Dalam menghadapi kerenah zaman kepimpinan Islam sering berdepan dengan situasi yang amat mencabar dan memerlukan upaya strategik yang tinggi dan maslahah meleraikan masalah dengan bijaksana. Asas-asas dalam Islam seperti isu akidah, ibadah, syariah dan akhlak harus seiring dengan petunjuk al-Quran dan mengikut jalur As Sunnah.
Islam mendukung ciri-ciri alamiah sesuai dengan ri­salah nubuwwah (keNabian) penyebar risalah rahmatan lil alamin. Justeru konsep damai dan sejahtera menjadi asas perkembangan Islam.
Menghubungkan Islam sebagai suatu agama dan Melayu sebagai suatu bangsa umpamanya menghasilkan pendekatan umat Melayu selari dengan ungkapan al-Quran dalam Surah al Hujurat ayat 13 yang menganjurkan jalur litaarrafu atau kekenalan yang sifatnya saling mempelajari. Umat Melayu diperkukuhkan lagi dengan konsep umat yang terbaik yang terungkap dalam Surah al Imran ayat 110 dan mengukuhkan lagi konsep umat sederhana dan berimbang di sebuah negara yang masyarakatnya majmuk seperti Malaysia.
Sekiranya pro­ses kenegaraan tidak diperkukuh dengan asas agama dan etika amat payah untuk menghasilkan persefahaman apa lagi perpaduan dalam kalangan etnik yang pelbagai kerana fokus etnik mengukuhkan kedudukan etniknya dengan budaya, cara berfikir, pe­nguasaan ekonomi, pendidikan dan tidak melihat pen­tingnya titik-titik persamaan disuburkan dan titik perbezaan dikurangkan bakal menghasilkan jurang.
Mereka yang memiliki kuasa beli yang tinggi dan ekuiti (pegangan) yang lebih boleh melakukan eksploitasi dan membina jurang antara yang berada dengan tidak berada dan jangka panjangnya memungkinkan konflik terjadi kerana misi kenegaraan tidak dijadikan landasan.
Di sini pentingnya umara atau kepimpinan menginsafi bahawa ada asas-asas yang perlu diperkasa dan diperkukuh dan mengundang peranan ulama memberi alternatif yang baik supaya jurang dapat dirapatkan dan persefahaman dapat dirintis.
Kehadiran Islam di Malaysia umpamanya tidak harus dilihat sebagai menggugat. Umat Melayu yang merupakan kelompok majoriti di Malaysia memerlukan Islam yang sederhana dan seimbang dan sifatnya menyumbang kepada amanah kenegaraan, berlaku adil terhadap orang lain supaya sifat amanah, prihatin, timbang rasa wujud sesama warga Malaysia.
Islam tidak menentang perubahan dan kemajuan. Cuma ajaran Islam mahukan perubahan dan kemajuan memberi keutamaan kepada pembangunan insan (rijal) berasaskan etika yang baik dan nilai menyantuni yang tinggi.
Prasangka kepada Islam dan umat Melayu atas pertimbangan rasis bukanlah jawapan terbaik bagi negara Malaysia yang harmoni. Lebih-lebih lagi kalau wujud agenda tersembunyi melakukan hegemoni dan penguasaan dalam ekonomi, politik dan budaya adalah sesuatu yang tidak sihat dan mengancam persefahaman antara etnik.
Kepimpinan harus memahami hakikat ini supaya usaha ke arah persefahaman dicari dan ulama menyumbang ke arah situasi yang lebih harmoni. Harus wujud rasa kesalingan dalam kalangan warga Malaysia supaya nilai-nilai yang baik dan etika yang sifatnya menyantuni disuburkan dalam kalangan warga Malaysia.
Pendekatan politik semata-mata bukanlah jalan keluar mengatasi masalah berbangkit. Mengukuhkan keyakinan beragama, wujud kesalingan dalam kalangan warga Malaysia yang sifatnya menyumbang, memperbanyakkan dialog yang merintis jalan persefahaman, saling membantu mengatasi kekurangan dan kelemahan boleh mewujudkan masyarakat Malaysia yang prihatin.
Anggap isu salahguna dadah dalam kalangan ge­nerasi muda sebagai isu bersama untuk diatasi. Lihatlah kerosakan akhlak generasi muda menjadi isu bersama untuk diperbaiki, rapatkan jurang ekonomi menerusi kerjasama yang baik berpegang kepada Perlembagaan yang te­lah disepakati dan Rukun Negara yang menuntut penghayatan dan amalan.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).