Penulis ingin menimbulkan isu di sini tentang perbezaan kecemerlangan antara kaum lelaki berbanding wanita sejak daripada bangku sekolah lagi. Penulis tertarik dengan isu kecemerlangan lelaki kerana tatkala ini banyak penekanan terhadap isu wanita manakala menangani isu lelaki jarang sekali dikupas dalam ruang media massa secara mendalam.

Sebaliknya isu wanita sering dibincangkan. Ini termasuklah dalam agenda untuk memperkasakan wanita yang menjadi topik hangat di mana-mana sahaja di Malaysia. Lebih-lebih lagi, dalam hal mengangkat wanita sebagai ahli lembaga pengarah syarikat senaraian awam Malaysia.

Sememangnya, wanita pada era ini cukup cemerlang dalam banyak hal. Kita boleh lihat mereka ini menguasai universiti. Malah, wanita cukup dominan sebagai pelajar universiti. Apakah sebenarnya berlaku kepada kaum lelaki?

Ada suara-suara sinis menyatakan kaum lelaki banyak terjebak dengan permasalahan sosial se­perti penagihan dadah, merempit, meragut dan tercicir dalam sistem persekolahan negara. Meskipun penulis tidak memiliki statistik tepat mengenai hal ini, namun penulis yakin ada kebenaran di sebalik suara-suara sinis tersebut.

Namun, dengan menyatakan bahawa ramai lelaki terlibat de­ngan pelbagai permasalahan sosial berbanding kaum wanita, ini masih belum cukup untuk menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan generasi muda masa hadapan. Tindakan menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan kecemerlangan kaum lelaki dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Hal ini cukup penting kerana apakah akan terjadi kepada masyarakat Malaysia pada masa hadapan jika hanya kaum wanita sahaja yang menguasai kecemerlangan. Walhal, umum mengetahui lelaki adalah pemimpin dalam sesebuah institusi keluarga. Jika tidak, ramai lelaki yang memiliki kecemerlangan dan terlibat dalam pelbagai permasalahan sosial, maka ini sudah tentu memberi kesan besar terhadap masa hadapan negara.

Bahkan, akan berlakulah lebih banyak isu negara yang baharu menjelma pada masa akan da­tang, misalnya kekurangan pekerja lelaki yang berkualiti yang mampu mengangkat negara ke arah negara yang lebih maju dan cemerlang.

Sayugia diingatkan beban untuk memajukan negara tidak boleh hanya terletak di bahu wanita semata-mata. Sudah tentu wanita yang cemerlang dalam sistem pendidikan negara ini akan menguasai peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi pada masa hadapan. Jadi, ini akan menyebabkan kaum lelaki ketinggalan jauh di belakang pada era yang mementingkan kecemerlangan.

Kita perlu benar-benar teliti adakah lelaki kurang cemerlang dalam pelajaran seawal usia mereka berada di sekolah? Apakah sistem pendidikan negara yang diamalkan oleh kita tidak begitu saksama buat kaum lelaki berbanding wanita?

Penulis tidak memiliki jawapan kepada kedua-dua persoalan ini. Hanya melalui penyelidikan secara menyeluruh mampu menjawab segala persoalan mengenai isu lelaki ini.

Apa yang ingin penulis tekankan adalah tidak wajar merumuskan bahawa lelaki kurang cemerlang dalam sistem pendidikan negara dek hanya berasaskan telahan bahawa lelaki memiliki sifat-sifat yang tidak baik seperti malas dan kurang berusaha. Adakah dengan hanya hujah ini boleh menyokong bahawa lelaki kurang cemerlang berbanding wanita?

Misalnya, jika lelaki banyak terjebak dalam penagihan dadah, maka kita perlu benar-benar mengambil tindakan berganda bagaimana untuk mengurangkan jumlah lelaki yang terjebak dalam penagihan dadah.

Apakah punca yang menyebabkan jumlah lelaki yang terjebak dalam penagihan dadah begitu ketara sekali berbanding wanita? Adakah sudah kita berusaha sedaya upaya untuk menangani isu ini?

Jika lelaki kurang cemerlang dalam pelajaran, bagaimana usaha dilakukan untuk menangani isu ini? Adakah selama ini kita terlalu memberi tumpuan kepada mereka yang cemerlang yang mana majoritinya dikuasai oleh wanita sehingga meminggirkan kaum lelaki yang kurang cemerlang dalam pelajaran?

Jika ini berlaku, maka usah kita selalu menyalahkan lelaki yang kurang cemerlang dalam pelajaran. Sudah tentulah cara mendi­dik antara murid lelaki dan pe­rempuan berbeza sama sekali.

Jadi, penulis ingin menca­dangkan agar kerajaan mengadakan pelan di peringkat kebangsaan untuk meningkatkan kualiti kecemerlangan kaum lelaki sejak kecil lagi. Hal ini perlu dilakukan dengan serius kerana dibimbangi pada masa akan datang, isu yang kecil ini menjadi lebih besar dan seterusnya membarah sehingga sukar untuk ditangani pada masa hadapan.

Sudah tentu, kita tidak mahu melihat pada 2050 kelak, rata-ratanya kecemerlangan hanya milik wanita semata-mata sedang­kan lelaki pula masih tercari-cari kedudukan sebenar mereka dalam kalangan masyarakat Malaysia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).