Hasil Kajian Persepsi Terhadap 100 Hari Pemerintahan Kerajaan PH mendapati, kira-kira 38.5 peratus daripada 1,008 orang tidak berpuas hati terhadap pemerintah Kerajaan Persekutuan. Ketika itu masih ramai yang dilihat menyokong PH kerana mungkin memberi peluang kepada kerajaan baharu yang tiada pengalaman.

Dan kemudian pada pertengahan Disember pula INVOKE Malaysia berdasarkan kajiannya mendedahkan kaji selidik yang mendapati populariti PH menurun dan rakyat mula mempersoalkan pentadbiran kerajaan baharu.

“Populariti ke laut”

Terbaru populariti PH diramalkan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang, antaranya disebabkan dasar-dasar diamal dan perbalahan dalam gabungan pakatan itu sendiri berdasarkan kajian firma penyelidikan, Fitch Solutions Macro Research.

Pandangan Fitch Solution adalah, PH mengalami risiko penurunan dalam popularitinya kerana tiga sebab, pengundi semakin berpendapat bahawa kerajaan tidak membantu mengurangkan kos sara hidup.

Kedua, gabungan pakatan itu berulang kali menunjukkan perpecahan dalam kalangan mereka dan ketiga kerana pengundi kecewa dengan idea kerajaan PH akan membawa Malaysia Baharu dengan kesaksamaan kaum yang lebih tinggi.

Nah semua ini adalah seumpama “tonik ubat kuat” bagi UMNO dan BN untuk menarik nafas lega kerana rakyat terbanyak masih bersama dan mengingati parti yang pernah memerintah lebih enam dekad itu.

Namun ia juga bukan satu fakta tepat yang mampu memenangkan semula UMNO pada PRU akan datang.

Setakat ini berita paling menggembirakan serta meyakinkan bagi UMNO adalah kerjasama yang semakin erat antara bekas seteru utamanya, Pas yang kini semakin yakin dan kekar langkahnya.

Kerjasama inilah sebenarnya yang dinanti sejak sekian lama namun sayangnya hanya berlaku sekarang, selepas UMNO kalah. Mereka kembali dengan UMNO bekerjasama dalam hal-hal yang menguntungkan ummah secara keseluruhan.

Apa khabar MCA/MIC?

Namun dalam orang Melayu melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk bangkit kembali kita juga perlu melihat keperluan rakan-rakan yang bukan beragama Islam serta peluang dan kerjasama yang boleh dibina untuk memupuk kembali semangat sebagai bangsa Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia kita begitu berbangga dengan kepelbagaian kaum dan agama yang dinikmati sejak sebelum merdeka lagi.

Apatah lagi kepelbagaian dan keharmonian dinikmati hasil daripada semangat toleransi yang tidak dimiliki kebanyakan negara lain di dunia.

Jika kita lihat negara seperti Amerika Syarikat (AS), England dan Australia yang mempunyai penduduk berbilang kaum agak ramai dan boleh dikatakan mempunyai keharmonian kaum walaupun sering terperangkap antara emosi dan realiti.

Begitu juga bagi Malaysia yang walaupun ada segelintir enggan bersetuju dengan dasar tidak menyebelahi liberal dan sebahagian sudut hak asasi manusia, namun negara ini masih terbaik untuk semua kaum hidup bersama sebagai bangsa Malaysia.

Sudah tentu tidak ada yang sempurna tapi bagi saya, Malaysia sebenarnya lebih baik kedudukannya berbanding negara-negara besar dunia yang disebutkan tadi.

Bagi negara-negara tersebut, kedudukannya umpama cantik di luar tetapi busuk di dalam. Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi itulah yang boleh kita nilaikan berdasarkan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Kalau tidak kenapa majoriti rakyat AS memilih seorang presiden yang penuh kontroversi dan mempunyai prasangka kaum dan agama paling tinggi dalam sejarah kepresidenannya.

Begitu juga di United Kingdom (UK), apabila majoriti rakyatnya memilih supaya dilaksanakan Brexit, maka jelaslah mereka sendiri tidak selesa dengan keadaan terlalu ramai warga asing di dalam negara itu.

Toleransi Melayu

Jadi kalau dilihat kedudukan Malaysia yang bukan negara maju, bukan negara besar malah jauh sekali mampu mempengaruhi mana-mana negara, tidakkah kemajmukan kaum ini membuktikan soal kompromi, dan toleransi begitu tinggi dalam kalangan warganegaranya.

