Sebab itu Cekmek Molek teramat kagum dengan wanita-wanita yang boleh menunggang motosikal berkuasa besar yang banyak dikuasai golongan lelaki. Mana tidaknya, kemampuan tenaga wanita agak terhad untuk mengendalikan sebuah motosikal yang besar lagi berat selain menguji ketahanan, tahap keseimbangan badan dan komitmen untuk beraksi di lapangan.

Walau bagaimanapun, menunggang motosikal berkuasa besar oleh kaum hawa tidak lagi dianggap luar biasa. Malah ia seperti satu fenomena gaya feminin masa kini. Hanya mempunyai minat dan keberanian yang tinggi, segala-galanya boleh diatasi dengan mudah.

Baru-baru ini, Cekmek Molek berkesempatan menemui wanita penunggang motosikal berkuasa besar ini, Nor Hafiza Hasrudin, 39. Melihat kepada sosok tubuhnya yang agak kecil, semacam tidak percaya beliau boleh mengendalikan kenderaan itu.

Bulan jatuh ke riba

Walaupun minat untuk menunggang motosikal jenis superbike sejak di bangku sekolah lagi, namun ia hanya tercapai lima tahun lalu setelah berumah tangga. Impiannya itu seperti bulan jatuh ke riba apabila mendapat sokongan sepenuhnya suami, Ahmad Rithaudden Abdul Razak, 44, yang turut mempunyai hobi sama.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, sebagai langkah pertama dalam dunia permotoran ini, beliau berjinak-jinak dahulu dengan kuasa ‘cc’ yang rendah sebagai latihan untuk membiasakan diri. Motosikal pertama yang dimilikinya adalah Ducati Monster. Selepas beberapa tahun kemudian, beliau beralih kepada cc yang lebih tinggi dan kini telah ‘lulus’ untuk menguasai motosikal berkuasa lebih tinggi, BMW HP4 yang dihadiahkan suaminya sempena hari lahir.

“Sememangnya bukan mudah untuk mengendalikan motosikal berkuasa tinggi ini. Tetapi ia bukan penghalang untuk wanita menceburi hobi sebegini asalkan minat itu dilengkapkan dengan ilmu dan latihan yang mencukupi selain tidak menunggang dengan cara berbahaya tanpa sekali-kali melanggar peraturan jalan raya.

“Terus-terang saya cakap apabila tangan sudah berada di bar handal, segala ketakutan akan hilang malah perasaan teruja menguasai diri. Bagi saya ia juga satu terapi untuk menghilangkan stress,” katanya yang kesal dengan tanggapan masyarakat yang suka melabelkan perempuan sebagai ‘tomboy’ hanya kerana suka menunggang motosikal besar.

Kepuasan

Sebagai Naib Presiden Persatuan Raiders Malaysia yang mewakili 58 wanita daripada keseluruhan 350 ahli persatuan itu, beliau percaya keperibadian wanita tidak hanya diukur melalui apa yang mereka minati semata-mata, tetapi ia perlu dilihat apa yang mereka boleh sumbangkan untuk masyarakat dan negara.

Ditunjangi suaminya sendiri sebagai presiden persatuan berkenaan, tim mereka banyak melakukan kerja-kerja amal selain menjalankan program pendidikan masyarakat bersama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya percaya jika kita mahu lakukan sesuatu kerana minat, pasti ia akan tercapai asalkan ada usaha bersungguh-sungguh. Kemanisan mencapai impian itu tidak tergambar dengan kata-kata. Hanya kita sahaja yang dapat merasai kepuasannya,” ujar suri rumah itu yang turut berkongsi pengalaman pernah terjatuh ketika menunggang motosikal, namun bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius walaupun ketika itu berbadan dua.

Buat wanita di luar sana yang masih memendam rasa dalam bidang ini, kata Nor Hafiza, usah risau mekap anda cair, kulit jadi hitam bila beraksi di jalan raya. Anda tidak perlu jadi tomboy hanya kerana mahu menunggang motosikal besar. Tunjukkan kebolehan anda bahawa kita mampu lakukan setanding lelaki. Siapa kata wanita hanya mampu memegang sudip dan kuali di dapur sahaja?