Zulkifli Omar
Zulkifli Omar

Persepsi ini mungkin wujud daripada gambaran diberikan dalam filem antarabangsa yang menunjukkan betapa dahsyatnya keadaan sesebuah penjara ditambah pula dengan kekejaman pegawai dan pengawal penjara-penjara dalam filem tersebut.

Bagaimanapun, ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, SITI NA’IMAH MOHAMED dan jurugambar, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN bersama Komisioner Jeneral
Penjara Malaysia, DATUK SERI ZULKIFLI OMAR, baru-baru ini yang mampu menangkis persepsi buruk terhadap institusi tersebut sekali gus memberikan
gambaran sebenar fungsi Jabatan Penjara Malaysia.


UTUSAN: Jabatan Penjara adalah antara jabatan tertua di negara ini dan sudah tentu banyak transformasi dilakukan.</strong> <strong>Boleh Datuk Seri kongsikan?

ZULKIFLI: Peredaran masa dan keperluan semasa banyak mengubah fungsi dan landskap sistem kepenjaraan di negara. Dahulu penjara sebati dengan tanggapan masyarakat sebagai tempat untuk menahan dan menghukum banduan semata-mata. Pada abad ke-18 hingga 1940-an, masyarakat ditakut-takutkan dengan hukuman dan deraan. Namun, bermula dari tahun 1950-an, pelbagai perubahan seperti konsep pemulihan dan layanan moden mula diper­kenalkan. Malah satu program yang dinamakan Program Khidmat Bakti turut dibawa masuk bagi memberikan banduan asas pemulihan menerusi latihan vokasional dan juga pemulihan di luar tembok.

Tidak terhenti di situ apabila Akta Penjara 1995 dikuatkuasakan bagi menggantikan Akta Penjara 1952, manakala pada tahun 2000 pula Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dikuatkuasakan menggantikan Peraturan-Peraturan Penjara 1953 bagi membawa perubahan dalam sistem pemulihan peri laku banduan. Sehingga kini, Jabatan Penjara memper­kenalkan Program Pembangunan Insan (PPI) iaitu meliputi inisiatif pemulihan dalam dan luar penjara diperluaskan dengan konsep penjara dan perkhidmatan koreksional. Peranan anggota penjara semakin meluas dengan adanya kepelbagaian jenayah yang semakin kompleks, oleh itu undang-undang seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) Pindaan dan Pemerluasan 2013, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA diwujudkan bagi memastikan penghuni yang terlibat dengan jenayah keganasan dan rentas sempadan misalnya diberikan pemulihan berbeza untuk mengubah sikap dan fahaman ekstrem mereka agar dapat dibendung penularannya ke negara kita.

Apakah bentuk program pemulihan yang disediakan Jabatan Penjara dalam membimbing banduan kembali ke landasan kehidupan lebih baik?

Kita mempunyai dua program utama yang disediakan iaitu Pemulihan Dalam Penjara dan juga Pemulihan Luar Penjara. Menerusi Program Pemulihan Dalam Penjara, asasnya terdiri daripada pembentukan disiplin atau sahsiah menerusi Program Pembangunan Insan (PPI), penambahbaikan modul pemulihan dan juga akademik. Kita mempunyai sebanyak lapan Sekolah Integriti dan lima Sekolah Henry Gurney.

Pada tahun lepas, sebanyak 167 penghuni menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala sejak 2008, sebanyak 48 penghuni berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi meliputi 23 Diploma Pengurusan, 21 Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan empat Sarjana Pentadbiran Perniagaan. Bagi Program Pemulihan Luar Penjara pula, kita mempunyai sistem Parol iaitu penghuni dibebaskan dengan bersyarat sebelum tamat tempoh hukuman. Orang Diparol (ODP) akan ditempatkan bersama keluarga, asrama majikan, atau Rumah Perantaraan (RP) dengan pemantauan Pegawai Parol. ODP perlu menjalani program ditetapkan. Mereka akan menjalani Program Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) iaitu program pemulihan dalam komuniti di bawah inisiatif Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apakah fokus utama Jabatan Penjara untuk tahun 2017?

Tahun ini, kita tetapkan sebanyak tujuh fokus utama iaitu, kolaborasi pintar bersama pihak swasta bagi ODP, program deradikalisasi untuk banduan radikal, menaiktaraf dan penyusunan bengkel-bengkel latihan di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka, kelengkapan dan keperluan asas untuk menjamin ­kesejahteraan banduan, keselamatan fizikal di Kompleks Penjara Kota Kinabalu, Sabah, pengurusan kawalan keselamatan balai pengawal (high risk prison) dan terakhir memperkasakan Program Pemulihan Dadah iaitu kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk membangunkan modul pemulihan dadah bersepadu khususnya kepada banduan di penjara dan pelatih di pusat serenti.

Masih ada segelintir masyarakat termasuk ahli keluarga sendiri yang enggan menerima mereka yang pernah bergelar banduan. Pada pandangan Datuk Seri, sejauh mana tahap ­kesedaran masyarakat kini dari segi penerimaan mereka dan apakah nasihat yang boleh diberikan

Pandangan masyarakat kini dilihat lebih terbuka untuk ­menerima bekas banduan. Bekas penghuni perlu diberi peluang kedua, masyarakat hendaklah menerima mereka tanpa ada stigma yang boleh melunturkan keyakinan mereka yang mahu berubah menjadi insan yang lebih baik. Saya menaruh harapan yang tinggi kepada masyarakat agar dapat mengikis sebarang sikap buruk sangka yang boleh menghalang kita daripada me­nerima bekas penghuni dan memberi kerjasama dalam meneruskan pemulihan mereka. Tanpa kerjasama masyarakat, proses pemulihan dilaksanakan Jabatan Penjara agak sukar tercapai kerana mereka ini akan dikembalikan kepada masyarakat bagaimanapun, kami akans berusaha membangun dan membentuk mereka agar dapat membuktikan diri mereka telah insaf, pulih, terlatih dan layak bersama keluarga serta masyarakat setelah dibebaskan.

Datuk Seri, bagaimana sekiranya ada pihak di luar sana ingin tampil untuk membantu banduan dan bekas banduan?

Sekiranya ada agensi atau syarikat swasta ingin membantu bekas banduan atau banduan parol khususnya dalam memberi mereka peluang pekerjaan amatlah kami alu-alukan. Jabatan Penjara sentiasa terbuka terhadap kerjasama yang boleh memberi kebaikan kepada penghuni dan bekas penghuni kerana akhirnya mereka akan kembali kepada masyarakat dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengambil peduli agar mereka tidak kembali melakukan jenayah.

Difahamkan bahawa tahun ini Jabatan Penjara Malaysia akan menyambut Hari Penjara Ke-227 pada bulan ini. Mungkin Datuk Seri mahu kongsikan tentang program ini.

Sambutan Hari Penjara Ke-227 dan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 akan diadakan esok di Penjara Simpang Renggam, Johor. Majlis akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Tema pada tahun ini adalah ‘Peneraju Perkhidmatan Korektif’ yang merujuk tentang pentingnya fungsi Jabatan Penjara sebagai institusi pemulihan insan yang efektif dan berkembang selaras dengan perubahan semasa. Objektif sambutan kali ini adalah sebagai tanda peringatan dan penghargaan kepada warga Jabatan Penjara serta individu yang telah menyumbang kepada program pemulihan Jabatan Penjara. Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri juga akan melancarkan Yayasan Koreksional dan Kad Kredit 1KDN.