Dakwa pengirim, menurut Laporan Terperinci Penilaian Alam Sekitar (DEIA) yang boleh diperoleh di http://bit.ly /ekve, projek itu bakal memberi kesan buruk kepada 214.7 hektar hutan simpan di Selangor yang terdiri daripada habitat spesies terancam serta kawasan tadahan air.

Malah dakwa pengirim juga, kajian yang dilakukan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd. (UKM Pakarunding) itu, tiga hutan simpan di Selangor termasuk Hulu Gombak, Ampang dan Hulu Langat akan turut terkena kesan alam sekitar akibat projek EKVE itu.

EKVE yang merupakan jajaran bagi Jalan Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) juga dakwa pengirim, bakal mengurangkan habitat haiwan terancam dan ia membuka peluang kepada pemburu haram untuk mendapatkan habuan mereka.

Lebih memburukkan keadaan, projek itu juga didakwa bakal melalui dan memusnahkan kawasan warisan dunia yang dikenalpasti sebagai Banjaran Kuarza Klang Gate. Ia merupakan banjaran kuarza yang terpanjang di dunia.

Jika ini merupakan Laporan Terperinci Penilaian Alam Sekitar, saya merasakan, ia sepatutnya diambil kira oleh pengendali projek.

Bukan hendak menidakkan pembangunan dan mahu menggagalkan usaha kerajaan membangunkan negara, namun dengan pelbagai kemampuan yang ada pada zaman moden, saya percaya, pengendali projek mampu lakukan sesuatu.

Malah, DEIA itu juga turut mencadangkan beberapa perkara yang pada saya boleh dan mampu dilakukan oleh pengendali projek.

Tolong dan tolong jangan ambil mudah dengan habitat binatang liar dan hutan simpan yang ada di negara ini.

Saya tahu, mungkin pengendali projek tidak mahu kos mereka melambung naik disebabkan beberapa cadangan daripada DEIA yang perlu dilakukan, namun jika kita masih mahu meneruskan pembangunan, itulah kos yang perlu kita lalui.

Kerajaan pula perlu prihatin terhadap perkara ini dan tidak seharusnya berkompromi dengan kelestarian alam sekitar.

Ketika kita sibuk hendak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hijau, tapi kita abaikan aspek kelestarian alam sekitar yang sedia ada.

Jangan hanya kita memikirkan jalan mudah dan keuntungan semata-mata dalam membangunkan negara.

Kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab semua. Biarlah kita mencegah daripada kita mengubati.

Janganlah nanti, sibuk pula syarikat-syarikat ternama mahu memulihara alam sekitar yang sudah musnah pada hal mereka boleh menghentikan kemusnahan itu.

Bak kata orang dan terhantuk baru nak tengadah.

Orang ramai yang tidak berpuas hati mempunyai masa sehingga 3 Februari untuk memberikan komen dan bantahan mengenai projek ini ke Jabatan Alam Sekitar.

(Jom sertai FB Impak Alam di www.facebook.com/impakalam)