Bagi jemaah, tiada yang menjadi hasrat mereka selain memperoleh haji mabrur. Walaupun diuji dengan ribut pada malam menjelang hari Wukuf pada 9 Zulhijjah yang merosakkan sedikit khemah, namun jemaah bersikap tenang membolehkan Tabung Haji dan Muassasah Asia Tenggara melakukan langkah pembaikan dalam tempoh empat jam selepas itu.

Sebagai wakil media, melihat sendiri kerja belakang tabir petugas-petugas Tabung Haji, apa yang dapat dikatakan adalah, banyak sebenarnya yang perlu disyukuri oleh jemaah Malaysia apabila melibatkan pengurusan haji.

Daripada aspek bimbingan haji dan ibadat, jadual pergerakan, pengurusan emosi, sakit pening serta soal makanan yang memenuhi citarasa Malaysia, semuanya diambil kira oleh Tabung Haji dalam menyantuni dhuyufurrahman.

Malah, seboleh-bolehnya hotel yang paling dekat dengan Masjidilharam hendak disediakan kepada jemaah agar tidak membebankan mereka yang kebanyakan berusia untuk berjalan menunaikan solat lima waktu.

Itu semua dilakukan agar jemaah dapat melaksanakan haji dengan selesa dan paling penting sempurna dari segi rukun dan wajib haji, sesuai dengan teras penubuhan serta tagline Tabung Haji iaitu Bersama Menyantuni Dhuyufurrahman.

Malah, tidak salah jika dikatakan jemaah pada tahun ini bertuah kerana menikmati tiga penambahbaikan yang hanya diberi kepada Malaysia, tidak negara lain.

Paling utama adalah program pra pelepasan yang memberi impak cukup besar kepada jemaah apabila mereka tidak perlu lagi menunggu enam hingga tujuh jam di terminal untuk proses melibatkan imigresen dan kastam Arab Saudi.

Sebaliknya, dalam tempoh sejam semua mereka sudah sampai ke hotel penginapan, malah bagasi besar dihantar terus ke bilik yang menunjukkan usaha berterusan Tabung Haji dalam memudahkan pergerakan jemaah.
 Berwukuf di Arafah serta bermabit di Mina lebih selesa tahun ini dengan penyediaan pendingin hawa serta lantai jubin di khemah Malaysia.

Pendek kata, semua kemudahan berkenaan tidak akan diperoleh tanpa hubungan baik yang dibina oleh Malaysia amnya serta Tabung Haji khususnya dengan kerajaan Arab Saudi serta Muassasah Asia Tenggara dari dahulu lagi.

Pujian juga perlu diberi kepada jemaah kerana patuh kepada pergerakan yang diatur Tabung Haji sehingga dikenali sebagai jemaah paling beradab, tertib, cukup ilmu dan tidak menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

Jika berjalan di sekitar kompleks jamrah pada awal pagi, kita tidak akan dapat lihat jemaah Malaysia tidur atau berlonggok di situ seperti jemaah negara lain menunggu waktu solat subuh untuk melontar kerana jadual melontar telah disediakan Tabung Haji bagi mengelak kesesakan dan kejadian tidak diingini.

Malah, pihak berkuasa Arab Saudi seperti polis dan petugas di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, nada suara mereka juga berlainan iaitu lebih lunak apabila memberi arahan kepada jemaah Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sendiri memberitahu media, sikap tertib jemaah Malaysia dipuji Kementerian Haji Arab Saudi dalam pertemuan dengan Tabung Haji setiap tahun.

Malah, mendengar sendiri pujian Ketua Muassasah Asia Tenggara, Mohamad Amin Hassan Andaqiri tentang hal itu membuatkan kita faham mengapa penambahbaikan terus diberi kepada jemaah Malaysia tahun demi tahun.

Mohamad Amin dalam majlis taaruf dengan pengurusan Tabung Haji memberitahu bahawa penyediaan pendingin hawa di khemah Malaysia di Arafah dilakukan oleh pihak muassassah kerana bagi kerajaan Arab Saudi, jemaah haji Malaysia bukan jemaah haji biasa.

