Bermula dengan proses peralihan kuasa, tuntutan janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (BN), tiga pilihan raya kecil serta Langkah PD (Port Dickson) untuk mengangkat Pre­siden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.

Proses pemilihan kepimpinan baharu PKR turut mencuri tumpuan apabila dua kem iaitu penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli saling ‘bersilat’ dan menyerang untuk meraih kepercayaan dan undi ahlinya.

Terbaharu, peletakan jawatan dua bekas menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) daripada parti terbesar Melayu iaitu UMNO lebih menghangatkan suasana.

Khabar angin yang mengatakan lebih ramai pemimpinnya akan membuat keputusan serupa memaksa UMNO mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi tergempar.

Jika khabar yang kini panas bertebaran dalam alam maya itu benar, maka UMNO bakal menjadi parti Melayu yang tersungkur dek runtuhnya jati diri para pemimpinnya. Andai itu yang terjadi, maka semakin sukar parti tunjang dalam pemerintahan lebih enam dekad BN untuk bangkit bagi menyaingi PH.

Senario itu jelas menjadikan suhu politik negara sentiasa panas dan sesekali ‘menggelegak’.

Suasana itu bukan sahaja menjadi tumpuan politikus, malah rakyat yang ingin menyaksikan apakah kesudahan drama politik negara selepas ini.

Realitinya, UMNO/BN sudah tewas. Masih ramai pe­mimpin UMNO khususnya yang berjawatan tinggi dalam kerajaan dan parti sukar menerima hakikat mereka sudah ‘kehilangan’ kuasa apabila kerajaan BN tumpas dalam PRU-14, 9 Mei lalu.

Namun, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mencari tempat berteduh lain demi kepentingan kuasa dan material dengan ‘menjual’ maruah serta prinsip perjuangan mereka.

Janganlah terlalu murah sehingga dilihat sebagai pemim­pin yang tidak setia kepada parti sedangkan selama ini parti itulah tempat berpaut dan bergantung.

Jati diri, kesetiaan dan DNA terhadap parti mesti sejati. Usah goyah dan pudar apabila dilambung badai.

Nakhoda bahtera UMNO sudah pun berubah selepas pemilihan parti baru-baru ini dan pemimpin yang terpilih bukan sahaja harus berganding bahu, malah perlu mengorak langkah yang sederap dan jitu dalam membawa perubahan serta hala tuju parti.

Ada rakan-rakan, termasuk pemimpin UMNO sendiri yang berpendapat bahawa perubahan yang diharapkan daripada pucuk kepimpinan baharu agak perlahan sedangkan semua ahli inginkan perubahan lebih drastik.

Menyedari semangat BN boleh dianggapkan nazak, sudah tiba masanya UMNO membentuk dan mengepalai satu lagi gabungan parti-parti yang sealiran dengan perjuangannya.

Pilihlah apa nama sekali pun, tetapi yang paling penting asas dan haja tuju perjuangannya harus jelas dan jitu serta mampu memberi khidmat bakti kepada semua kaum di negara ini.

Salam perjuangan.