Semua pihak mestilah prihatin dan tidak membiarkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dicemari. Penggunaannya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi sangat penting dimartabatkan oleh semua golongan rakyat dan juga ahli masyarakat. Perancangan bahasa Melayu ini sudah dilakukan sejak selepas merdeka dan kini sudah menjangkau usia 62 tahun.

Jika ditinjau sejak dahulu lagi, perancangan bahasa Melayu merupakan usaha untuk memupuk, membaiki dan mengembangkan bahasa ke arah yang lebih maju. Banyak pendekatan telah dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa terhadap proses perancangan bahasa.

Berkaitan perancangan taraf, taraf bahasa Melayu dalam Perlembagaan berdasar Perkara 152 menetapkan “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntuk undang-undang oleh Parlimen”.

Perkara penting Perkara 152 ialah: mewujudkan satu bahasa rasmi negara, iaitu bahasa Melayu. Memelihara bahasa ibunda kaum lain, iaitu boleh digunakan dalam pembelajaran dan hal tidak formal. Menukarkan bahasa rasmi bahasa Inggeris ke bahasa Melayu secara beransur-ansur.

Sebab-sebab bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan ialah disebabkan bahasa Melayu adalah bahasa kaum majoriti negara ini. Bahasa alat komunikasi antara kaum. Bahasa kaum peribumi yang meluas penggunaannya.

Tujuan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan ialah untuk mencapai integrasi nasional dan untuk mewujudkan identiti nasional dengan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mudah dipelajari, difahami dan dituturkan.

Justeru, melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menguatkuasakan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Oleh itu, pihak berkuasa awam/ kerajaan persekutuan/ negeri mesti menggunakan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara dan diperaku melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan (Laporan Razak; 1956) dan ditegaskan semula dalam Laporan Rahman Talib.

Melalui Akta Pendidikan (1966): Mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua institusi, pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan. Bagi sekolah yang bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu, bahasa Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib.

Untuk menuju ke arah negara maju menjelang 2025 tak perlulah kita undur ke belakang dengan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Jika kita mengundur ke belakang dan tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tentunya kita berada di tahap yang tidak berdaya maju dan berdaya saing.

Ingatlah kata-kata bahawa, “Hilang bahasa lenyaplah bangsa”. Kata-kata lain seperti “Bahasa Jiwa Bangsa”, adalah ingatan yang perlu kita kekalkan supaya bahasa Melayu tidak lenyap dan sentiasa berada dalam jiwa setiap bangsa.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah aktivis sastera.