Sudah tentu sebagai bangsa teras, keistimewaan yang dimiliki ini adalah kerana sikap dan sifat orang Melayu di negara ini yang mementingkan kesaksamaan dan keharmonian.

Mereka menjauhi sifat penting diri berbanding orang kulit putih yang kita sedia maklum ada agenda selain bekas penjajah yang pernah merosakkan dunia.

Kalau benarlah kita bermasalah dalam hal toleransi dan budi bicara takkan Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sekolah untuk bangsa lain dan minoriti.

Kalau Malaysia menjadikan amalan dalam pembahagian kuota untuk kaum dalam sesetengah perkara, itu hanyalah demi kelangsungan bangsa asal. Takut kalau semua dibuka apalagi yang tinggal apatah lagi kalau sifat tamak dan haloba menguasai diri tanpa ada sempadan.

Ini yang berlaku kepada bangsa asal di AS dan Australia yang dibunuh, dianaktirikan malah dinafikan hak mereka. Itu belum lagi kita bercerita tentang nasib golongan kulit hitam yang dijadikan hamba abdi dan dinafikan hak sebagai manusia sekian lama.

Belum lagi kita bercerita kisah imigran yang terpengaruh dengan janji American Dreams, yang hanya beberapa kerat menggapainya.

Cuma bezanya mungkin orang lebih menggemari AS dan Barat kerana sifat liberalnya dan sokongan jelas terhadap hak asasi manusia termasuk menyokong LGBT.

Ini yang tidak ada di Malaysia dan antara punca kenapa orang bukan Islam dilihat sedikit terganggu dan mahu lebih keterbukaan.

Tolak perkauman

Namun tidak bermakna Barat liberal maka tempat bilik tukar lampin bayi di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) boleh digunakan untuk memandikan anjing. Pakailah otak sikit dan fikirlah orang lain sama.

Namun kita perlu bersyukurlah Malaysia dalam banyak hal lebih. Mungkin ada sedikit compang-camping dan robak-rabik di sana sini tapi itu adalah lumrah bagi sesebuah negara.

Namun saya tetap percaya sokongan daripada kaum Cina dan India adalah sama pentingnya di negara ini tanpa terlalu terikut-ikut dengan politik ras dan kaum.

Sudah sampai masanya parti MCA dan MIC lebih jelas hala tujunya dalam menyatakan harapan orang bukan Melayu di negara ini.

Mereka ini telah wujud dan bekerjasama dengan UMNO sejak sebelum merdeka lagi. Dan takkan kerana kalah pilihan raya dah nak “menangis dan merajuk”.

Mereka ini bukan semuanya bersetuju dengan hujah dan perjuangan ekstrem perkauman oleh Lim Kit Siang dan bala tenteranya dalam DAP.

Begitu juga bukan semua orang India suka tengok gelagat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang dikatakan lebih layak menjadi Menteri Perpecahan.

Kedua parti ini perlu jelas sumbangannya dalam BN dan bukan menjadi tikus apabila diherdik oleh Kit Siang dan anaknya. Mereka perlu kembali menjuarai suara dan denyut nadi orang Cina dan India yang turut terkesan dengan pelbagai janji PH sebelum PRU lepas.

BN untuk semua kaum

Tiada siapa yang untung jika politik perkauman terlalu diagungkan sehingga merosakkan asas negara.Ini yang berlaku kepada PH.

Saya boleh katakan sokongan kepada PH merosot bukan kerana Tun Dr. Mahathir atau isu manifesto sangat tetapi lebih kepada faktor DAP yang dilihat dominan dalam PH.

Tiada siapa yang berani menegur jika DAP melantik orang itu dan ini atau memberi peruntukan secara terus melalui Kementerian Kewangan.

Malah dalam banyak hal kedudukan Islam dan orang Melayu juga dilihat goyah kerana beberapa tindakan dan komen DAP dan mereka yang bersekutu dengannya.

Maka berita sokongan PH semakin merudum ini perlu dijadikan azimat untuk UMNO menjadi lebih baik bukan sahaja dalam soal pembelaan orang Melayu dan Bumiputera, tetapi semua kaum.

Bagi PH sudah tentu berita ini akan dijadikan azimat untuk menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik dan dapat mengotakan semua janji yang ditabur sebelum pilihan raya lalu.

Tetapi yang penting rakyat kini semakin bijak menilai siapa yang mampu memberi khidmat terbaik dan layak menjadi kerajaan.