Ia mengesahkan lagi nama beliau selaku Perdana Menteri tertua di dunia atau paling lama di tampuk pemerintahan, sekali gus memintas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe yang meletak jawatan pada usia 93 tahun.

DR. MAHATHIR MOHAMAD
DR. MAHATHIR MOHAMAD

Jika tidak disaingi Mugabe pun yang berjawatan ketua negara dan kerajaan serentak, Dr. Mahathir masih lagi mengatasi William Gladstone yang menjadi Perdana Menteri Britain buat kali keempat pada 1892 dalam usia 82 tahun, sebelum melepaskan jawatan tersebut dua tahun kemudian.

Selamat hari jadi Tun yang membuktikan umur hanyalah angka untuk menjadi seorang pemimpin.

Tumpang tidak mahir ‘membaca politik’ sehingga Barisan Nasional (BN) dikejutkan tempoh hari 9 Mei tahun lepas. Namun sesiapa pun mengakui, kalau tidak dek penangan dan aura Dr. Mahathir, pasti gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) masih ‘gigit jari’ untuk menjadi kerajaan.

Sesuatu yang kita sebagai rakyat akur, jika diukur sumbangan beliau, ia adalah sebahagian besar pencapaian Malaysia hari ini.

Tumpang tidak mahu lebih mendalam hal ini kerana semua fakta mengenai itu boleh kita Google tetapi walau apa pun, fakta yang terbentang nyata Putrajaya contohnya adalah suatu jelmaan impian seorang pemimpin yang mempunyai visi.

Dr. Mahathir benar-benar melayani pandangan jauhnya yang tersendiri tetapi indah dan bersifat original. Putrajaya sudah terpahat dalam sejarah negara sebagai satu-satunya kompleks jelmaan kuasa BN yang ditunjangi UMNO.

Sebagai bandar Melayu yang berintisarikan Islam sebagai motif seni binanya, Putrajaya suatu mercu pencapaian Dr. Mahathir yang gemilang.

Walaupun sehingga hari ini Dr. Mahathir masih menganggap beliau gagal dalam membina semangat baharu yang jitu bagi orang Melayu dalam konteks untuk bekerja keras dan tanpa hak keistimewaan, Tumpang beranggapan beliau sebenarnya sudah berjaya.

Jauh lebih berjaya daripada mana-mana ukuran yang dibuat oleh orang lain. Tempatnya dalam sejarah sudah tidak berganjak lagi.

Dan meskipun telah menjangkau usia emas, Dr. Mahathir atau lebih tepat Mahathirisme - jika istilah tersebut boleh digunakan untuk menerangkan segala yang berkaitan beliau - seolah-olah telah meresap ke dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Selamat hari jadi Tun. 


MELAYU JANGAN LUPA LAGI

Agenda Melayu jangan dilupai. Jika lupa perjuangan bangsa, melalui parti apa pun akan hilang relevannya.

Kepentingan kepada nilai, budaya dan etika masyarakat sering ditekankan Dr. Mahathir dalam hampir sebahagian besar karya dan ucapan beliau.

Ketika menyampaikan perutusan Sempena Tahun Baru 1996, Dr. Mahathir menyatakan:

“Maju mundurnya sesuatu bangsa tidak bergantung kepada keturunan kaum atau warna kulit. Sebab itu ada bangsa Eropah yang amat mundur dan ada bangsa Asia yang termaju sekali. Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada budaya bangsa itu. Dan budaya bukan sesuatu yang tetap dan tidak dapat diubah. Budaya berubah sepanjang masa dan boleh dicorak secara sengaja.”

Dr. Mahathir sudah pun bermadah. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Mana-mana bangsa yang boleh menunggang zaman dan memacu kuda perubahan ini akan selamat.

Yang tidak, akan ditinggalkan zaman. Melayu yang kini mempunyai kedudukan dan kuasa mesti berbuat sesuatu ke arah menjamin keutuhan generasi orang Melayu pada masa depan.

Jika kita yang mewujud dan mengekalkan kesejahteraan ini tidak pula mahu mengadakan pagar penjamin baginya, yang akan dipersalahkan nanti ialah kita sendiri.

Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan disalahkan ibu mengandung

Salahkan badan yang buruk pinta.

Banyak udang banyak garam

Banyak orang banyak ragam

Banyak tukang terbuang kayu

Banyak politik negara hancur.

d’sury, 2004.

SUKAR DIRAMAL

Pemikiran Dr. Mahathir sukar diramal. Cara pentadbirannya terus menjadi perdebatan ramai.

Diasuh oleh ibu bapanya penuh berdisiplin, tegas, dan galakan kepada tuntutan pelajaran. Dr. Mahathir ada menceritakan:

“Saya dibesarkan di dalam suasana rumah yang penuh dengan disiplin. Bapa saya menjalankan disiplin seperti mana di kelas. Bunyi batuk beliau ketika menghampiri rumah sudah cukup menyebabkan saya dan abang-abang saya berkejaran mendapatkan buku (Morais 1982:1)”.

Ilmu perubatan banyak membantu Dr. Mahathir mengenal pasti cara terbaik mentadbir sebuah negara.

Dengan ilmu itulah, dijadikannya strategi untuk berhadapan dengan ancaman politiknya.

Kepada Dr. Mahathir, peranan doktor sama dengan pemimpin politik kerana setiap masalah perlu diperhatikan. Ini termasuklah mengenalpasti dimensi sejarah, menganalisis tanda-tanda dan punca-punca permasalahan itu.

Dan akhir sekali mencari jalan penyelesaian yang terus membawa kepada proses tindakan. Cara-cara penyelesaian begini banyak digunakan oleh Dr. Mahathir sepanjang beliau menerajui kepimpinan negara.

Pemikiran Dr. Mahathir boleh diumpamakan dengan penyakit barah di kaki. Sebelum barah di kaki itu merebak ke anggota badan lainnya, maka haruslah dipotong kaki tersebut.

Demikian jugalah dalam politik, beliau akan cuba mencari jalan penyelesaian ke atas cabaran kepimpinannya sebelum ia berlanjutan supaya ia tidak menjejaskan urusan pentadbiran atau menggugat kestabilan negara.