleh UMNO-Pas.

Inilah yang dibimbangi oleh DAP. Parti itu tahu Bersatu tidaklah sekuat mana, di peringkat cawangan dan bahagian pun caca marba dan kekuatannya hanya bergantung kepada seorang pemimpin sahaja, PKR pula sedang berhadapan dengan kemungkinan krisis dalaman manakala Amanah seperti biasa hanya mengikut sahaja apa kata DAP dan tiada apa-apa daya penarik untuk membolehkan orang Melayu menyokong mereka.

 Faktor-faktor inilah yang membimbangkan DAP. Oleh itu mahu tidak mahu DAP berusaha memburuk-burukkan kerjasama tersebut semaksimum mungkin. Mereka cuba memberi gambaran kepada rakyat bukan Melayu betapa bahayanya kerjasama berkenaan.

Kita pun tahu kaum mana paling kuat menyokong DAP, tidak payahlah penulis nyatakan, namun tidak mengapa itu hak mereka untuk meraih sokongan dan hak rakyat menyokong parti mana pun, tetapi janganlah menyibuk hal berkaitan penyatuan orang Melayu dan umat Islam. Sama ada kerjasama itu benar-benar akan mengancam bukan Melayu atau tidak, biarlah rakyat menilai. Lagipun sejak bila pula UMNO atau Pas menganiaya kaum lain bila ada kuasa?

Kesimpulannya, adalah wajar DAP diam sahaja. Tidak payah nampak takut sangat dengan kerjasama UMNO-Pas, walaupun kita tahu DAP bimbang kedudukan politik PH akan terancam.

Kerjasama itu urusan orang Melayu dan umat Islam, biarlah kami uruskan. Soal sama ada kaum itu akan bersama PH atau tidak, selepas ini, biarlah Bersatu,PKR dan Amanah fikirkan, maklumlah mereka kan sahabat setia DAP.