Apa signifikannya sambutan 71 tahun UMNO? 

HISHAMMUDDIN: Sebagai cucu kepada pengasas UMNO, secara peribadi saya bersyukur kerana perjalanan kita sampai tahap ini, 71 tahun bukan tempoh singkat untuk sebuah parti kekal relevan dan bertahan.

Kedua, dalam landskap politik yang berubah, kita hadapi kritikan dan dugaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi dapat melaluinya. Ini memberi kekuatan untuk kita berdepan bukan sahaja ujian hari ini tetapi mungkin ujian lebih besar pada masa akan datang.

Ketiga, saya amat gembira kerana melihat ahli UMNO sedar bahawa parti ini bukan hanya untuk mereka. Kita berada dalam UMNO untuk memimpin bangsa, ummah, kerajaan dan ini adalah kekuatan serta kelebihan yang jangan kita ambil mudah, kerana kalau kita leka, ingat ini satu hak, akhirnya kita tidak dapat bertahan. Kita kena kembali kepada rakyat. Ahli UMNO sahaja tidak mencukupi untuk tentukan ke­langsungan parti. Yang tentukan survival parti rakyat di luar sana.

Sebab itu, orang UMNO jangan ambil mudah, ini bukan hak kita, UMNO ini hak orang ramai dan hak bangsa kita, tanah air kita. Tanpa sokongan rakyat pelbagai kaum kekuatan UMNO tidak bermakna. Saya bimbang pada masa akan datang kita tidak dapat pertahankan. Setakat hari ini Alhamdulillah. Saya tengok walaupun dituduh macam-macam, diserang bertubi-tubi tetapi kita masih dapat raikan sambutan ulang tahun ke-71 UMNO secara besar-besaran, satu petanda yang baik, insya-Allah.

SOALAN: UMNO parti yang perjuangkan Melayu, agama dan negara, tetapi pada masa sama ada juga parti lain yang lebih kurang sama agendanya. Apa yang Datuk Seri rasakan UMNO perlu lakukan supaya rakyat hanya memandang kepada UMNO sahaja?

HISHAMMUDDIN: Apa yang kita lakukan sejak Datuk Onn dulu kita konsisten dengan pendirian yang tidak berubah-ubah, malah pendirian yang berani sebenarnya dalam dunia politik. Ini yang pihak pembangkang cuba tiru tetapi kebelakangan ini sudah nampak mereka tidak berjaya kerana dalam perjuangan ini memerlukan keikhlasan. Kejujuran meletakkan perjuangan lebih besar daripada kepentingan peribadi, meletakkan perjuangan melebihi emosi.

Banyak yang diluahkan di luar sana terhadap UMNO bersandarkan kepada kemarahan, kebencian dan agenda-agenda sempit. Saya harap orang ramai dapat nilai sendiri sama ada konsistensi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat diterjemahkan kepada sokongan terhadap parti serta calon kita masa pilihan raya, itu ujian yang paling penting kita hadapi.

DAP sekarang dilihat aktif menarik golongan muda terutamanya Melayu untuk sertai mereka. Apakah strategi UMNO supaya anak-anak muda ini tidak lari ke parti lain?

HISHAMMUDDIN: Kita kena kerja kuat. Perlu memahami bahawa landskap di luar sudah berubah dan perlu lebih inklusif. Sebab itu, kita kena dekati golongan muda, bukan sahaja golongan muda tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli agama, aktivis, peniaga, guru dan anggota tentera kerana dunia hari ini tiada tapisan.

Kalau tidak dekati pihak ber­kenaan nanti mereka hanya dapat cerita satu pihak sahaja dan itu mungkin pengaruhi mereka tidak sokong kita. Jadi kena kerja kuat untuk dekati mereka. Jangan kisah sesama kita dalam parti sahaja. Yang menentukan jatuh bangun di luar sana sama ada golongan muda, guru, anggota tentera, semua itu mesti didekati.

Kedua, beri harapan kepada mereka bahawa kita mempunyai perancangan untuk membawa transformasi kepada parti supaya sentiasa relevan bukan sahaja untuk golongan yang lebih dewasa tetapi yang muda, bukan berkisar kepada pertimbangan politik sahaja. Sebab itu diwujudkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu perancangan kita sehingga ke tahun 2050.

Mana ada parti-parti pembangkang yang mempunyai perancangan seperti itu? Mana ada parti-parti pembangkang yang dengar dan dapatkan maklum balas daripada orang ramai untuk mengisi visi negara sampai 2050? Hendak menuding jari memang mudah tetapi insya-Allah kita buat berperingkat-peringkat.

Datuk Seri bercakap mengenai kelemahan. Kelemahan apa yang harus ahli parti sedar dan atasinya?