"Jemaah haji Malaysia tertib dan tartil dan itu adalah nikmat kerja kepada kami," katanya.

Justeru, sebagai salah satu cara membalas semula kemudahan yang diberikan itu, Tabung Haji mengambil langkah proaktif melancarkan Kempen Kebersihan Perdana Masyair tahun ini bagi memastikan kawasan perkhemahan di Arafah, Muzdalifah dan Mina bersih apabila ditinggalkan kelak.

Tabung Haji berharap kempen berkenaan akan meletakkan tanda aras baharu untuk jemaah iaitu dikenali sebagai yang paling bersih bermula musim haji ini.

Kekaguman

Sebagai agensi yang ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah, Tabung Haji sendiri dilihat sentiasa dalam proses belajar untuk terus memantapkan lagi aspek berkenaan dengan mengambil peluang melawat khemah negara lain pada musim haji.

Safari Wukuf yang diwujudkan pada 2016 contohnya dipelajari daripada pengurusan haji Indonesia.Tahun ini juga setiap jemaah dibekalkan dengan lanyard (tali penyandang lencana pengenalan diri) berbeza warna mengikut maktab penginapan masing-masing untuk umrah pertama mereka sebaik sahaja memasuki Mekah.

Turut diperkenalkan adalah penggunaan e-Lencana Pengenalan Haji (eLPH) kepada jemaah untuk memudahkan proses pengiraan dan pengesanan pergerakan mereka sepanjang di tanah suci.

Daripada perbualan penulis dengan jemaah-jemaah, tiada yang tidak memuji, ramai yang suka perkara yang sudah diatur oleh Tabung Haji.

Hanya ada sedikit perkara yang menjadi ketidakpuasan hati seperti soal kesukaran menjemur baju di maktab dibangkitkan, itu pun oleh segelintir sahaja, yang lain reda kerana anggap itu satu ujian menguji kesabaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang buat pertama kali menyaksikan sendiri pelaksanaan proses perjalanan haji ternyata tidak dapat menyembunyikan kekaguman beliau.

Selepas melalui sendiri proses pelepasan yang semakin singkat serta menyaksikan perkhidmatan perubatan yang lengkap disediakan untuk jemaah sakit, menteri agama yang baharu itu tanpa ragu-ragu memuji kejayaan Tabung Haji dalam mengendalikan operasi dan pengurusan haji.

Malah, beliau turut mengakui pentingnya hubungan baik antara kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia dan Tabung Haji dikekalkan agar hasilnya dapat kepada jemaah.

Bukan sekali, malah dua kali beliau berseloroh di hadapan jemaah bahawa mungkin disebabkan beliau dilantik sebagai menteri agama yang baharu tahun ini, maka jemaah dapat semua kemudahan tersebut.

Namun, Mujahid mengakui beliau hanya 'menumpang tuah' kerana menjadi menteri agama yang baharu ketika semua operasi dan pengurusan haji sudah tersedia dan dilaksanakan dengan lancar oleh Tabung Haji.

Justeru, dalam sidang akhbar pertamanya di Mekah, beliau dengan yakin mengumumkan bahawa Tabung Haji yang terkenal kerana pengurusan haji terbaik di dunia selama ini, adalah antara agensi terbaik bagi melambangkan Model Malaysia iaitu teras baharu kerajaan baharu untuk diperkenalkan kepada orang ramai.

Mudah difahami kenapa Tabung Haji dianggap Model Malaysia oleh kerajaan baharu kerana agensi itu ibarat well oiled machine yang terus melaksanakan tugasnya.

Mereka tidak kira pihak mana menjadi kerajaan sekarang atau akan datang selagi teras penubuhannya tidak diubah dan terus diikuti iaitu bagi memberi perkhidmatan kepada jemaah haji. – MINGGUAN