Transformasi Nasional 2050 (TN50) hasil cetusan Najib adalah langkah proaktif sebagai persiapan awal untuk Malaysia mendepani pelbagai cabaran baru pada masa akan datang.

Bagaimana pemimpin terdahulu mencari kunci kedaulatan tanah air pada 1957 yang nikmatnya dirasai oleh kita hari ini, sudah pasti TN50 adalah pro­ses mengukuhkan lagi kedaulatan tersebut agar anak cucu kita bakal menerima habuannya dalam tiga dekad lagi.

Uniknya, TN50 ini adalah idea segar datangnya daripada rakyat itu sendiri. Impian dikumpul melalui pertemuan pihak kerajaan dengan hampir dua juta belia dari seluruh tanah air telah berjaya mengumpulkan lebih 60,000 aspirasi masa depan.

Aspirasi anak muda hari ini ialah mahu melihat Malaysia pada 2050 bersifat global, saksama, mampan, bersatu padu dan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab. Mencorak negara seperti diimpikan generasi muda sudah pasti menuntut kerjasama daripada semua pihak.

Penulis melihat, kaedah bottom-up tidak boleh hanya berfokus dalam soal mengumpul aspirasi sehingga terbentuknya kanvas TN50, tetapi kaedah sama juga perlu diterapkan dari sudut pelaksanaannya iaitu mestilah bermula daripada rakyat itu sendiri. Mengambil contoh paling mudah dan kelihatan sering berlaku di negara kita, dalam usaha menjadikan bumi Malaysia terus bersih, bersediakah rakyat untuk tidak membuang sampah di tempat awam?

Mengambil kata-kata seorang penulis terkenal dari Amerika Syarikat iaitu John Maxwell berbunyi - You will never change your life until you change something you do daily. the secret of your success is found in your daily routine. Impian besar iaitu mahu membentuk sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju mestilah bermula daripada usaha-usaha kecil rakyat itu sendiri. Rakyat tidak hanya dituntut memberi cadangan, tetapi rakyat juga perlu melaksanakan cadangan tersebut.

Maka sudah tentulah ma­syarakat perlu ada kesanggupan untuk mengubah mentaliti kuno, bersedia untuk keluar dari zon selesa, kurangkan budaya meminta sebaliknya terus menyumbang khususnya kepada negara.

Sebagai contoh dalam me­nyentuh dari sudut ekonomi negara yang mahu menjadikan Malaysia berpendapatan tinggi pada 2050, ironinya sehingga 2017, hanya 2.2 juta daripada 14.6 juta tenaga kerja dalam negara sanggup membayar cukai pendapatan.

TN50 perlu dijadikan garis panduan untuk rakyat secara keseluruhannya mengubah sikap daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Sikap prejudis melibatkan etnik kaum dan bangsa tidak seharusnya masih wujud dalam negara yang telah lama merdeka. Etnik, kaum dan bangsa dalam negara perlu diikat sebaik mungkin agar bangsa Malaysia pada 2050 mestilah bersatu secara kukuh memandangkan inilah antara elemen penting untuk mencipta sesebuah kejayaan.

Hakikatnya, penyediaan ke arah membentuk masa depan Malaysia yang lebih berdaya saing pada tahun 2050 sekali gus tergolong dalam kalangan 20 negara teratas sedang giat dijalankan oleh pemimpin negara.

Pembangunan dalam konteks fizikal negara merangkumi fasiliti pengangkutan awam sebagai contoh, kemudahan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), kereta api berkelajuan tinggi antara Si­ngapura dan Kuala Lumpur, dan Mass Rapid Transit (MRT) telah dan sedang dibangunkan bukan hanya untuk kemudahan rakyat tetapi juga menarik minat pelabur dari luar negara.

Selain itu, kemudahan perkhidmatan awam disediakan pihak kerajaan lebih fleksibel melalui kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang beroperasi 24 jam serta kewujudan pelbagai aplikasi atas talian bagi membentuk e-Government juga merupakan langkah awal dalam kita menuju era teknologi yang dijangkakan lebih luar biasa pada tahun mendatang.

Hal demikian, penulis sangatlah bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri sewaktu majlis penyerahan kanvas TN50 baru-baru ini yang mana beliau menekankan kepada semua rakyat bahawa tindakan untuk mencapai aspirasi 2050 mesti bermula sekarang. Bagaimana prinsip Tony Fernandes dalam usaha menjulang AirAsia sebagai syarikat penerbangan murah yang berjaya adalah dengan mengamalkan formula ‘90 peratus kejayaan adalah dicapai kerana pelaksanaan’. Aspirasi yang baik perlu hadir dengan pelaksanaan berfokus, pantas dan berkesan.

Tiga dekad menuju ke tahun 2050 bukanlah satu tempoh yang lama. Semua pihak sedang berkhayal tentang wajah negara Malaysia pada tahun sasaran tersebut. Negara harmoni, politik stabil, perpaduan kaum yang kuat, ekonomi yang kukuh, pres­tasi bidang sukan meningkat, alam sekitar yang terjaga, tiada kesesakan jalan raya, tadbir urus yang lebih efisien, kesihatan rakyat lebih terjamin dan pelbagai lagi yang kita harapkan apabila tibanya tarikh 1 Januari 2050.

Pada saat dan ketika itu, generasi muda hari ini sedang melihat anak-anak mereka menikmati segala kejayaan yang diaspirasikan oleh mereka ketika 2018. Inilah saat-saat yang menjadi impian dan harapan oleh kita semua.

Persoalannya, mampukah cita-cita ini menjadi sebuah realiti apabila tiba masanya nanti? Pada pandangan penulis, tiada perkara yang mustahil kerana Neil Alden Armstrong telah buktikan pada dunia dengan menjejakkan kakinya ke bulan pada 1969. Paling penting mentaliti mahu kepada kejayaan perlu hadir bersama de­ngan sikap yang mahu berubah.

PENULIS ialah Penolong Pengarah Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri Negeri Perak.