Negara Islam seperti Syria, Pakistan, Afghanistan, Iraq, terutamanya Palestin penuh dengan krisis. Negara-negara itu bergolak bukan hanya dalam konflik politik, ekonomi dan sosial, malah menjangkau ke konflik keganasan, pembunuhan, keruntuhan rumah-rumah, tempat ibadat dan bangunan bersejarah. Malah paling sedih melibatkan korban nyawa yang banyak menyebabkan kebanjiran manusia pelarian perang yang menyedihkan.

Kita sendiri mengalami perubahan politik yang besar sebelum menjelangnya bulan ibadat, Ramadan ini. Demokrasi yang merupakan satu sistem politik ciptaan Barat, rupanya-rupanya menjadi satu institusi yang baik di tangan jutaan para pengundi Malaysia, segala bangsa dan agama, yang telah membuat ketetapan mengubah senario politik tanah air kita. Dan ini sekali gus mengubah benak pemikiran dan hakikat ketentuan takdir yang mungkin tidak disedari oleh masyarakat umum. Hal inilah yang mengubah landskap negara kita selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Janji Allah bahawa segala kekuasaan adalah milik-Nya, dan Dialah yang memberikan kekuasaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan melucutkannya daripada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya juga, merupakan satu realiti yang berlaku terbaharu ini. Kajilah ayat 26 surah Al-Imran secara yang lebih terperinci.

Sungguh pun “kuasa” yang disebutkan Allah ini adalah umum, merangkumi semua bidang kehidupan namun bagi dunia moden pada hari ini, kuasa politik itulah sebenarnya yang sering menguasai keseluruhan kuasa pemerintahan, iaitu melangkaui kuasa ekonomi, kebajikan, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Maka tiba-tiba kuasa politik yang dipegang oleh satu kelompok masyarakat dalam sebuah parti politik negara kita, runtuh dan berkecai dari sudut tali hayat dan kekuasaan pemerintahannya setelah bertapak dengan teguh­nya selama enam dekad di negara kita ini.

Bagi kita yang percayakan ajaran Allah dan sunnah Rasul-Nya, maka kuasa itu sama sajalah ketika berada di dalam tangan sesiapa pun dan parti politik yang berbeza namanya. Kuasa itu akan diberikan dan dirampas oleh Allah SWT ketika tiba masanya samalah juga dengan hayat seseorang itu akan bermula dan berakhir dengan kuasa-Nya.

Amatlah baik sekali kita berusaha memahami sunnah Allah SWT ini terhadap manusia dan di sinilah timbulnya sifat muhasabah diri dari beberapa sudut kehidupan dan aktiviti manusia, tanggungjawab amalannya, kejujuran hati dan nurani orang yang berkuasa, amalannya yang konsisten dan sejajar dengan akhlak dan nilai moral sejagat Islam serta universal. Maka semuanya ini memainkan peranan yang besar dalam jatuh bangunnya seseorang sebagai individu atau kelompok manusia yang diberikan tanggung jawab oleh Allah SWT dan kepimpinan yang seharusnya bersifat amanah, kebijaksanaan, menyeru kepada kebaikan dan menyingkir serta menghalang segala kemungkaran.

Saya menyelami perasaan semua pihak yang terlibat. Malah orang tua-tua berpesan “menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna”, maka dalam konteks inilah Allah mengingatkan hamba-hamba-Nya dalam perutusan kepada Rasul-Nya Nabi kita Muhammad SAW dalam Surah Ali Imran, ayat 159:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepada mu wahai Muhammad) maka engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Dan kalau­lah engkau bersikap kasar lagi keras hati kepada mereka, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan mohonkanlah keampunan bagi mereka,dan juga bermusyawarahlah dengan mereka dalam segala urusan, kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya.”

Ayat ini memberikan gambaran selengkapnya kepada semua pihak termasuk rakyat negara kita dan para penyokong ideologi politik yang tertentu tentang sikap dan tindakan ketika berkrisis dan penyelesaian konflik yang sewajarnya. Ini kerana sikap dan bisikan hati serta kekuatan jiwa dan roh itulah yang bakal mencorakkan peri laku diri secara individu dan pengikutnya dalam perjuangan politik serta apa-apa saja agenda perjuangannya.

Sikap bermusyawarah dan berakhlak mulia, jujur dan amanah serta kebersihan hati dalam perjuangan merupakan elemen penting dalam memikul amanah terutamanya kepada orang yang diberikan kuasa oleh Allah SWT sebagai pemimpin di mana saja peringkat dan pimpinan itu berada.

Saya menulis secara umum, namun bagi para intelektual dan pembaca yang memahami falsafah dan unsur-unsur kepimpinan, mereka tentulah faham langkah dan tindakan selanjutnya yang seharusnya diambil berdasarkan rukun-rukun Allah ini. Ini kerana manusia se­ring mendapat bisikan halus yang menyebabkan mereka lebih suka bertindak selaku beragama sebagai orang yang warak dan lemah lembut, tetapi sebenarnya mereka tidak menjelma diri dalam gambaran dan kelakuan begitu.

Semoga semua kita akan menginsafkan diri dalam konteks perjuangan ini sama ada yang kalah dan menang, maka ingatlah bahawa semuanya adalah ketentuan Allah kerana ada hikmah dan pengajarannya yang baik.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).