HISHAMUDDIN: Pertamanya tiada parti di dunia ini terkecuali daripada kelemahan dan banyak parti yang wujud masa sama de­ngan UMNO bila diuji tidak lulus, tidak wujud lagi pada hari ini. UMNO adalah parti yang me­nuntut kemerdekaan negara dan masih wujud sehingga ke hari ini tetapi tidak bermakna bahawa dalam proses sampai ke usia 71 UMNO tiada kelemahan. Kelemahan ini banyak berkisar kepada keputusan yang kita buat suatu ketika dulu masih lagi relevan tetapi hari ini mungkin memerlukan transformasi dan pendekatan berbeza.

Kedua, pendekatan kita kepada golongan muda. Mereka adalah masa depan kepimpinan dan masyarakat akan datang dicorakkan oleh mereka. Jadi, pendekatan kita dengan mereka mesti ikut corak kehendak cita rasa mereka, kalau kita hanya bottom down akhirnya aspirasi harapan mereka tidak kesampaian dalam kita hendak terjemah perjuangan UMNO pada masa akan datang.

Ketiga, dunia tanpa sempadan hari ini. Dalam aplikasi WhatsApp bukan semuanya betul, kadang-kadang sengaja laga-lagakan kita, berdepan dengan fitnah mereka yang berniat jahat tetapi akhirnya kerana kebijaksanaan, kewarasan, ketabahan, kesabaran kepimpinan yang telah lalui segalanya jadi sandaran untuk atasi apa jua kemungkinan dan perkara yang mereka lemparkan terhadap kita.

Apa mesej yang UMNO mahu sampaikan kepada rakyat khususnya ahli parti sendiri bersempena sambutan ulang tahun ini?

HISHAMMUDDIN: Bahawa ki­­ta­ adalah sebuah parti yang bertanggungjawab, mempunyai pe­mimpin yang pikul amanah, mempunyai perancangan bukan hanya untuk orang Melayu, Islam tetapi rakyat berbilang kaum dan agama. Kita juga ingin perjuangkan imej Islam sebenar dalam dunia yang begitu sempit terhadap Islam.

Dari segi ekonomi global tidak menentu kita juga bertahan. Ini semua memerlukan mereka yang melakukan sesuatu tanpa hanya berkisar kepada dividen politik. Banyak perkara yang kita buat mungkin tidak popular tetapi demi masa depan ekonomi, ke­selamatan negara dan masa depan kesatuan perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama, kita kena terangkan kepada orang ramai, kita tidak kompromi dalam hal ini.

Kita tidak sempurna, banyak kelemahan tetapi kita akan memperbaikinya.

Mengikuti perkembangan po­­li­­­tik­ semasa, UMNO dilihat bekerjasama dengan Pas dalam perkara tertentu. Sejauh manakah hubu­ngan antara kedua-dua parti politik ini?

HISHAMMUDDIN: Saya te­ngok ada kematangan, perubahan dalam landskap politik hari ini. Kita hendak berpolitik mesti ada had dan batasan. Kalau hubu­ngan dengan Pas ada detik-detik dan perkara-perkara yang boleh dikongsi bersama untuk agenda lebih besar iaitu kepen­tingan ummah, Islam, imej Malaysia kepada dunia, siapa boleh salahkan kita?

Mungkin ada pihak tidak se­nang dengan kerjasama ini ke­rana perjuangan politik, cuba gembar-gemburkan dan keruhkan keadaan. Tetapi kalau kita ikhlas, apa yang kita lakukan ini melebihi pertimbangan politik semasa. Akhirnya rakyat boleh lihat sendiri bahawa agenda-agenda yang diperjuangkan berkaitan agama dan kedudukan umat Islam di negara ini dan rantau kita di pe­ringkat dunia. Jadi tiada sebab kita tidak boleh cari jambatan untuk kerjasama.

Berkaitan pelantikan Datuk Seri sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri. Banyak pihak khususnya akar umbi sendiri mempunyai persepsi berbeza mengenai hubungan Datuk Seri dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Apa pandangan Datuk Seri?

HISHAMMUDDIN: Persepsi di bawah berubah-ubah. Sekiranya di atas tidak tunjuk masalah di bawah pun tidak kecoh. Kadangkala bawah kecoh kerana kita benarkan persepsi seperti ini wujud. Saya mahu nyatakan hubungan saya dengan Ahmad Zahid tiada masalah, malah beliau sendiri yang cadang nama saya dilantik ke jawatan itu. Mahu kata apa lagi?

Ada pihak mengatakan pelantikan itu juga adalah batu loncatan kepada Datuk Seri dalam karier politik. Apa komen Datuk Seri?

HISHAMMUDDIN: Orang yang kenal saya akan tahu jawatan bukan keutamaan saya. Saya tidak kejar jawatan. Apa yang penting adalah kepuasan be­kerja untuk negara. Saya bertuah kerana diberi peluang selama ini, di Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan dan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri. Saya tidak fikir mengenai batu lonca­tan atau sebagainya.