Pada usia 93 tahun DR. Mahathir masih berjaya membuktikan wibawanya bukan sahaja untuk memimpin PH bagi mencatat kemenangan tetapi juga membuat keputusan-keputusan penting yang membabitkan peralihan kuasa dengan hanya disokong oleh Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh beliau.

Perlu diingat bahawa sejak PH menang PRU14 pada 9 Mei lalu, kerajaan baharu yang diterajui oleh Dr. Mahathir itu masih belum memiliki barisan Kabinet. Maknanya Dr. Mahathir belum memiliki pasukan untuk mentadbir negara.

Malah jawatan menteri yang sudah dilantik setakat ini hanya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan; Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri; Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Mohamad Sabu Menteri Kewangan.

Jangan juga kita lupa bahawa setakat ini hanya Dr. Mahathir seorang sahaja yang telah mengangkat sumpah. Yang lain walaupun sudah dinamakan jawatan mereka tetapi belum mengangkat sumpah sebagai menteri.

Namun kedudukan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan pula tergantung ekoran beliau masih berhadapan dengan satu kes mahkamah yang membabitkan pembelian sebuah banglo di Pulau Pinang.

Ekoran itu segala tindakan dan keputusan penting di kementerian itu perlu dirujuk terus kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk diputuskan.

Ini kerana sehingga setakat ini kerajaan PH pimpinan Dr. Mahathir belum mempunyai barisan kabinet untuk dirujuk atau untuk membuat keputusan secara konsensus.

Sebab itu jika dilihat dan diteliti, sejak dari malam pengiraan undi dan PH mencatat kemenangan Dr. Mahathir boleh dikatakan mengendalikan semua situasi itu secara solo.

Sebaik sahaja menangkat sumaph, Dr. Mahathir dengan pantas melaksanakan kerja-kerja `pembersihan’ tanpa ada sokongan daripada pasukan kabinet.

Boleh dikatakan secara sendirian beliau `membetulkan’ apa yang dianggapnya `kepincangan’ dalam negara, mengadakan sidang akhbar hampir setiap hari.

Tidak dapat dinafikan bahawa Dr Mahathir mempunyai banyak tugas berat untuk dilaksanakan dan setakat ini beliau telah berjaya melaksanakannya secara sendiri walaupun belum memiliki barisan kabinet.

Jadi segala-galanya kini terletak di bahu Dr. Mahathir. Segala keputusan penting terpaksa dibuat oleh Dr Mahathir sama ada secara sendirian atau melalui nasihat dan perbicangan dengan rakan-rakan dalam PH serta anggota majlis penasihat yang telah dilantik.

Antara keputusan penting yang dilakukan oleh Dr. Mahathir setakat ini ialah pemecatan Peguam Negara, menggantikan pesuruhjaya SPRM, memendekkan perkhidmatan Ketua Satiausaha Perbendaharaan dan memindahkannya ke Jabatan Perkhidmatan Awam serta memutuskan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada khadar sifar.

Cuma pada masa ini beliau mungkin dibantu oleh Majlis Penasihat Kerajaan terutama dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam keadaan biasa, keputusan-keputusan utama yang membabitkan kepentingan awam dan negara ini selalunya dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet. Tetapi disebabkan kabinet kerajaan baharu ini masih belum dibentuk, maka Dr. Mahathir

kelihatan `terpaksa’ melakukannya secara `solo’.

Tindakan ini memang menampakkan kredibiliti dan keupayaan beliau untuk menguruskan sistem pentadbiran negara, tetapi pada masa yang sama ia turut mengundang tanggapan negatif kononnya Dr. Mahathir mahu memastikan agendanya tercapai terlebuh dahulu sebelum membentuk pasukan kepimpinan yang lebih menyeluruh merangkumi rakan-rakan komponen dalam PH.

Apapun rakan-rakan komponen Dr. Mahathir dalam PH tentunya lebih memahami dan mengetahui sampai bila Dr. Mahathir akan beraksi secara solo ini tanpa bantuan barisan anggota kabinet. - UTUSAN ONLINE