Dalam tulisannya yang bertajuk Pembangkang ada tiga cara model untuk bergabung dalam ruangan Kolum ODN di halaman 52, Poh Fuh menyatakan tentang situasi politik di Malaysia adalah bersandarkan kepada realiti. Parti-parti politik perlu bergabung bagi mendapatkan kuasa pemerintahan negara.

Berhubung kedudukan Pas yang bergerak solo dan mampu memerintah dua negeri serta sokongan 30 peratus tiket undi orang Melayu, tetapi di peringkat Kerajaan Pusat, Pas tentunya tidak dapat berkuasa tanpa bergabung dengan parti-parti lain sebagaimana diakui sendiri oleh pemimpinnya, Datuk Mustafa Ali.

Pas sememangnya memerlukan sokongan daripada bukan Melayu. Jika dilihat pola pengundian di seluruh negara, sokongan rakyat kepada parti-parti tertentu adalah mengikut kawasan.

Oleh itu, Pas tidak boleh hanya bersandarkan kepada tiket depo­sit 30 peratus undi orang Me­layu itu kerana ia tidak akan memberikan jaminan untuk menang mana-mana kerusi kecuali di kawasan Pantai Timur dan Kedah.

Pas hanya mengharapkan semata-mata undi orang Muslim. Sama seperti pendirian MCA dan MIC, mereka memperjuangkan nasib kaum mereka sendiri. Tetapi adakah mereka mampu? Berbeza dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau mempunyai sokongan padu daripada orang-orang bukan Muslim iaitu sebanyak 79 peratus sokongan diperoleh daripada orang Cina manakala 89 peratus daripada kaum India.

Jika Pas menggunakan formula kedua iaitu bergabung dengan UMNO, bagaimana Pas mampu merentasi kepentingan parti itu sendiri? Jika kedua-dua parti bergabung dan memperoleh 70 peratus sokongan pengundi Melayu, timbul persoalan pula calon parti manakah yang akan bertanding mewakili kerusi tersebut? Soal penggabungan bukanlah menjadi permasalahan besar kerana yang lebih sukar ialah pembahagian kerusi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis lalu telah memberikan isyarat awal bahawa formula penggabungan antara Pas-UMNO temui kegagalan. Ia ber­ikutan akar umbi Pas tidak memberikan sokongan kepada calon UMNO yang bertanding.

Walaupun sekiranya UMNO mengerahkan semua ahlinya untuk memberikan sokongan kepada Pas pada PRK DUN Seri Setia tidak lama lagi, ia belum tentu memberikan kemenangan. Ini kerana PKR sebelum ini menang dengan majoriti lebih 20,000 undi selain 45 peratus pengundi bukan Islam akan memberikan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Formula ketiga pula ialah UMNO dan Pas masing-masing memilih haluan sendiri. Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini pernah meminta supaya UMNO membuka keahlian parti itu untuk semua kaum. Bermakna UMNO sudah tidak lagi memerlukan MCA atau MIC.

Parti-parti pembangkang perlu memilih tiga jenis formula ini. Apa pun, UMNO masih tetap mempunyai banyak aset parti, masih ada pasukan, ada pengalaman dalam berpolitik, ditambah pula dengan sumber tiket undi dalam kalangan orang Melayu. Perkara-perkara itu masih mampu menentang PH.

 

PH PERLU KEKALKAN MOMENTUM SOKONGAN RAKYAT

AKHBAR Sinchew Daily News bertarikh 1 September 2018 pula memaparkan tulisan Lim Sue Guan yang mengupas mengenai perubahan yang perlu dilakukan oleh kerajaan PH.

Dalam tulisannya yang bertajuk Sambutan hari merdeka yang berlainan dalam ruangan Opinion Corner di halaman 19, Sue Guan menyatakan tentang sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini amat bermakna seolah-olah rak­yat Malaysia merdeka kali kedua selepas bebas daripada pemerintahan kleptokrasi sebagaimana kenyataan Dr. Mahathir.

Ada benar juga kenyataan Perdana Menteri itu kerana jika kita tidak menukar kerajaan pada hari ini, negara akan mengalami risiko amat besar kerana terlalu banyak bebanan hutang dan berkemungkinan negara akan bankrap.

Ia berikutan beberapa pendedahan Kementerian Kewangan berhubung skandal wang amanah membabitkan pemulangan cukai barang dan perkhidmatan (GST) selain hutang bayaran balik oleh Lembaga Hasil Da­lam Negeri Malaysia (LHDN). Ini menunjukkan bahawa kerajaan lalu menghadapi krisis kewangan yang teruk, terpaksa menggunakan taktik ‘gali lubang tutup lubang’.

Sebab itu sambutan mer­deka tahun ini boleh dium­pamakan sambutan merdeka kedua, membawa harapan baharu kepada negara dan rakyat. Pada masa ini sokongan rakyat di tahap tertinggi sebagaimana kajian yang dilaksanakan beberapa agensi penyelidik.

Dalam hal ini, PH yang berjaya memerintah negara sepatutnya mengambil kesempatan dengan momentum sokongan rakyat itu. Oleh itu, mereka perlu membentuk kekuatan untuk memacu negara ke arah lebih baik. Hal ini demi mengekalkan keyakinan rakyat kerana mereka telah meletakkan harapan tinggi untuk melihat perubahan.

Bagaimanapun pada masa ini rakyat masih belum nampak apakah bentuk polisi kerajaan baharu. Dasar ekonomi masih samar-samar apatah lagi jika Dr. Mahathir masih berterusan memberi tohmahan kepada pelaburan China, ia akan turut menyekat pelaburan asing lain. Begitu juga soal pelaksanaan agenda ekonomi untuk orang Melayu dan pembangunan ekonomi untuk kaum-kaum lain.

Walaupun PH memberikan jaminan tidak akan berlaku salah guna kuasa, tetapi ia belum tentu ada kebenarannya. Sebab itu kerajaan baharu ini perlu memperkemaskan semula sistem negara, gunakan akta yang lengkap untuk membasmi rasuah dengan meletakkan benteng bagi memastikan tiada ruang salah guna kuasa akan terlepas.