Maka berkumpul semua arkitek dan jurutera tersohor seluruh dunia untuk memenangi tender. Masing-masing tampil dengan draf dan pelan bangunan terbaik untuk memenangi hati pemimpin tertinggi negara itu.

Ganjaran paling lumayan bakal diberikan kepada sesiapa yang dapat memenuhi spesifikasi bangunan dimahukan itu. Maka keluarlah presiden negara itu untuk menjelaskan syaratnya...semua terlopong! Ada yang marah, kerana tidak masuk akal katanya, ada yang gelak besar, dikatakan pe­mimpin itu sudah hilang akal. Ada juga yang optimis mahu mencubanya, ini rekabentuk alaf baharu kata mereka.

Syaratnya ialah bangunan berteknologi tinggi itu tidak boleh mempunyai sebarang ‘tiang’! Ada sesiapa yang boleh jelmakan bangunan sebegitu tanpa sebarang tiang?

Begitu halnya dengan Islam yang boleh dimisalkan seperti satu bangunan besar yang terkandung di dalam­nya pelbagai perkara, ‘tiang’ utamanya adalah solat. Jika tiada tiang, mampukah agama itu berdiri dengan kukuh?

Masalahnya ramai yang memandang rendah tentang solat, hak peribadi katanya. Apa susah bila sudah tua atau pencen, manfaatkan masa terluang untuk solat. Isunya, tahukah kita bila saatnya kita akan mati? Siapa yang boleh bagi jawapan tepat?

Lebih syok, ada juga memetik ayat al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 256: ”Tiada paksaan dalam agama...” yang dijadikan hujah untuk menghalalkan perbuatan tidak solat dan melanggar perintah-perintah Allah yang lain. Penulis bukan ustaz untuk menghuraikan secara panjang lebar tafsiran ayat ini. Kita serahkan kepada yang arif.

Namun penulis agak tertarik dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasai’ dan Imam Tirmizi, “Amalan yang mula-mula sekali dihisab daripada seorang hamba di akhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amalan-amalan lain.”

Isu solat bukan perkara remeh, ia amat penting dan perlu dimartabatkan oleh sesiapa sahaja termasuk kerajaan. Ini kerana matlamat manusia selain untuk raih kesejahte­raan di dunia, kejayaan di akhirat sebenarnya lebih utama.

Hakikatnya ramai yang tidak solat, remaja, dewasa dan warga emas. Kenali kepincangan ini dan perbaikinya. Antara puncanya adalah kerana tidak dipaksa-didik oleh ibu bapa masing-masing yang kebarangkalian tidak juga dipaksa-di­dik oleh generasi sebelum mereka. Masalah ini berantai, remaja itu akan jadi dewasa, berkahwin yang semestinya tidak pula bertindak memaksa-didik anak-anak mereka nanti.

Ini bermakna kitaran tidak paksa-didik itu akan berte­rusan, sekali gus tidak akan menemui penamatnya. Sesiapa sahaja yang membaca dimensi ini perlu muhasabah diri, tolong hentikan kitaran negatif ini.

Percayalah! Apabila Allah sudah hilang daripada jiwa dalam kitaran lima waktu sehari, nafsu dan syaitan akan mengisi kekosongan itu. Wujud persoalan, mengapa manusia yang kekal solat masih terdedah kepada dosa? Jawapannya, cuba bayangkan orang yang langsung tidak kenal solat?

Orang yang solat adalah orang yang kenal Tuhan mereka. Mereka sedar kekurangan dan kelemahan diri apabila melakukan dosa kerana masih dalam kitaran penyembahan kepada Allah lima kali sehari. Lambat laun solatnya yang bergerak bersama nafasnya lima kali sehari akan membersihkan jiwanya.

Dicadangkan kepada kerajaan supaya mengarusperdanakan solat, jadikannya sebagai agenda utama. Tidak mahukah kerajaan untuk memiliki rakyat yang takutkan azab Allah (dosa tinggal solat), integriti dan amanah (tunaikan solat fardu lima kali sehari).

Semua kementerian perlu buat kempen berterusan, manfaatkan sepenuhnya segala platform yang ada. Me­n­teri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, graduan lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mungkin boleh jadi penggerak utama bersesuaian dengan popularitinya sebagai ikon orang muda. Insya-Allah Bro.